Ahad, 2 November 2008

Pemuda MIC Minta 10 Peratus Kerja Kontrak Daripada Kerajaan Tempatan


KUALA LUMPUR, 2 Nov (Bernama) -- Pemuda MIC hari ini meminta kerajaan agar memperuntukkan sekurang-kurangnya 10 peratus kontrak majlis perbandaran atau kerajaan tempatan seperti kerja-kerja penyelenggaraan dan landskap kepada kontraktor India.

Ketua Pemuda MIC T.Mohan berkata langkah itu akan membantu usaha kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup dan ekuiti masyarakat India yang rendah berbanding kaum lain.

"Usaha itu akan dapat meningkatkan pendapatan yang secara langsung akan meningkatkan kuasa beli masyarakat India," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat anggota Majlis Tertinggi Pemuda MIC di ibu pejabat MIC di sini.

Pemuda MIC turut mencadangkan agar kerajaan mewujudkan satu lagi kelas kontraktor yang sama taraf dengan kontraktor kelas F bagi bumiputera kepada masyarakat India, katanya.

Mohan berkata Pemuda MIC akan menghantar surat permohonan berhubung perkara itu kepada kerajaan pada minggu depan.

"Kami percaya jika usul ini dilaksanakan, taraf hidup masyarakat India di negara ini akan meningkat dan dapat mewujudkan satu suasana persefahaman antara kaum," katanya.

-- BERNAMA

Komen:
Selepas Mca ingin menidakkan 30 % ekuiti dalam sektor ekonomi kini tiba giliran Mic pula menuntut 10 % kontrak kerajaan untuk dianugerahkan kepada kaumnya. Ternyata permintaan terlalu tinggi berbanding nisbah penduduk India yang dianggarkan hanya kurang 10 % dari 27 juta rakyat Malaysia.

Kalau Mic menuntut 1 % logik lah jugak.