Rabu, 11 Ogos 2010

200 RIBU BEKAS TENTERA TIDAK MENYERTAI PERSATUAN

200 ribu bekas tentera tidak menyertai pertubuhan tersebut. Adakah mereka ini kurang arif tentang kewujudan pertubuhan ini, atau mereka memang sengaja tidak berminat untuk menyertainya. Ini satu persoalan.

TM difahamkan bahawa PBTM terdapat disegenap negeri, daerah dan mukim jadi tidak mustahil mereka tidak peka dengan pertubuhan ini.

Peranan dan matlamat penubuhan PBTM untuk menjalankan tanggungjawab sosial terhadap bekas tentera.

Maklumat daripada laman web rasmi,PBTM kini mempunyai 14 bahagian dan 200 cawangan di seluruh Negara, dan jumlah ahli yang mendaftar sehingga tahun 2001 ialah seramai 125,819 orang dan kini mencapai 150 ribu orang.

Presiden PBTM menyeru mereka yang belum berdaftar sebagai ahli persatuan agar segera berbuat demikian bagi membolehkan mereka menerima faedah sebaik sahaja Akta Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dilaksanakan.
Kebajikan pesarapesara tentera di seluruh negara akan terpelihara setelah Akta Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diluluskan.Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM, Mejar Jeneral Dato’ Zulkiflee Mazlan berkata, akta tersebut kini pada fasa penggubalan terakhir dan akan dikemukakan kepada Ketua Peguam Negara sebelum dibentangkan pada persidangan Parlimen pada Mac depan. “Apabila akta ini diluluskan oleh Parlimen nanti dan menjadi undang-undang, ia bukan sahaja dianggap sebagai keistimewaan, tetapi juga melindungi hak para veteran tentera di seluruh negara,”

Presiden PBTM, Datuk Muhammad Abd. Ghani berkata, sehingga kini, sambutan yang diterima daripada golongan tersebut untuk mendaftar sebagai ahli agak mendukacitakan.  Mereka sepatutnya tampil dan merebut peluang yang ada kerana usaha ini untuk kebaikan dan masa depan bekas tentera sendiri.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis perasmian Persidangan Perwakilan PBTM Perak Ke-23 dan Pelancaran Kempen Kutipan Rayuan Hari Pahlawan peringkat negeri Perak di Ipoh baru-baru ini.

Menurut Muhammad, hanya 149,000 daripada 458,000 bekas tentera telah mendaftar sebagai ahli persatuan setakat ini manakala dianggarkan kira-kira 100,000 lagi telah meninggal dunia.

Katanya, kebanyakan yang belum mendaftar sebagai ahli dikhuatiri tidak dapat menikmati kemudahan ditawarkan mengikut akta baru itu.

Jelas beliau, antara yang diperjuangkan PBTM termasuklah mendapatkan pencen untuk pesara tentera yang berkhidmat lebih 10 tahun dan menaikkan kadar pencen pesara yang berkhidmat selama 21 tahun.

TM menganggap bahawa 200 ribu ini memang tidak berminat untuk berpesatuan kerana mereka lalai selepas berhenti atau bersara. Setelah terlalu bermewah dengan ganjaran yang mereka perolehi sewaktu mula-mula berhenti menyebabkan mereka lupa diri dan akhirnya jatuh miskin dan hidup melarat sehingga malu untuk mengisytiharkan diri mereka bekas tentera.

Kemungkinan lain ialah mereka ini terjebak dengan masalah dadah dan menjadi bangkai bernyawa. Ada juga yang terlibat dengan penjualan dadah dan mereka ditahan di bawah ISA.

Kemungkinan lain ialah mereka sendiri tidak berminat dengan persatuan kerana kemasukan mereka dalam tentera hanyalah bersifat cari makan dan apabila menjadi orang awam, pergi jahanam dengan tentera dan mereka inilah penentang kerajaan dan menjadi penyokong tegar parti pembangkang.

Di Taiping terdapat ramai bekas-bekas tentera yang berasal dari Pantai Timur, Selatan dan Utara menjadi pemastautin tetap di bandar ini selepas mereka bersara. Taman-taman perumahan yang menjadi tumpuan mereka ialah Taman Berkat (Simpang), Taman Mewah, Taman Palma, Taman Yayasan, Taman Jana , Taman Desa Jana, (Kamunting) , Taman Lela, Taman Rakyat dan Taman Kota Wira  (Batu Kurau) dan di kampung-kampung tersusun yang lain.

Amat mudah untuk mengenail bekas-bekas tentera ini kerana kebanyakan mereka akan melekatkan lambang-lambang batalion, unit dan kor mereka pada kenderaan atau pada dinding rumah mereka. Ramai pula yang berbangga meletakkan gambar-gambar pemimin politik dan bendera politik pada cermin kereta mereka seperti gambar Tok Guru Nik Aziz dan logo Bulan Mengambang.

Di Kamunting baru-baru ini terdapat seorang bekas tentera telah mendapat bantuan kewangan daripada Dap untuk membantu anaknya yang akan ke Indonesia dalam program pertukaran pelajar. Anaknya adalah pelajar tahun 2 pengajian bahasa dari Universiti Malaya.

Kadang kala kita sebagai orang awam kurang faham dengan sikap yang ditonjolkan oleh bekas-bekas tentera ini, mereka menyokong Pas dan Dap untuk apa?  Tidak kah mereka tahu bahawa Dap baru-baru ini telah berusaha untuk membawa balik bekas pembunuh tentera nombor 1 di Malaysia.

Adakah mereka lupa bahawa Chin Peng terus membunuh, memotong kaki dan membutakan mata anggota tentera. Di Taiping masih terdapat ramai lagi anggota tentera yang hidup tetapi cacat kekal angkara komunis.