Sabtu, 22 Mei 2010

LIWAT: ANWAR SEBU DALAM KETAKUTAN


PUTRAJAYA 21 Mei - Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal menangguhkan perbicaraan kes liwatnya sementara menunggu rayuan bagi mendapatkan rakaman percakapan yang dibuat oleh Mohd. Saiful Bukhari Azlan kepada polis, dua tahun lalu.

Sehubungan itu, perbicaraan ke atas Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) tersebut yang dijadualkan disambung semula selama seminggu mulai 31 Mei ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, berjalan seperti biasa.Demikian keputusan sebulat suara panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai oleh Datuk Sulong Matjeraie hari ini. Beliau bersidang bersama Hakim Datuk Ramly Ali dan Hakim Datuk Zaharah Ibrahim.

Hakim Zaharah menggantikan tempat Hakim Datuk Mohd. Apandi Ali yang sebelum itu menarik diri selepas peguam Karpal Singh membantah kehadiran beliau ekoran penglibatannya sebelum ini dengan UMNO.Ketua Pembangkang itu memohon perbicaraan liwatnya ditangguhkan sementara rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya mendapatkan rakaman percakapan Mohd. Saiful Bukhari, 25, dilupuskan.

Hakim Sulong ketika membacakan keputusan ringkas itu menyatakan, mahkamah tidak dapat membenarkan penangguhan tersebut kerana ia tidak sesuai dikemukakan pada peringkat ini.Mahkamah berpendapat, keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah itu merupakan perintah yang dibuat dalam satu perbicaraan yang sedang berlangsung dan kesannya tidak melupuskan hak mana-mana pihak.

Menurut Hakim Sulong, ini kerana Mohd. Saiful Bukhari selaku pengadu kes masih boleh dipanggil semula dan diperiksa balas semasa peringkat prosiding sebelum keputusan diumumkan.''Keterangan saksi pendakwa pertama itu masih boleh diperiksa balas pada prosiding mencabar kredibiliti saksi dan ia boleh dijalankan pada bila-bila masa,'' ujar beliau.Ekoran keputusan itu, Karpal yang mewakili Anwar ketika ditemui pemberita di luar mahkamah menyatakan, pihaknya akan memohon tarikh awal agar pendengaran rayuan di hadapan satu panel lain di Mahkamah Rayuan dipercepatkan sebelum perbicaraan bermula akhir bulan ini.

Sebelum itu, Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden berhujah, panel tersebut tidak mempunyai bidang kuasa mendengar permohonan penangguhan itu.Menurut beliau, ia tidak sesuai dikemukakan pada peringkat ini atas alasan perintah Mahkamah Tinggi itu tidak boleh dirayu kerana ia bukan muktamad memandangkan keputusannya dibuat ketika perbicaraan masih berlangsung.

Hujah beliau, perintah itu hanya boleh dirayu jika hakim bicara berpuas hati dengan 'gerak hati' peguam bela bahawa wujud percanggahan di antara kenyataan Mohd. Saiful Bukhari kepada polis dengan keterangannya di mahkamah.Terdahulu, Karpal berhujah, penangguhan itu wajar dibenarkan kerana tiada gunanya jika perbicaraan diteruskan yang hanya menjadikan ia satu prosiding yang sia-sia.

Ujar peguam bela, ia berdasarkan 'gerak hati' pembelaan bahawa keterangan Mohd. Saiful Bukhari di mahkamah bercanggah dengan kenyataannya kepada polis ketika soal siasat dan mencacatkan pertuduhan yang dihadapi oleh Anwar.Menurut Karpal, percanggahan itu menjadikan keterangannya di mahkamah bahawa dia diliwat tanpa kerelaan, berbeza dengan pertuduhan yang dihadapi oleh Anwar.

Peguam bela menyatakan, sehubungan itu wujud keadaan-keadaan istimewa yang mewajarkan mahkamah membenarkan perbicaraan itu ditangguhkan.Pada 12 Mei lalu, Hakim Mohamad Zabidin menolak permohonan Karpal agar Anwar dibekalkan dengan semua kenyataan yang dibuat oleh bekas pembantu peribadinya itu termasuk yang direkodkan di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah.

Hakim Mohamad Zabidin berpendapat, tiada percanggahan keterangan Mohd. Saiful Bukhari di mahkamah dengan kenyataannya kepada polis berhubung kejadian liwat yang berlaku tanpa kerelaannya.Karpal memohon supaya dibekalkan dengan rakaman percakapan tersebut berikutan perbezaan keterangan Mohd. Saiful Bukhari di mahkamah dengan pertuduhan yang dihadapi oleh Anwar.

Ini kerana, katanya, Mohd. Saiful Bukhari dalam laporan polis dan keterangannya di mahkamah menyatakan kejadian berlaku tanpa kerelaan sedangkan pertuduhan terhadap Anwar di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan tidak melibatkan paksaan.Anwar, 63, dibicarakan atas tuduhan meliwat Mohd. Saiful Bukhari di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, No.99 Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.