Selasa, 29 Jun 2010

MELAYU MASIH DI TAHAP LAMA - DATO TAJUDDIN ABD RAHMAN

PARIT - UMNO hanya menang dalam pilihan raya, namun masih tidak menang dalam perjuangan kerana nasib golongan Melayu masih lagi berada pada tahap lama, kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Tajuddin Abdul Rahman ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Parit di Dewan Serba guna Majlis Daerah Perak Tengah (MDPT) Parit, Ahad lepas.



Tajuddin berkata, UMNO hanya menang dalam pilihan raya sahaja, namun masih lagi tidak mampu mengubah corak kehidupan masyarakat Melayu terutama dari segi pendidikan, ekonomi dan pembangunan orang Melayu.

“Kita memang menang setiap kali pilihan raya, namun kita hanya menang dalam pilihan raya itu tetapi masih lagi belum menang dalam pembangunan orang Melayu, pendidikan dan ekonomi orang Melayu masih lagi berada pada tahap rendah.

“Pelbagai usaha dan cara dibuat untuk membantu orang Melayu seperti penubuhan Kampung Daya Wawasan, Satu Kampung Satu Industri, Satu Daerah Satu Industri dan sebagainya namun semua boleh dikatakan sebagai gagal kerana orang Melayu kita masih lagi berada di bawah dari segi ekonomi,” katanya.

Menurutnya, UMNO memang mempunyai dasar dan polisi untuk melihat orang Melayu maju dalam segala hal melalui pelbagai usaha yang dibuat namun ia gagal dari segi pelaksanaannya.

“UMNO memang mempunyai polisi yang jelas untuk melihat pembangunan orang Melayu, namun masalahnya pelaksanaan yang dibuat tidak menepati dengan apa diinginkan.

“Apabila pelaksanaan tidak berjaya maka rakyat yang akan menerima kesannya di kemudian hari. Pastikan setiap slogan yang dilaung-laungkan menjadi kenyataan dan bukan hanya tinggal slogan semata-mata," katanya.

Beliau berkata, pemimpin atasan jangan membuat kenyataan yang boleh menyulitkan keadaan.

“Sebagai ahli dan pemimpin UMNO perlulah memberikan maklum balas yang ikhlas tentang segala rancangan yang dibuat sama ada mendatangkan hasil yang baik ataupun tidak.

“Setiap kenyataan yang keluar perlu diperhalusi terlebih dahulu kerana ia boleh menjadi isu kepada pihak pembangkang untuk menghentam UMNO,” katanya.