Selasa, 24 Ogos 2010

SEJARAH PASUKAN ASKAR WATANIAH MALAYSIA

Tamatnya peperangan menentang komunis pada tahun 1958 (secara rasminya pada 31 Julai 1960), pasukan Home Guard telahpun diputuskan untuk pembubaran. Namun begitu, masih ramai di kalangan anggota-anggota Sukarela terutamanya daripada pasukan Home Guard masih ingin meneruskan aktiviti mereka dalam perkhidmatan Sukarela.

 Walau bagaimanapun setelah mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, kerajaan telah mula sedar tentang pentingnya penglibatan rakyat dalam menjaga keamanan negara.


Kerajaan berpendapat amatlah perlu semangat berkhidmat secara sukarela dihidupkan dan dikekalkan. Justeru itu, pada tahun 1958 kerajaan telah mengambil keputusan untuk menyusun semula semua pasukan Sukarela supaya ia menjadi lebih tersusun dan berkesan.

Sesuai dengan keputusan itu, satu undang-undang bagi tujuan penubuhan pasukan tersebut telah digubal. Undang-undang utama yang telah digubal ialah The Territorial Army Ordinance, 1958, The Territorial Army (Terms of Service) Regulation 1959, dan The Territorial Army (Pay and Allowances ) Rules, 1959.

Berpandukan kepada undang-undang ini, pada 1 Jun 1958, tertubuhlah pasukan Askar Wataniah Malaysia dan seorang Pengarah Askar Wataniah telah dilantik. Jabatanarah Askar Wataniah seterusnya diletakkan di bawah pengawasan dan kawalan Ketua Turus Tentera Darat.

Tujuan utama penubuhan pasukan Askar Wataniah adalah untuk melatih belia-belia negara dengan latihan ketenteraan sepenuhnya supaya membolehkan mereka menjadi anggota simpanan tentera yang bersedia serta mampu membantu pasukan keselamatan mempertahankan negara apabila keadaan memerlukan.

Pada peringkat permulaan, ramai anggota bekas pasukan Home Guard, Volunteer Force, Pasukan Sukarelawan dan Pegawai Tentera yang telah bersara, menyertai Askar Wataniah dan merekalah yang menjadi pelopor kepada penubuhan pasukan Askar Wataniah ini. Untuk peringkat awal, Askar

Wataniah Malaysia telah dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu :
  1. Pasukan Teknikal
  2. Pasukan Infantri

Untuk kemudahan latihan, empat kem latihan telah didirikan di tempat-tempat berikut:

  1. Tanjung Keling, Melaka.
  2. Mentakab, Pahang.
  3. Pasir Puteh, Kelantan.
  4. Siputeh, Perak.

Pada tahun 1963, sekali lagi pasukan Askar Wataniah telah terlibat dalam penyusunan semula. Pada tahun ini juga, Persekutuan Tanah Melayu telah digantikan dengan nama Malaysia yang mana ia merangkumi Singapura, Sabah dan Sarawak.

Penubuhan Malaysia pada 16 September 1963 bagaimanapun telah ditentangi oleh kerajaan Indonesia (pimpinan Presiden Sukarno). Ini telah mengakibatkan pihak Indonesia melancarkan konfrontasi terhadap Malaysia dan sekali lagi keselamatan negara terancam.

Sebilangan besar anggota-anggota ini telah dikerah berkhidmat sepenuh masa bagi membantu tentera Tetap menjalankan tugas. Dengan timbulnya pelbagai ancaman terhadap keselamatan negara, pasukan Askar Wataniah mula diperbesarkan. Ia telah dibahagikan kepada dua bahagian seperti berikut:

Bahagian Pertahanan Pertama
Ia terdiri daripada Pasukan Infantri dan Pasukan Teknikal. Pasukan Infantri mengandungi 4 batalion, iaitu:

  1. 11 Bn Inf AW - diserap menjadi 23 RAMD.
  2. 12 Bn Inf AW - diserap menjadi 24 RAMD.
  3. 13 Bn Inf AW - diserap menjadi 25 RAMD.
  4. 14 Bn Inf AW - diserap menjadi 9 Renjer DiRaja.

Pasukan Teknikal pula mengandungi pasukan seperti berikut:

  1. Semboyan.
  2. Jurutera.
  3. Pengangkutan dan Bekalan.
  4. Jurutera Letrik dan Jentera.

Kelengkapan.
Probos.

Bahagian Pertahanan Kedua
Sebanyak dua belas Pasukan Pertahanan Tempatan (PPT) atau Local Defence Corps (LDC) telah ditubuhkan. Tiap-tiap sebuah negeri mempunyai satu pasukan ini, manakala Sabah menubuhkannya dalam tahun 1968 dan Sarawak pada tahun 1973.

Pada masa ini sebilangan besar pegawai dan anggota Sukarela dari beberapa pasukan LDC telah dikerah berkhidmat sepenuh masa untuk membantu Angkatan Tetap menghadapi ancaman konfrontasi ini.

Tugas utama yang telah diberikan kepada Askar Wataniah Malaysia ialah menjaga keselamatan semua lokasi sasaran penting dan ada di antara mereka telah dihantar ke Singapura, Sabah dan Sarawak.

Tragedi 13 Mei 1969 sekali lagi memperlihatkan keempat-empat batalion infantri (AW) yang wujud, dikerah semula dan pada 1 Mac 1978 mereka telah diserapkan ke dalam Angkatan Tetap bagi memenuhi keperluan pembesaran Tentera Darat.

Sesuai dengan pembesaran Tentera Darat di bawah rancangan Pembangunan Istimewa Angkatan Tetap (PERISTA), Askar Wataniah Malaysia juga turut diperbesarkan.

Ini telah menampakkan kepentingan Pasukan Tentera Simpanan dalam konteks keselamatan dan pembangunan negara. Pada awal tahun 80-an, pentadbiran Askar Wataniah Malaysia keseluruhannya telah diubahsuai dan disusun semula.

KERAHAN LEBUHRAYA TIMUR-BARAT (LRTB)
Hasrat kerajaan untuk membangunkan kawasan Utara Semenanjung telah dimulakan dengan pembinaan jalan raya menghubungi pekan Grik di Perak dengan Jeli di Kelantan.

Usaha pembinaan ini bermula pada tahun 1974 dan pada masa yang sama wujudnya percubaan-percubaan PKM untuk menyusup masuk ke Semenanjung dari Selatan Thailand.

Mereka telah menimbulkan berbagai-bagai ancaman terhadap pembinaan Lebuh raya Timur-Barat (LRTB), serta berhasrat untuk menggagalkan usaha pembinaan ini.

Permulaan pengkhianatan PKM di LRTB ini adalah dengan berlakunya pemusnahan 69 buah loji/jentera pembinaan serta pembunuhan dua orang awam pada 24 Mei 1974, 11 Ogos 74 dan 19 Ogos 74.

Untuk menangani situasi ini, ramai anggota Sukarela Askar Wataniah Malaysia telah dikerah berkhidmat sepenuh masa bagi menjaga keselamatan di sepanjang LRTB. Pada permulaannya anggota-anggota Kerahan ini telah disusun mengikut platun-platun dan ditugaskan di pos-pos tertentu sepanjang LRTB.

Pada tahun 80-an, struktur platun-platun ini telah disusun semula dan diwujudkan batalion-batalion infantri siri 300 bagi tujuan memperkemaskan lagi kawalan dan pentadbiran anggota Kerahan ini.

Walau bagaimanapun, Batalion Siri 300 ini tidak termasuk dalam struktur atau organisasi Rejimen Askar Wataniah Malaysia kerana ia merupakan satu pasukan sementara dan kewujudannya adalah semata-mata berdasarkan keperluan operasi.

Sebagaimana yang sedia maklum, Askar Wataniah adalah Pasukan Simpanan Tentera Darat yang mempunyai peranan amat penting dan penuh ertinya dalam konteks pertahanan negara kita.

Dalam usia 41 tahun yang lalu banyak pengalaman telah dialami. Konfrontasi Indonesia dan peristiwa 13 Mei adalah bukti di mana tenaga anggota Askar Wataniah amat diperlukan untuk menjalankan berbagai-bagai tugas keselamatan.

Pendek kata, kekuatan tentera perlu diseimbangkan bagi membendung dan menghapuskan ancaman yang dihadapi seperti :

  1. Ancaman terhadap Ketenteraman Awam.
  2.  Ancaman berpunca dari luar negeri.

Tujuan penyusunan semula adalah untuk membentuk satu organisasi yang lebih 'functional' dan teratur demi menentukan pentadbiran yang lebih sempurna serta meninggikan lagi mutu latihan anggota-anggota Sukarela.

Adalah wajar bagi Tentera Darat untuk menyediakan Pasukan Simpanan yang secukupnya dan boleh dikerah dalam masa yang singkat apabila diperlukan.

PEMBESARAN AW
Dalam perkembangan penyusunan semula pasukan Askar Wataniah telah mengstruktur semula pasukan-pasukan Siri 500 AW dengan mewujudkan rejimen-rejimen di setiap Negeri.

Pada tahun 1997 Askar wataniah telah berjaya menambah 4 x Rejimen (MAT ke 353 pada 28 Julai 1996) secara 'ad-hoc' mulai 18 Ogos 1997 dengan menggunakan sumber perjawatan Bn ke 4 dan Bn ke 5 Siri 500 AW sedia ada . Rejimen-rejimen tersebut adalah seperti berikut :

  1. Rej 513 AW - Sg Petani, Kedah.
  2. Rej 514 AW - Bukit Beruang, Melaka.
  3. Rej 515 AW - Jalan Ampang Kuala Lumpur.
  4. Rej 516 AW - Tawau, Sabah.

KOMITMEN KERAJAAN NEGERI MELALUI JAWATANKUASA PENDUKUNG


Untuk mewujudkan sistem pertahanan setempat dengan menggalakkan penyertaan rakyat dalam AW, galakan dan kerjasama kerajaan negeri telah diperolehi melalui Penubuhan Jawatankuasa Pendukung AW (JAKPAW) di setiap negeri.

Selaras dengan itu jawatankuasa Panglima-panglima ke 299 pada 5 Apr 95 telah meluluskan konsep anak angkat melalui JAKPAW negeri-negeri. Peranan dan fungsi JAKPAW ialah berlandaskan PMAT 1/96. JAKPAW telah memberikan sokongan dan menyemarakkan pembangunan AW.

Sokongan dan kerjasama yang dirancang oleh kerajaan negeri ialah :

  1. Kem Gunasama.
  2. Promosi dan pendedahan tentang AW.
  3. Menggalakkan penyertaan melalui komitmen majikan.

Untuk penyelarasan JAKPAW seluruh negeri, maka satu perundingan dikenali sebagai Sidang Pengerusi-Pengerusi Jawatankuasa Pendukung (SPJP) telah ditubuhkan pada 2 Nov 98.

Ia bertujuan untuk menyelaraskan dasar dan aktiviti JAKPAW diperingkat Nasional. Pengerusi-Pengerusi JAKPAW terdiri daripada Setiausaha-Setiausaha Kerajaan Negeri yang merupakan ahli kepada SPJP.



SKAW
Forum khas ini diwujudkan untuk penyelarasan pendapat dan keseragaman pelaksanaan pembangunan Askar wataniah.

Persidangan adalah dipengerusikan oleh Timbalan Panglima Tentera darat dan ahli-ahli terdiri daripada komander-komander Rejimen serta turut hadir wakil MKTD, wakil MK Medan TD, Wakil Divisyen, Wakil Puswatan dan Timbalan Komander PALAPES. Sejak penubuhan forum ini banyak kertas kerja telah dibentang dan dipersetujui untuk pembangunan AW.

Sumber: mmu/edu

2 ulasan:

  1. adakah tentera wataniah mempunyai kwsp?
    sye ingin mengetahui nya kerana ayah saya juga salah seorang daripada bekas askar wataniah.

    BalasPadam
  2. Ceritakan tentang PW1 LELIAS BIN IBRAHIM

    BalasPadam