Jumaat, 16 Julai 2010

Ketepikan Politik Sempit Jika Mahu Penyatuan Melayu

KUALA LUMPUR 16 Julai -- Ketepikan kepentingan politik sempit apabila ingin membincangkan isu membabitkan penyatuan orang Melayu dan Islam di negara ini, Perkara itu tidak akan dapat dilaksanakan jika perkara itu tidak ditangani.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin berkata fahaman politik yang berbeza serta keterlaluan oleh sesetengah pihak menyebabkan berlakunya perpecahan di kalangan orang Melayu dan Islam di negara ini dan perancangan itu sukar dilaksanakan dan mungkin tidak menjadi kenyataan.

"Sebagai orang Islam, tolak mana kepentingan, kecederungan atau penglibatan dalam politik, jika diketepikan soal politik, saya percaya tidak ada orang Islam yang ingin melihat mereka tidak bersatu, oleh itu ketepikan fahaman politik.

"Tidak ada sebab dalam hal-hal yang ada kaitan dengan Islam kita tidak boleh duduk semeja dan cuba mempertahan, melindungi, menjayakan agama kita. Sudah sewajarnya, saranan Timbalan Presiden UMNO ,Tan Sri Muhyiddin Yassin disambut dengan hati yang terbuka untuk menjaga agama kita," katanya.