Sabtu, 22 Mei 2010

KERAJAAN PULAU PINANG TONGONG

PULAU PINANG 5 Mei - Kerajaan negeri ditegur kerana tidak memaparkan ikon kebudayaan masyarakat Melayu Pulau Pinang yang betul pada risalah pelancongan yang diedarkan kepada orang ramai termasuk pelancong asing.Muhammad Farid Saad (BN-Pulau Betong) berkata, risalah tersebut memaparkan wau bulan, wayang kulit dan rebana ubi untuk mewakili ikon orang Melayu di negeri ini sedangkan ia berasal dari Pantai Timur.
"Saya tertanya-tanya sama ada Exco bertanggungjawab tidak faham atau tidak ambil berat tentang perkara ini. Ketua Menteri, Lim Guan Eng sebagai orang terpelajar sepatutnya tahu.
"Saya takut jika perkara ini tidak diambil tindakan, anak jati Pulau Pinang dan pelancong asing akan keliru," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul terima kasih ucapan Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Selain itu kata Muhammad Farid, laman web Pelancongan Pulau Pinang juga tidak mempromosikan sepenuhnya kebudayaan masyarakat pelbagai kaum di Pulau Pinang.
Sebagai contoh jelasnya, dalam senarai 10 Perkara Yang Patut Dilihat, tiada satu pun yang mewakili masyarakat Melayu dan India.
"Semua produk yang disenaraikan juga hanya di bahagian pulau, tiada satu pun di kawasan Seberang Perai," ujarnya.
Beliau menambah, statistik pelancong yang menginap di hotel-hotel di negeri ini juga menurun sebanyak 5.5 peratus pada tahun lalu.
Menurutnya, berbanding dua negeri lain di bahagian utara, ia menunjukkan peningkatan iaitu Kedah 7.7 peratus dan Perlis 47.3 peratus.
Muhammad Farid yang juga Pengerusi Program Inap Desa negeri memberitahu, kerajaan negeri juga tidak memberi sebarang bantuan terhadap program berkenaan.
"Agak mendukacitakan kerana satu sen pun tidak disumbangkan oleh kerajaan negeri kepada program ini," jelasnya.