Rabu, 28 April 2010

SUPP Bersatu Dalam Menghadapi Pilihan Raya Kecil Sibu

Semua anggota Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) bersatu hati dalam menghadapi pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Sibu yang bakal menjelma, kata presidennya Tan Sri Dr George Chan pada Rabu.

"Kami sangat gembira kerana cawangan Sibu berkongsi suara yang sama. Sekarang, kami perlu turun padang dan melipatgandakan usaha bagi menjamin kemenangan," katanya pada sidang akhbar di pejabat SUPP cawangan Sibu di sini.

Pada Selasa, Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud mengesahkan pemilihan anggota SUPP Robert Lau Hui Yew sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil itu, yang katanya, telah direstui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Hui Yew adalah dua pupu kepada Datuk Robert Lau Hoi Chew, Timbalan Menteri Pengangkutan di peringkat pusat, yang meninggal dunia pada 9 April dan menyebabkan pilihan raya kecil ini perlu diadakan. Penamaan calon ialah pada 8 Mei, manakala pengundian pula akan diadakan pada 16 Mei.

"Kami menyokong beliau (Hui Yew) 110 peratus. Beliau telah bersama Datuk Robert Lau Hoi Chew, yang menjadi Anggota Parlimen selama lima penggal, sejak sekian lama. Beliau tahu apa yang diimpikan oleh mendiang...caranya bekerja. Sebagai tanda memperingatinya, kami ingin pastikan Robert Lau menjadikan semua impian mendiang, suatu kenyataan," kata Dr Chan.

Antara yang turut hadir pada sidang akhbar itu ialah pengerusi SUPP cawangan Sibu Datuk Seri Wong Soon Koh, Anggota Parlimen Lanang Datuk Tiong Thai King dan Anggota Dewan Undangan Negeri bagi kerusi Pelawan Vincent Goh Chung Siong.

Dr Chan berkata jentera SUPP tidak gentar dengan cabaran pembangkang, yang menurunkan pengerusi DAP Sarawak Wong Ho Leng untuk bertarung dengan Hui Yew.

Wong pernah bertanding menentang Hoi Chew di kawasan Parlimen itu pada 1995, 2004 dan 2008, tetapi tidak pernah mencapai kemenangan.

Dr Chan berkata beliau yakin pengundi Cina akan mengenang jasa Hoi Chew dan mahukan seseorang seperti Hui Yew bagi menunaikan impiannya yang belum tercapai, terutama berkaitan pembangunan pendidikan.

Ditanya sama ada ini akan diterjemahkan dalam bentuk undi bagi BN, beliau berkata: Kebanyakan orang kami mengamalkan nilai-nilai Confucius. Antara nilai paling mulia ialah berterima kasih. Saya berpendapat orang Cina amat menghormati Confucius. Saya yakin mereka tahu apa yang perlu dilakukan. Tak perlulah kami menjelaskannya."