Ahad, 6 Jun 2010

RENCANA MENARIK DARI UTUSAN

Anwar dan bahalol

WAJARKAH seorang pemimpin yang kononnya mendokong gagasan masyarakat berperadaban (madani), asyik melemparkan kata-kata kesat? Pertanyaan ini Awang lemparkan kepada ketua pembangkang, Anwar Ibrahim yang makin galak menggunakan perkataan kesat dan kasar dalam ucapannya. Baru-baru ini, pemimpin utama PKR itu menggambarkan hakim yang mengadili perbicaraan tuduhan liwatnya sebagai bahalol.
Ini bukan kali pertama beliau menghamburkan kata-kata sedemikian. Dalam ucapan-ucapannya di khalayak umum termasuk kempen pilihan raya umum 2008 dan beberapa pilihan raya kecil selepas itu, Anwar kerap menggunakan istilah seperti bahalol, bangang dan bodoh. Bukan itu sahaja, perkataan celaka dan sial juga digunakan.
Ternyata tabiat Anwar suka menggunakan kata-kata kesat sudah cukup mencerminkan siapakah sebenarnya beliau. Dalam kita menekankan pentingnya adab, budi bahasa dan sopan-santun terutama di kalangan anak-anak dan pelajar, wajarkah seorang pemimpin politik yang ghairah mahu menjadi Perdana Menteri, mempunyai mulut yang celupar.
Ingatlah kemuliaan seseorang bukan diukur dengan kekuasaan, kedudukan, kekayaan mahupun keturunan. Sebaliknya ia dinilai daripada banyak kriteria yang terkandung dalam al-Quran termasuk tutur kata. Sejarah telah membuktikan bahawa adab adalah penentu jatuh bangunnya pemimpin, bangsa dan negara.
Dari sudut yang lain, kenyataan Anwar itu bukan sahaja tidak menghormati dan memperlekehkan hakim bahkan menghina mahkamah. Anwar seperti biasa menggunakan pentas politik untuk membela dirinya dalam kes liwat kali keduanya itu. Awang percaya, tiada mana-mana pemimpin politik dalam dunia ini, yang bertindak seperti Anwar. Siapa sekalipun kita, mahkamah tetap mahkamah. Mewujudkan perbicaraan di luar mahkamah hanya menampakkan beliau tidak berpegang kepada prinsip keadilan. Ketika Anwar memperhebatkan usaha untuk menyelamatkan dirinya di dalam dan luar negara, Mohd. Saiful Bukhari Azlan yang mengadu diliwat, lebih banyak berdiam.
Saiful bukan sahaja nampak berani untuk melalui tekanan, mengharungi perbicaraan yang sukar dan membuat sumpah laknat atau mubahalah di masjid malah akur kepada proses mahkamah. Walaupun ada keterangan baru yang memihak kepada Saiful seperti berlaku kesan penetrasi dan DNA pada dubur dalam kes liwat itu, beliau tidak mengambil kesempatan menjajanya sebagaimana yang lazim Anwar lakukan. Kelmarin mahkamah memutuskan kes tersebut ditangguhkan hingga Julai atas permohonan Anwar. Sudah terlalu banyak kali perbicaraan ditangguhkan mengikut kehendak beliau. Lagi lama berlarutan, ia boleh menyebabkan keadilan tidak dapat dilaksanakan terutama bagi pihak yang menuntut keadilan. Namun Awang hairan di sebalik banyak penangguhan, Anwar masih mahu menganggap hakim bahalol. Dengan kata lain, jika sesiapa tidak mahu terdedah dengan kemungkinan dilabel bahalol oleh Anwar maka tunduk sahajalah kepada beliau biarpun melakukan kesalahan moral dan pembohongan seperti isu 16 September.
Pada Awang, ini bukan soal keadilan untuk Anwar semata-mata. Ia adalah keadilan untuk insan kecil seperti Saiful. Usahlah gundah untuk mencari kebenaran dan diadili. Melabel orang lain bahalol, tidak akan dapat menutup kebenaran dan sebarang muslihat. Dari sisi Islam, orang yang takutkan kebenaran, menganiaya orang lain, hipokrit besar dan bersikap pengkhianat, itulah sebenarnya bahalol. Tafsirkanlah sendiri.