Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu merupakan arahan terkini Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang disampaikan kepadanya sebelum berangkat ke luar negara untuk bercuti baru-baru ini.
Beliau yang juga Timbalan Presiden Umno berkata, penubuhan pasukan khas yang dibentuk di bawah pimpinan ketua bahagian ini berperanan untuk memastikan setiap individu yang dianggap layak untuk didaftarkan sebagai pemilih sama ada untuk kawasan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) didafarkan.
"Sebelum beliau berangkat ke luar negara (beliau) telah menyebut kepada saya untuk memperingatkan supaya setiap bahagian mempunyai satu pasukan yang khusus yang dibentuk. Soal ini adalah sesuatu yang ditekankan oleh Perdana Menteri," katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Umno Wilayah Persekutuan (WP) pada hari Ahad.
Hadir sama Timbalan Pengerusi Umno WP Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, Ketua Penerangan Umno WP Datuk Dr Mohd Shafie Abdullah dan Ketua Umno Bahagian Putrajaya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Muhyiddin yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno WP berkata, pasukan itu juga perlu mengenal pasti individu yang mencapai umur 21 tahun untuk disimpan di dalam rekod daftar pemilih bagi memudahkan usaha bahagian-bahagian Umno mendaftarkan mereka apabila layak untuk menjadi pemilih di kawasan berkenaan.
"Penubuhan pasukan khas ini penting kerana walaupun pelbagai inisiatif telah dibuat namun jumlah yang berjaya didaftarkan adalah agak perlahan berbanding jumlah yang dicatatkan pembangkang.
"Saya nak sebutkan soal ini kerana walaupun inisiatif untuk mendaftarkan pemilih sudah dilakukan tetapi nampaknya pihak di sebelah sana (pembangkang) lebih cergas daripada kita. Mereka tidak berhenti untuk berusaha menambah daftar pemilih dengan jumlah ahlinya meningkat setiap bulan," katanya.
Muhyiddin berkata, walaupun Umno telah bergerak pantas sejak sekian lama tetapi masih terdapat ruang yang perlu diperbaiki bagi menyaingi pembangkang, namun beliau percaya bilangan pendaftaran pemilih akan lebih berkesan dengan adanya usaha seumpama ini.
Sehubungan itu, beliau memohon kerjasama daripada semua pemimpin di setiap bahagian dan cawangan mengambil perhatian yang utama dalam soal pendaftaran pemilih dan pengundi bagi memastikan matlamat menambahkan jumlah pendaftaran tercapai.
Katanya, tanggungjawab pemimpin di semua peringkat adalah untuk menyemak daftar pemilih dan mengenal pasti sama ada mereka yang telah dicadang untuk didaftarkan berada di kawasan tersebut dan memastikan kedudukan mereka sebelum Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mewartakan nama mereka sebagai pemilih di kawasan berkenaan.
Beliau berkata, pelantikan penolong pendaftar pemilih oleh SPR di kalangan pemimpin yang dipilih di peringkat bahagian juga akan memudahkan lagi usaha pasukan khas yang bakal ditubuhkan dalam misinya menambah bilangan pendaftar.
"Pihak SPR menawarkan RM1 bagi seorang pemilih kepada penolong pendaftar pemilih dan Umno menawarkan lebih besar daripada itu. Jadi, saya harap soal pendaftaran pemilih ini akan dapat diberikan perhatian yang berterusan sepanjang masa," katanya.