Ahad, 28 Jun 2009

'Geng Larut Malam' diburu



RAJA Musa Raja Razak menunjukkan kad pengenalan mangsa rompakan, telefon bimbit dan wang tunai yang dirampas daripada suspek Geng Larut Malam di Taiping, kelmarin.


TAIPING 27 Jun - Kumpulan penjenayah ini biasanya menaiki motosikal beramai- ramai. Mereka bersenjatakan parang dan menjadikan premis yang beroperasi sehingga awal pagi sebagai sasaran untuk dirompak.

Namun, polis kini sudah mengenal pasti kumpulan penjenayah yang dikenali sebagai 'Geng Larut Malam' ini dan sedang memburu ahli kumpulan ini.

Penjenayah ini sering menjadikan kedai makan dan kedai runcit yang beroperasi hingga larut malam di daerah ini sebagai sasaran mereka.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Raja Musa Raja Razak berkata, pihaknya yakin dapat memberkas saki baki ahli kumpulan itu berikutan tertangkapnya salah seorang ahlinya kelmarin.

Suspek terbabit diberkas kira-kira lapan jam selepas merompak sebuah kopitiam di sini pada pukul 4.30 pagi.

Dalam kejadian itu, salah seorang pelanggan yang berada dalam premis terbabit cedera dilibas dengan parang oleh kumpulan berkenaan.

"Suspek berusia 21 tahun ditahan di tempat kerjanya di sebuah kilang di Kamunting dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

"Kita sedang mengesan enam lagi ahli geng ini yang masih bebas," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini semalam.

Menurut Raja Musa, polis merampas kad pengenalan dua mangsa rompakan, dua unit telefon bimbit dan wang tunai RM400.

Katanya, kumpulan yang sama turut merompak sebuah kopitiam di Jalan Simpang dekat sini sehari sebelum kejadian itu.

"Kejadian itu berlaku kira-kira pukul 12.30 tengah malam. Polis percaya geng ini memang melakukan jenayah selepas tengah malam.

"Sehubungan itu, para pemilik premis perniagaan yang beroperasi sehingga awal pagi dinasihatkan agar berhati-hati selain memasang kamera litar tertutup (CCTV) di premis masing-masing," katanya.