Sabtu, 10 Julai 2010

JKJR Pantau Penjualan Tayar Motosikal Tidak Mematuhi Piawaian
BEGINI CARANYA...Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Sim Say Kiong (kanan) menunjukkan cara mengenalpasti tayar yang mematuhi piawaian pada Kempen Keselamatan Tayar Motosikal peringkat zon.Foto:Fadzli Ramli


MELAKA, 8 Julai (Bernama) -- Penjualan tayar motosikal yang tidak mematuhi piawaian kini dipantau Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) melalui Kempen Keselamatan Tayar Motosikal yang bermula 1 Julai lepas.

Timbalan Ketua Pengarah JKJR Sim Say Kiong berkata dalam tempoh tiga bulan permulaan kempen itu, peniaga diberi nasihat agar tidak menjual tayar yang tidak memenuhi piawaian yang ditetapkan.

Beliau berkata tayar yang dijual perlu mematuhi piawaian Sirim Berhad iaitu MS 1934 atau piawaian UN ECE (United Nation Economic Commission for Europe) iaitu E 75R atau piawaian FMVSS (Federal Motor Vehicles Safety Specifications) iaitu DOT bagi motosikal melebihi 250cc.

Mulai 1 Okt depan, tindakan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat menjual tayar motosikal yang tidak mematuhi piawaian, katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis pelancaran kempen itu bagi zon selatan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya dan Kemudahan Awam Melaka Datuk Gan Tian Loo di sini, hari Khamis.

Kempen itu dijalankan dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan dan Koperasi, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Sirim Berhad.

Sim berkata melalui kempen itu juga, pengguna dinasihati dan diberi pendidikan supaya menggunakan tayar motosikal yang selamat.

Bagaimanapun, untuk mengambil tindakan terhadap pengguna tayar motosikal yang tidak mematuhi piawaian, memerlukan masa dan kajian lebih mendalam agar perlaksanaannya tidak membebankan orang ramai.

Beliau juga berkata bagi tempoh Januari hingga Mei lepas, Melaka mencatat sebanyak 102 kematian akibat kemalangan jalan raya dan 79 daripada jumlah itu adalah disebabkan kemalangan motosikal.

Pada tahun lepas, sejumlah 6,745 kematian akibat kemalangan jalan raya dicatat di seluruh negara, dan daripada jumlah itu, sebanyak 4,067 membabitkan motosikal.

Katanya kajian yang dilakukan JKJR menunjukkan bahawa punca kemalangan motosikal adalah disebabkan faktor mekanikal, tayar tidak selamat digunakan, brek tidak berfungsi dengan baik dan lampu tidak berfungsi sepenuhnya.