PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengusulkan kemungkinan diwujudkan Model Politik Baru bagi memastikan kelangsungan UMNO sebagai parti yang menerajui pemerintahan negara.
“Bukan saja kita perlu Model Ekonomi Baru, kita mungkin perlu Model Politik Baru,” katanya berucap pada majlis pelancaran Kelab Umno Pesara Kakitangan Kerajaan di Seri Perdana di sini, semalam.
Najib, yang juga Presiden UMNO berkata, strategi seperti ‘politik pembangunan’ tidak lagi berkesan jika digunakan sekarang.
“Saya kira mengapa orang menolak parti yang banyak berjasa dulu kerana parti itu tidak berubah. Parti itu dilihat sebagai kaku dan tidak dinamik. Mereka tidak berubah mengikut masa.
“Tetapi sebaliknya jika kita berubah dan kita dilihat sebagai parti yang dinamik dan segar, insya-Allah sokongan rakyat pada kita akan berterusan pada masa akan datang,” katanya.
Najib berkata, kegemilangan sesebuah parti yang memerintah, membawa banyak perubahan dan membela untung nasib rakyat bukanlah satu jaminan untuk parti itu terus berkuasa.
Namun, katanya, Model Politik Baru ini tidak akan mengubah matlamat perjuangan UMNO, sebaliknya perubahan yang dilakukan hanya dari segi kaedah, tetapi objektif adalah sama dan akan terus dipertahankan.
“Takrifkan semula perjalanan ke arah mencapai matlamat kita sebab persekitaran sudah berubah. Persekitaran yang berubah ini bermakna strategi kita juga disesuaikan dengan konteks yang baru ini.
“Orang kata persekitaran baru metodologi lama (walhal) yang sepatutnya persekitaran baru metodologi baru. Barulah UMNO dilihat sebagai parti yang dinamik,” kata Perdana Menteri.
Beliau memberi jaminan bahawa, walaupun perubahan berlaku, matlamat dan semangat perjuangan UMNO sejak dulu tetap kekal dan pimpinan hari ini akan terus memperjuangkan apa diasaskan pemimpin terdahulu.
Najib berkata, pada masa sama, keseimbangan perlu ada dalam memerintah sesebuah negara.
“Takkanlah (kumpulan) majoriti dalam satu negara (memiliki) jumlah kekayaan yang kecil (dan) tidak seimbang dengan (kedudukannya sebagai) majoriti. Itu bukan asas kestabilan jangka panjang,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, UMNO perlu terus dilihat sebagai sebuah parti yang mempunyai prinsip adil dan bertimbang rasa.
“Kita mesti berlaku adil... adil kepada orang Melayu dan adil kepada semua bangsa lain dalam negara kita, barulah kita akan wujudkan negara yang bersatu padu, kukuh dan berjaya,” katanya. – Bernama