Ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, perkara yang diputuskan sebagai cadangan pindaan Perlembagaan UMNO itu telah diputuskan dalam mesyuarat exco wanita yang diadakan semalam.
Beliau berkata, cadangan pindaan tersebut akan dikemukakan kepada Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan UMNO yang dipengerusikan oleh Naib Presidennya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein untuk dipertimbangkan.
''Saya yakin pucuk pimpinan UMNO akan memberi pertimbangan positif tentang pindaan perlembagaan tersebut kerana ia selaras dengan polisi yang diasaskan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).
''Jika kita lihat dalam kerajaan sendiri telah ada usaha untuk menempatkan wanita yang layak dan berpengalaman untuk membuat keputusan,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Jalinan Rakyat bersama anggota Pergerakan Wanita UMNO Johor, di sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor yang juga Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman dan Ketua Wanita UMNO Johor, Senator Sharifah Azizah Syed Zain.
Shahrizat yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, sudah tiba masanya untuk UMNO menghayati sendiri polisi yang ditunjangi oleh kerajaan BN.
Tambahnya, cadangan tersebut bukan suatu yang luar biasa kerana jika dibandingkan dengan negara luar, peranan wanita sebagai membuat keputusan sudah menjadi amalan.
''Kita mahu wanita yang benar-benar layak dan berpengalaman diberikan tempat di peringkat cawangan, bahagian ataupun di peringkat tertinggi di dalam UMNO.
''Bukan sahaja meletakkan wanita yang sekarang ini menjadi tulang belakang parti tetapi perkara mustahak di sini adalah suara wanita dalam memberi penekanan terhadap isu kewanitaan, keluarga dan masyarakat,'' katanya lagi.
Menurutnya lagi, sekiranya pindaan tersebut diluluskan, ia bukan sahaja detik bersejarah kepada pergerakan tetapi akan menguntungkan dan memberi kekuatan kepada UMNO itu sendiri.
TM berkata;
saya kurang setuju dengan meletakkan angka 30 peratus. Bukan peratusan yang penting tetapi komitmen terhadap parti yang penting. Kalau komitmen wanita tinggi dan ramai yang berkebolehan untuk diketengahkan TM merasakan bukan saja 30 peratus suara wanita boleh didengar tetapi lebih dari itu pun boleh. Yang penting dalam Umno bukan angka tetapi kualiti dan yang utama sekali ialah SIKAP.