Selasa, 6 Julai 2010

Kaji semula kredit mikro

KEMENTERIAN Kewangan akan mengkaji semula skim pembiayaan mikro untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi membantu mereka yang sukar mendapatkan pembiayaan dalam usaha meningkatkan aliran tunai.



Timbalan Menteri Kewangan Datuk Donald Lim , berkata kementerian akan membincangkan isu itu dengan Bank Negara Malaysia memandangkan ramai mahu kerajaan memudahkan PKS mendapat faedah daripada skim berkenaan.

“Banyak pakar ekonomi memberitahu saya pembiayaan mikro baik bagi membantu PKS, tetapi sudah tentu saya akan mendapatkan lebih banyak maklum balas,” katanya selepas merasmikan pra-pelancaran SME Solutions Expo 2010 di Kuala Lumpur, semalam.

Ketika mengulas mengenai isu beberapa PKS mendapati sukar mendapatkan pembiayaan mikro, Lim berkata kerajaan mungkin mengkaji dasar yang digunakan di negara maju mengenai bagaimana mereka mengendalikan perkara itu terutama ketika tempoh peralihan daripada negara membangun kepada negara maju.

“Kita memerlukan nasihat pakar mengenai bagaimana negara lain berdepan dengan masalah ini,” katanya.

Menurutnya, selain daripada kemudahan pembiayaan mikro, pihaknya juga memberi galakan kepada institusi perbankan agar memudahkan urusan pembiayaan khususnya untuk PKS.

“Apa yang kami dapat tahu, ada pengusaha PKS merungut kerana bank mengenakan pelbagai syarat yang terlalu ketat sebelum memberikan pinjaman kewangan.

“Jika hal ini berterusan, kita akan mendengar lebih ramai peniaga terpaksa meminjam daripada along,” katanya.

Menurutnya, setakat ini, pembiayaan mikro ditawarkan kepada usahawan kecil oleh sembilan institusi kewangan antaranya AgroBank, Alliance Bank, AmBank, CIMB Bank, Public Bank, United Overseas Bank, Bank Rakyat, Bank Simpanan Nasional dan EONCAP Islamic Bank.