Rabu, 29 Oktober 2008

Liow tetap pertahan kenyataan berhubung isu ekuiti Bumiputera


PUTRAJAYA: Naib Presiden MCA, Datuk Liow Tiong Lai, hari ini mempertahankan kenyataannya berhubung permintaan supaya syarat pemilikan 30 peratus ekuiti Bumiputera dalam syarikat senaraian awam dihapuskan.

Beliau yang juga Menteri Kesihatan berkata, soal pegangan ekuiti mengikut kaum tidak akan membawa apa erti jika kekayaan negara tidak bertambah, sebaliknya apa yang lebih penting kerjasama antara kaum bagi menjadikan Malaysia lebih berdaya saing dan makmur.

"Apa orang nak kata, biarlah mereka kata. Saya tetap berpegang dengan apa yang saya katakan. Saya mengambil berat mengenai ekonomi dan negara," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini.


Liow diminta mengulas kenyataan beliau Isnin lalu itu yang dibidas pelbagai pihak, khususnya pemimpin Umno yang menyifatkan perkara itu tidak wajar dipertikaikan lagi atau dibangkitkan secara terbuka.

Hari ini, Liow berkata, kenyataannnya itu dibuat sebagai reaksi terhadap laporan Bloomberg yang menyatakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yakin bahawa unsur Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang berakhir pada 1990 dan digantikan dengan Dasar Ekonomi Nasional (DEN) pada 1991, boleh dihapuskan secara beransur-ansur.

Katanya, sebab itulah beliau menekankan bahawa soal kerjasama antara kaum bagi memakmurkan negara dalam situasi semasa ekonomi dunia adalah lebih penting daripada soal pegangan ekuiti.

"Saya menyatakan MCA mengalu-alukan kenyataan Datuk Seri Najib itu dan melihat secara positif segala usaha kerajaan untuk membangunkan ekonomi negara," katanya.

Bagaimanapun, malam kelmarin, Timbalan Perdana Menteri menjelaskan beliau tidak bermaksud segala unsur DEB akan dihapuskan sekarang.

Sebaliknya, Najib yang juga Menteri Kewangan menegaskan kerajaan tidak akan berbuat demikian sehingga orang Melayu benar-benar bersedia bersaing di dalam dan luar negara.