Isnin, 21 Jun 2010

PAS DAN BLOGGERS PAS BERTELAGAH

Bloger: 'Ada pemimpin PAS tak boleh ditegur'
Salhan K Ahmad
Jun 21, 10
2:56pm
Nasihat yang disuarakan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang supaya anggota parti berhati-hati dengan maklumat daripada blog, mengundang reaksi negatif daripada penggiat media berkenaan.

Salah seorang pengendali blog berpendapat, pandangan Abdul Hadi seperti itu menunjukkan sikap hipokrit pemimpin PAS yang pada ketika yang lain, sibuk menguar-uarkan mengenai kebebasan media.

Mat Saman Kati, pengendali Perak Express berkata PAS sepatutnya menggunakan peluang untuk lebih mendekati golongan penulis blog dan bukannya mengambil sikap bermusuhan dengan mereka.

Katanya lagi, sikap yang ditunjukkan itu dilihat sebagai satu perkembangan baru di kalangan pemimpin PAS yang mula menyedari realiti semasa.

"Dulu tidak ada macam ini, tidak ada orang yang berani tegur pemimpin PAS atau beri peringatan. Sekarang jadi fenomena baru apabila ahli PAS kritik presiden sendiri tanpa berselindung lagi," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Tambahnya, semakin ramai penyokong Pakatan Rakyat yang menulis blog apabila melihat kemenangan besar calon-calon mereka dalam pilihan raya Mac 2008.

"Harapan mereka tidak tinggi. Mereka cuma mahu lihat janji pilihan raya itu ditunaikan - janji-janji tentang kebebasan media, kebebasan berfikir dan kebebasan bersuara," katanya lagi.

Bagaimanapun, ramai di kalangan penulis blog yang berasa kecewa apabila pandangan yang diketengahkan melalui blog mereka tidak dihargai oleh para pemimpin.

"(Penulis blog) rasa sumbangan mereka ini sia-sia saja, sedangkan blogger Pakatan Rakyat inilah yang giat untuk tingkatkan imej Pakatan, tapi tidak dihargai.

"Pandangan kita dibakulsampahkan, dipanggil dengan nama 'luncai', 'pengkhianat', sedangkan kita bukan hendak kutuk semata-mata. Kita juga sedia dikutuk," katanya.

Jelasnya, pemimpin berkenaan bagaimanapun enggan bekerjasama dengan mereka, sebaliknya lebih cenderung untuk bermusuhan.

"Dalam PAS, cukup jelas siapa yang menentang dan menyokong blogger. Yang menentang itu ialah geng-geng yang (usaha membentuk) kerajaan perpaduan oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang, (timbalannya) Nasharuddin (Mat Isa).

"Mereka inilah yang teruk dihentam oleh penulis blog kerana promosi kerajaan perpaduan (dengan Umno)," katanya lagi.

Pemimpin berkenaan juga telah dijemput menghadiri satu majlis dialog dengan penulis blog berkenaan, namun jemputan itu ditolak.

Tindakan tersebut, menurut seorang lagi penulis blog, menunjukkan sikap hipokrit oleh pemimpin tersebut.

Mohd Fauzi Mohd Azmi, yang juga dikenali sebagai Topeng Perak berkata, perhimpunan berkenaan sepatutnya menjadi satu peluang untuk pemimpin berkenaan untuk menjelaskan kedudukan sebenar kepada penulis blog - khususnya berhubung dakwaan kerjasama untuk menubuhkan kerajaan perpaduan dengan Umno.

"Mereka tidak kata (pertemuan dengan pemimpin Umno) itu tidak pernah berlaku, mereka cuma melarikan diri daripada menjawab.

"Akhirnya, kongres penulis blog PAS itu menjadi medan untuk mentarbiah penulis blog supaya tidak mendedahkan isu melibatkan parti dalam blog. Perbuatan ini sebenarnya menyekat kebebasan penulis blog," katanya.

Satu lagi faktor yang menjengkelkannya, katanya, ialah tindakan PAS mengamalkan 'double standard' dalam memberikan ruang kepada media dan blogger untuk membuat liputan ketika muktamar ke-55 parti itu berlangsung pada awal bulan ini.

Mohd Fauzi berkata, golongan penulis blog sepatutnya diberikan akreditasi untuk menghadiri muktamar itu sebagai petugas media ataupun sebagai pemerhati.

"Sedangkan akhbar Utusan Malaysia diberikan pas media sedangkan mereka banyak menyerang PAS.

"Penulis blog yang banyak mempertahankan PAS pula dianggap munafik, hendak memecahbelahkan parti dan hendak melaga-lagakan kepemimpinan," katanya lagi.