JAKARTA 12 Okt. - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengunjungi Indonesia hari ini mendakwa pertikaian dan masalah Malaysia-Indonesia boleh diselesaikan segera jika beliau menjadi Perdana Menteri.
Dakwanya, beliau hanya memerlukan beberapa minggu sahaja untuk mencari jalan penyelesaian terhadap segala kemelut yang berlaku melibatkan kedua-dua negara.
Dalam wawancara dengan stesen televisyen TVOne, Anwar berkata, tujuannya ke Indonesia adalah bagi menyatakan tidak ada sentimen memusuhi dan menghina negara itu, melainkan kalangan mereka yang jahil, dangkal atau sombong.
Anwar juga dengan angkuh mendakwa beliau lebih memahami sistem pemerintah di Indonesia kerana mendukung demokrasi, berbanding pihak pemerintah Malaysia.
Selain itu, Anwar yang dilihat berang dengan tindakan media Malaysia mendedahkan kepincangan yang berlaku di dalam PKR mengambil kesempatan ketika wawancara tersebut untuk melabelkan media di Malaysia sebagai menjijikkan kerana menjadi alat propaganda kepada kerajaan.
Difahamkan, Anwar berada di Indonesia sejak semalam, bagaimanapun tidak diketahui apa tujuan kunjungan berkenaan yang merupakan kali kedua dalam tempoh tidak sampai dua minggu.
Sementara itu, Anwar pada sidang akhbarnya selepas pertemuan Timbalan Speaker Dewan Rakyat Indonesia, Priyo Budi Santosa, berang apabila ditanya mengapa beliau tidak hadir pada sidang Dewan Rakyat di Malaysia, sebaliknya sibuk mengadakan pertemuan dengan ahli Parlimen Indonesia.
Tanpa menjawab pertanyaan itu beliau terus menyerang wartawan Utusan Malaysia sebagai berniat jahat.
"Akhbar ini milik UMNO kerja mereka hanya serang saya dan tidak pernah beri ruang bebas, kehadiran saya di sini juga tidak disenangi dan diserang sebagai tidak setia kepada negara," katanya.
Anwar juga menuduh Utusan Malaysia tidak pernah melaporkan Perdana Menteri dan menteri-menteri yang tidak hadir pada sidang yang sama kerana akhbar berkenaan dikawal oleh UMNO.
Sedangkan kata Anwar, semalam beliau hadir di Dewan Rakyat dan bertanyakan soalan kedua sebelum bertolak ke Indonesia pada sebelah petangnya.
"Kepada Utusan Malaysia saya ingin nasihat, Indonesia itu tidak semuanya tenaga kerja (TKI), tidak semua kongsi, tidak semua reformasi huru-hara, akhbar di sini beri liputan lebih adil, reformasi sangat bererti untuk mematangkan demokrasi, pertumbuhan ekonomi Indonesia jauh lebih baik daripada Malaysia dan pelaburan Indonesia juga jauh lebih baik," kata Anwar yang sering menggambarkan bahawa beliau akan menjadi Perdana Menteri pada bila-bila masa sahaja. - utusan