Khamis, 1 Oktober 2009

NIZAR KUDIK:PEMUDA PKR TAK MENGENALI BOS NYA

Berikut merupakan tulisan dari ahli PKR sendiri yang bingung dengan pendirian Khalid Jaafar dan IKD. Ahli PKR itu adalah Mohd Zukri Aksah, bekas Exco Angkatan
Muda PKR.
Zukri Aksah menulis artikel ini pada 5 Julai 2004, sejurus Khalid Jaafar mengeluarkan kenyataan kontroversi berkenaan dengan dakwaan Nabi Muhamad SAW setaraf
dengan DO Bukit Beruntung. Ketika itu Anwar masih lagi berada di penjara Sungai Buloh (sebulan sebelum dibebaskan) dan semua gerak kerja/penajaan PKR dikendalikan
oleh IKD dan Khalid Jaafar.
Ketika itu ramai yang tidak faham pemikiran Khalid Jaafar, IKD dan Anwar Ibrahim, termasuk ahli-ahli PKR sendiri. Mungkin sampai sekarang, masih ramai
lagi ahli/penyokong PKR tidak kenal siapa Anwar, Khalid Jaafar dan IKD. Mereka tidak sedar individu yang mereka sokong adalah penggerak Islam Liberal yang
ditaja oleh Amerika Syarikat yang berjuang untuk membentuk negara demokrasi-SEKULAR.
Misalnya Zukri Aksah yang bertaraf exco Angkatan Muda PKR, seolah-olah kebingungan tentang hala tuju PKR. Tulisnya, "Saya tidak rasa hairan jika komen
Khalid Jaafar ini diutarakan oleh orang seperti Astora Jabat atau Farish Noor, mereka bukan pemimpin, mereka sekadar penulis yang gila glamour. Tetapi
bila kita memimpin, kita ada orang yang dipimpin, kita memimpin dengan apa? Dengan deviasi pemikiran? Kenapa bila bertembung dengan persoalan berkaitan
agama, kita jadi negatif, semata-mata tidak mahu diasosiasikan dengan PAS!? Atau Khalid Jaafar sedang secara berani mahu mengisytiharkan bahawa Parti Keadilan
Rakyat adalah sekular, tetapi nampaknya pendekatan beliau telah terlajak ke arah sekular humanis, ke arah menidakkan agama!!!
Saya sendiri punya penjelasan lain mengapa saya tidak bersama dengan PAS, tetapi tidak pula sampai menghina Islam yang diperjuangkan PAS, kerana saya juga
seorang Islam! (Saya perlu satu artikel lain untuk mengulas tentang mengapa saya tidak bersama menjunjung Dokumen Negara Islam PAS)"
Pada 2 September 2004, setelah Anwar Ibrahim dibebaskan. Mohd Zukri antara aktivis PKR yang paling gembira dengan pembebasan itu. Setelah bebas, Anwar
berangkat ke Munich, Jerman untuk melakukan rawatan lanjut, ahli-ahli PKR menyokong penuh kerana diwar-warkan Anwar sakit tenat. Kemudian pada tahun 2005
Anwar berhijrah ke United Kingdom. Anwar beritahu penyokongnya, di Malaysia, dia disekat habis-habisan, hingga tidak dibenarkan bekerja dan mencari rezeki.
Ahli PKR bersimpati kepada Anwar, merestui keberangkatannya ke UK, malah berbangga apabila ketua mereka diiktiraf menjadi pensyarah pelawat di St. Antony
College, UK. Mereka kata, Anwar hebat, sebab itu diterima menjadi pensyarah pelawat universiti. Selepas itu, Anwar berhijrah pula ke Amerika Syarikat
dan menetap di sana selama 3 tahun (2005-2007). Ahli PKR makin bertambah bangga kerana ketokohan Anwar hingga diterima di Amerika Syarikat. Tetapi mereka
tidak tahu siapa yang melantik Anwar di universiti-universiti itu. Siapa di belakang Anwar. Anwar bekerja untuk siapa. Mereka hanya tahu Anwar hebat.
Semasa Anwar di Amerika, liputan kegiatan Anwar di sana tidak diberitahu kepada ahli sepenuhnya. Ahli-ahli ditutup dengan maklumat-maklumat negatif, sebaliknya
didedahkan/diperbesarkan dengan kehebatan Anwar, termasuk dilantik menjadi konsultan Bank Dunia. Ahli-ahli makin bersemangat dan menyokong penuh Anwar.
Anwar pula sekali-sekala, pulang ke Malaysia dan menjelajah ke seluruh negara untuk berkempen kepada ahli-ahli/rakyat tentang kehebatannya di persada dunia.
Kata Anwar, meskipun saya ditutup rezeki di Malaysia, tetapi saya diiktiraf sebagai pensyarah di universiti-universiti terkemuka dunia. Saya dilantik sebagai
penasihat bank di di Doha, Qatar, Dubai. Semua yang disebutnya adalah negara-negara Timur Tengah yang membayangkan negara-negara Islam. Anwar tidak pernah
bercerita peranan di sebalik tabir (selain pensyarah) misalnya penglibatannya dengan Carl Gershman, NED, IRI atau gerakan melemahkan negara-negara Islam
di Timur Tengah melalui Foundation For The Future.
Ahli-ahli tidak diberi pendedahan sebenar untuk tujuan apa, Anwar membawa Khalid Jaafar berjumpa dengan Paul Wolfowitz di Pentagon (pusat CIA) pada 2005.
Ketika itu Wolfowitz adalah Timbalan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat.
Tetapi dalam diam-diam setelah Anwar makin terkenal di Amerika Syarikat, seorang exconya bernama Zukri Aksah mula tertanya-tanya dalam dirinya. Siapakah
Anwar sebenarnya ? Apakah yang aku was-was dalam tulisannya pada tahun 2004, apabila Khalid mengkritik Nabi Muhamad SAW adalah benar. Siapa sebenarnya
Khalid, siapa sebenarnya Anwar Ibrahim ?
Akhirnya pada 6 Julai 2007, Zukri Aksah telah mengambil keputusan untuk keluar dari PKR, dengan menyembunyikan faktor sebenar dia meninggalkan PKR. Dia
menulis secara berkias mengapa dia mengambil keputusan tinggalkan PKR. Hanya dia saja tahu apakah faktor sebenar dia meninggalkan PKR. Kemudian dia memohon
menjadi ahli PAS. Klik
di sini
Berikut disertakan tulisan Zukri Aksah yang kebingungan mengenali siapa Khalid Jaafar pada 2004 dan ragu-ragu hala tuju PKR.
KHALID JAAFAR, KEJAHILAN MENJENGKELKAN...
Menjadi seorang Islam, kemudiannya bergelar pula sebagai pemimpin dalam sebuah masyarakat yang majoritinya beragama Islam, seharusnya kita punya asas ilmu
yang cukup tentang Islam dan perjalanan sejarahnya. Tidak kiralah kita memimpin itu dengan berlatar belakangkan apapun, biru, merah atau hijau, nasionalis,
liberalis, sosialis, reformis mahupun ISLAMIS... akhirnya kejahilan akan mengundang kejengkelan.
Dalam konteks budaya dan cara hidup masyarakat Malaysia yang menjunjung prinsip-prinsip Rukunegara dan yang pertamanya adalah Kepercayaan Kepada Tuhan,
pemikiran Khalid Jaafar adalah amat berbahaya dan menyimpang dari norma, tidak boleh diterima serta jika pemikiran beliau yang sebegini adalah konstan
dan berterusan maka beliau tidak layak untuk menjadi pemimpin.
Amatlah keterlaluan untuk meletakkan taraf Nabi Muhammad s.a.w sekadar di tempat D.O Bukit Beruntung. Saya kira tidak ada seorang penganut Buddha atau
Kristian yang boleh menerima jika ada dari kalangan mereka yang mengatakan Gautama Buddha atau Jesus Christ itu tidak lebih dari seorang pegawai daerah
di daerah yang kecil. Mungkin benar Madinah tidaklah sebesar mana jika ingin dibandingkan dengan negara-negara yang ada sekarang tetapi sejarah mesti dibaca
dan dikaji, bagaimana Kerajaan Madinah bermula? Dari kehidupan masyarakat Arab yang berpuak-puak, berkabilah, saling bersengketa sesama mereka, mereka
akhirnya berjaya disatukan, atas karisma seorang rasul agung, Nabi Muhammad s.a.w, di bawah satu panji-panji, di bawah satu negara. Dalam persekitaran
yang sebegitu, ini adalah kejayaan yang amat besar, dan harus pula diingat bahawa Madinah merupakan permulaan ke arah bangkitnya sebuah tamadun, yang berakhir
di Istanbul, yang telah memberi banyak sumbangan dalam pelbagai bidang untuk seluruh masyarakat dunia tanpa mengira bangsa dan agama sehingga ke hari ini!
Kenapa Khalid Jaafar? Apakah Islam sudah menjadi taboo buat kita semua? Semata-mata kerana kita berdiri tidak berlatar belakangkan hijau, kita bukan berpartikan
Islam, kita punya ahli yang pelbagai agama maka kita menjadi takut untuk memuja agama sendiri? Lebih malang lagi bila kita sanggup pula untuk merendah-rendahkannya...
percayalah di luar sana ada musuh Islam yang menepuk bahu saudara kerana keberanian saudara tetapi di belakang akan terbahak-bahak mentertawakan kebodohan
saudara.
Saya tidak rasa hairan jika komen Khalid Jaafar ini diutarakan oleh orang seperti Astora Jabat atau Farish Noor, mereka bukan pemimpin, mereka sekadar
penulis yang gila glamour. Tetapi bila kita memimpin, kita ada orang yang dipimpin, kita memimpin dengan apa? Dengan deviasi pemikiran? Kenapa bila bertembung
dengan persoalan berkaitan agama, kita jadi negatif, semata-mata tidak mahu diasosiasikan dengan PAS!? Atau Khalid Jaafar sedang secara berani mahu mengisytiharkan
bahawa Parti Keadilan Rakyat adalah sekular, tetapi nampaknya pendekatan beliau telah terlajak ke arah sekular humanis, ke arah menidakkan agama!!! Saya
sendiri punya penjelasan lain mengapa saya tidak bersama dengan PAS, tetapi tidak pula sampai menghina Islam yang diperjuangkan PAS, kerana saya juga seorang
Islam! (Saya perlu satu artikel lain untuk mengulas tentang mengapa saya tidak bersama menjunjung Dokumen Negara Islam PAS)
Atau Khalid Jaafar merasakan statusnya sebagai Pengarah Institut Kajian Dasar (saya tidak pernah pun nampak sebarang kehebatan pada institut ini) lebih
tinggi dari darjat D.O Bukit Beruntung! Kalau begitu beliau sedang diserang penyakit yang parah, beliau sedang merasakan yang beliau adalah seorang ahli
fikir yang lebih hebat dari Nabi Muhammad s.a.w, mohon dijauhkan Tuhan.
Mohd Zukri Aksah
Exco Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat