Khamis, 4 Mac 2010

TANAH KTM DI KUALA SEPETANG BERNILAI RM38 JUTA

MB Perak Dr Zamry mahu KTM kaji kewajaran kerana mengenakan bayaran RM38 juta kepada kerajaan negeri untuk pulangkan tanah di Kuala Sepetang bagi pulangkan kepada rakyat.

Jika kerajaan Perak membayar RM38 juta atau kurang adakah Pas, Dap dan Pkr masih menuduh kerajaan BN zalim terhadap rakyat, adakah BN menipu rakyat? Oleh itu sekarang akan terbukti siapa sebenarnya yang menipu rakyat.


Isu penduduk setinggan Kuala Sepetang selesai

Kerajaan Perak sedia beri tanah ganti kepada KTMB

TAIPING: Isu tanah yang dihadapi penduduk di Kuala Sepetang dekat sini yang berlarutan selama empat generasi akhirnya selesai selepas kerajaan Perak dan KTM Bhd (KTMB) bersetuju dengan cadangan penukaran tanah sebagai jalan penyelesaian.

Berikutan itu, lebih 300 setinggan yang menghuni tanah milik KTM Bhd (KTMB) antara pekan Kuala Sepetang dan Taiping boleh menarik nafas lega kerana Kerajaan Perak sedia memberikan tanah ganti kepada syarikat itu bagi membolehkan setinggan kekal tinggal di situ.

Menteri Besar, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir, berkata cadangan itu sudah dibincangkan dengan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat dan menyifatkannya pendekatan terbaik menyelesaikan isu setinggan yang menghuni kawasan seluas lebih 120 hektar tanah milik KTMB.

“Kita perlu faham ada antara mereka tinggal di situ lebih 70 tahun. Jadi takkan kita nak suruh mereka keluar... tak adillah. Saya cadangkan perkara ini supaya mereka boleh terus tinggal di tempat sedia ada," katanya selepas merasmikan Promosi Pendidikan dan Kerjaya Negeri Perak di Kompleks Sejarah Matang, Kota Ngah Ibrahim, Kuala Sepetang dekat sini, semalam.

Beliau diminta mengulas kenyataan Ong mengenai cadangan itu bagi membolehkan setinggan terbabit diberikan hak milik tanah.

Sebelum ini, Ong dilaporkan berkata, Kementerian Pengangkutan sedang menjalankan audit keluasan tanah milik KTMB seluruh negara dan membanci jumlah setinggan yang tinggal di tanah berkenaan.

KTMB dan Perbadanan Pengurusan Aset Keretapi juga akan berbincang dengan kerajaan negeri yang terbabit untuk mengkaji kemungkinan menukar status tanah untuk setinggan.

Dr Zambry berkata, beliau mahu penyelesaian berkekalan terhadap isu itu.

"Saya mahu penyelesaian yang dibuat ini secara asli, bukan tempelan, bukan janji pilihan raya," katanya.

Beliau berkata, cadangan itu dapat dilaksanakan segera jika KTMB mengambil tindakan proaktif.

"Setakat ini, maklum balas diberikan pihak KTMB adalah positif," katanya.