Sabtu, 28 Februari 2009

Pemuda PKR tuduh PKR, Ini baru heroo


AMIZUDIN Ahmat menunjukkan salinan surat kompaun dihantar Pejabat Tanah dan Daerah Seberang Perai Utara kepada dua syarikat kuari yang melakukan kesalahan selepas mesyuarat penuh MPSP di Bandar Perda, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, semalam.


BUKIT MERTAJAM 27 Feb. – Ahli Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) Amizudin Ahmat hari ini mendakwa dua pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) di negeri ini menerima rasuah daripada sebuah syarikat kuari di Seberang Perai.

Amizudin yang juga Ketua Angkatan Muda PKR Kepala Batas mendakwa, penyelewengan beberapa syarikat kuari di negeri ini melibatkan jumlah wang yang banyak dan kedua-dua pemimpin berkenaan mempunyai kepentingan dalam syarikat tersebut.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan nama dua pemimpin terbabit dan jumlah rasuah yang diterima oleh kedua-duanya dengan alasan akan mengadakan sidang akhbar dalam masa terdekat.

‘‘Saya tidak ada masalah untuk mendedahkan nama dua pemimpin tertinggi PKR negeri ini yang terlibat dalam rasuah kerana saya seorang pejuang yang cukup telus dan jujur.

‘‘Saya juga tidak takut dengan risiko walaupun menyedari akibat daripada pendedahan ini akan menyebabkan saya disingkirkan daripada menganggotai MPSP,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri mesyuarat penuh MPSP di sini hari ini.

Menurutnya, beliau mempunyai bukti kukuh untuk dikemukakan berhubung dakwaan yang dilakukannya itu.

‘‘Bukti yang saya ada ialah melalui rakaman perbualan telefon sepanjang sembilan minit empat saat di antara saya dengan salah seorang daripada dua pemimpin itu,’’ ujarnya.

Isu itu kata Amizudin, timbul selepas beliau mendedahkan penyelewengan beberapa syarikat kuari sehingga menyebabkan kerajaan negeri kerugian jutaan ringgit kerana tidak menerima bayaran royalti daripada syarikat terbabit.

Katanya, selepas membongkar kes kuari itu dalam mesyuarat penuh MPSP pada pertengahan tahun lalu, beliau telah menerima panggilan telefon daripada seseorang yang memarahinya kerana membangkitkan isu tersebut.

Tambahnya, laporan berhubung penyelewengan yang berlaku telah dihantar kepada Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail untuk tindakan lanjut.