Khamis, 30 September 2010

PARTI KEADILAN YANG TIDAK PERNAH ADIL

Pemilihan PKR Bayan Baru didakwa tidak adil dan berat sebelah

Ahli-ahli Cabang PKR Bayan Baru menunjukkan laporan polis yang mendakwa pemilihan cabang tersebut tidak sah kerana dijalankan secara tidak adil dan berat sebelah di Sungai Dua, Pulau Pinang, semalam.




PULAU PINANG 28 Sept. - Episod kekecohan dalam pemilihan cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) di beberapa negeri kini merebak di Pulau Pinang.

Terbaru, beberapa ahli parti itu mendakwa pemilihan cabang Bayan Baru yang diadakan Sabtu lalu tidak sah kerana ia dijalankan secara tidak adil dan berat sebelah.

Ahli Jawatankuasa PKR cabang berkenaan, Annuar Ismail mendakwa, keputusan pada pemilihan itu tidak menggambarkan keadaan sebenar kerana terdapat satu usaha untuk menyelamatkan kedudukan pemimpin-pemimpin tertentu sehinggakan hak ahli lain dinafikan.

Jelas beliau yang merupakan pengurus operasi pemilihan 'Team Rakyat', dalam mencapai matlamat tersebut pihaknya telah diperlakukan, ditekan, diprovokasi oleh kelompok berkenaan dengan pelbagai tohmahan dan fitnah.

''Sepanjang proses pemilihan berlangsung, 'Team Rakyat' dinafikan haknya sebagai pemerhati dan petugas manakala penyokong 'Team Reformasi' dilantik sebagai petugas pemilihan.

"Masa mengundi turut dilanjutkan dari pukul 4 petang ke 5.30 petang tanpa notis ataupun usul di dalam mesyuarat agung yang bersidang awal pada hari yang sama (Sabtu).

''Kertas fotostat juga digunakan sebagai kertas undi selain pengundi mengadu petugas memanipulasi undi dengan memberi kertas undi lebih kepada pengundi Cina, tidak memberi kertas undi Angkatan Muda Keadilan (AMK) kepada pengundi muda, India dan wanita," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di sini hari ini.

Pemilihan yang berlangsung di Dewan Jubilee, Sungai Nibong itu menyaksikan hampir kesemua jawatan yang dipertandingkan termasuk Ketua Cabang, AMK dan Wanita dimenangi 'Team Reformasi' yang dipercayai diketuai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerejak, Sim Tze Tzin.

Tze Tzin yang juga bekas setiausaha politik Datuk Seri Anwar Ibrahim menang kerusi Ketua Cabang dengan 499 undi selepas menewaskan bekas Timbalan Ketua M. Nyanasegaran yang memperoleh 265 undi.

Kerusi Ketua Cabang PKR Bayan Baru kosong selepas bekas ketuanya, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim keluar dari parti itu.

''Terdapat juga aduan, petugas menunjukkan kotak yang salah kepada kebanyakan warga emas buta huruf dan tidak tahu membaca apabila mereka bertanyakan kotak calon pilihan mereka," ujarnya.

Tambah Annuar, jumlah mereka yang keluar mengundi juga agak ganjil dan tidak munasabah iaitu hanya 792 undi berbanding pengundi yang dibawa pihaknya pada hari itu iaitu melebihi 1,500 orang yang merupakan penyokong Nyanasegaran.

Katanya, beliau ada membuat empat aduan iaitu dua secara lisan dan dua secara rasmi sebagai bantahan awal pada hari pengundian, namun ia tidak dihiraukan Timbalan Setiausaha Agung PKR, Sharifah Shahida yang bertindak sebagai pemantau.

Sebaliknya mereka yang mengadu diugut untuk diambil tindakan.

Justeru, kata Annuar, beliau telah membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Nibong pada Ahad lalu berhubung proses pemilihan cabang PKR Bayan Baru tersebut.

''Kami membantah keputusan pemilihan itu kerana ia dijalankan secara tidak bersih, amat tempang serta memalukan parti.

Jika selama ini PKR selalu melaung- laungkan menuntut keadilan, saya rasa pihak-pihak seperti ini perlu membuat reformasi diri mereka sendiri terlebih dahulu sebelum berkata-kata," katanya.

Menurut Annuar, pihaknya sedang mengumpulkan maklumat berkenaan semua ahli yang keluar mengundi dan memulakan bantahan susulan kepada Jawatankuasa Pemilihan Pusat bagi membolehkan pemilihan baru dijalankan.

Kata Annuar, pihaknya memberi tempoh 14 hari kepada PKR Pusat untuk memberi keputusan berhubung perkara itu sebelum merujuk perkara tersebut kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) bagi tindakan lanjut jika permintaan mereka itu ditolak.