Ahad, 22 Ogos 2010

MAVI MARMARA DISERANG ZIONIS


Israeli Attack on the Mavi Marmara, May 31st 2010 // 15 min. from Cultures of Resistance on Vimeo.

Serangan Mavi Marmara serlah kebiadapan Israel
Oleh Aziana Mohamad Aripin

2010/06/03
Tindakan rejim Zionis halang misi bantuan Gaza cabul prinsip keamanan, kemanusiaan

MISI keamanan membawa bantuan ke Gaza jelas satu perjalanan yang penuh onak dan ranjau. Rejim Zionis yang begitu sinonim dengan kekejaman seolah-olah beraja di mata, bersultan di hati. Media barat yang dikuasai mereka sukar dipercayai melainkan media kita melihat sendiri kekejaman dilakukan mereka di depan mata.

Pelbagai versi didengar mengenai peristiwa serangan kapal Mavi Marmara oleh komando Israel. Rombongan yang membawa hampir 540 orang sukarelawan di atas kapal itu datang ke Gaza bertujuan menghulur bantuan, bukan datang untuk menimbulkan kekacauan.
Rejim Zionis langsung tidak menghormati prinsip keamanan dan Resolusi 1860 yang diputuskan pada 2009 oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Misi ini jelas mengikut Resolusi 1860 yang dalam misi penghantaran bantuan kemanusiaan kepada Gaza termasuk makanan, minyak dan kemudahan perubatan.

Kapal Mavi Marmara membawa 10,000 tan barangan bantuan dan langsung tidak membawa sebarang senjata untuk mencetuskan provokasi terhadap mana-mana pihak. Laporan media Israel bahawa kapal itu melepaskan tembakan adalah penipuan semata-mata.

Kebiadapan tentera Israel jelas terbukti apabila menyerang kapal yang membawa bantuan kemanusiaan dan keamanan di perairan antarabangsa yang jauh dari perairan mereka.
Malah, kapal Mavi Marmara ditunda hingga ke Haifa, Israel dan bersama-sama kapal atau floatila ini adalah pengamal media dari negara kita dan antarabangsa yang turut ditawan tentera Israel. Mereka kini sudah dibebaskan.

Umat Islam sepatutnya mendesak semua pemimpin dunia melalui PBB supaya mendapatkan maklumat lengkap kejadian serangan ini agar dapat dimaklumkan kepada semua pihak termasuk rakyat Malaysia atas nama keamanan dan perikemanusiaan sejagat.

Memorandum bantahan patut diserahkan kepada Israel melalui kedutaan Amerika Syarikat sebagai penghubung terdekat.

Perjuangan fisabilillah sukarelawan dari negara kita meninggalkan anak , isteri dan saudara mara adalah satu pengorbanan besar demi menjayakan misi konvoi bantuan tujuh kapal termasuk kapal Mavi Marmara yang membawa bantuan makanan dan ubat-ubatan.

Dalam masa kita bersenang-lenang di negara sendiri, kita sepatutnya merenung sejenak kepada saudara kita di Gaza yang sedang berjuang menghantar bantuan demi kelangsungan umat Islam di bumi anbia itu.

Kita wajar mengutuk sekeras-kerasnya pencabulan prinsip kemanusiaan oleh rejim Zionis dan memohon kepada pihak kerajaan kita untuk turut sama mengutuk tindakan di luar batas kemanusiaan rejim Zionis ini.

Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan PBB perlu mengambil ketetapan dan resolusi untuk bersama-sama mengutuk tindakan zalim pihak Zionis dan memohon supaya rakyat Malaysia tidak mengira bangsa dan agama sama-sama mendoakan kesejahteraan peserta konvoi.

Bagi seluruh rakyat negara ini tidak kira parti politik dan kepercayaan, wajar melupakan sejenak sengketa dan hasad dengki. Inilah masanya kita bersatu demi prinsip keamanan dan kemanusiaan.