Ahad, 1 Ogos 2010

70 ribu pelajar Kelantan terima bantuan

Seramai 70,000 murid sekolah dan pelajar Tingkatan Enam yang layak menerima agihan wang ihsan berjumlah RM14 juta di negeri ini dijangka mendapat duit raya sebelum Aidilfitri.

Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan, Makhtar Mustapha berkata, pihaknya akan memastikan kesemua murid dan pelajar itu menerima wang ihsan berkenaan yang dianggarkan berjumlah RM200 untuk setiap seorang.

"Sehingga kini, JPP sedang menyiapkan borang permohonan kepada pelajar yang belum mendaftar bagi memastikan tiada yang tercicir.

"Justeru bagi memastikan kelancaran pengagihan wang ihsan, kita mahu pemohon melengkapkan borang permohonan dan segera menghantarnya kepada pihak kita sebelum Ramadan ini,” katanya kepada pemberita selepas program mesra rakyat anjuran Biro Pengaduan Awam (BPA), Jabatan Perdana Menteri (JPM) dengan kerjasama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan dan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan di sini, hari ini.

Makhtar berkata, bagi sebuah keluarga, dihadkan hanya dua orang daripada anak mereka boleh menerima bantuan dan sekiranya ada tiga permohonan, pihaknya tetap akan memilih dua yang layak.