Ahad, 2 November 2008

Permohonan masuki IPTA bermula esok


KUALA LUMPUR: Calon lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dikehendaki mengemukakan permohonan kemasukan ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) mulai 3 November hingga 31 Disember depan.

Permohonan melalui laman web www.mohe.gov.my itu adalah Fasa 1 permohonan Aplikasi Dalam Talian yang digunakan sepenuhnya mulai sesi Akademik 2008/2009.

Kementerian Pengajian Tinggi dalam satu kenyataan berkata, bagi permohonan Fasa 1 itu, calon hanya perlu menggunakan nombor kad pengenalan serta kata laluan dan perlu mengisi beberapa maklumat yang diperlukan.


“Permohonan Fasa 2 atau pengesahan permohonan pula akan dibuka mulai 3 Februari 2009 jam 12 tengah hari. Pemohon boleh membeli nombor unik ID dengan harga RM10.60 di mana-mana kaunter Bank Simpanan Nasional (BSN) atau melalui Perkhidmatan Perbankan Pesanan Ringkas, Mesin ATM (bagi pemilik akaun GIRO BSN saja) seluruh negara sehari selepas iklan pelawaan disiarkan sehingga tarikh tutup permohonan .

“Tarikh tutup permohonan bagi Pengajian Lepasan SPM/Setaraf ialah 3 Mac 2009 untuk kategori B, C, D dan 10 hari bekerja selepas keputusan SPM 2008 diumumkan bagi kategori A,” katanya.

Justeru, katanya, kementerian menyarankan semua pemohon Lepasan SPM mengemukakan permohonan Fasa 1 supaya tempoh masa pemohon ketika mengemukakan permohonan dalam Fasa 2 dapat dikurangkan.

Sebarang pertanyaan boleh menghubungi Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar, Jabatan Pengajian Tinggi di talian 03-88835801/802 atau e-mel kepada upu@mohe.gov.my.