Ahad, 24 Oktober 2010

TPM 2 teks ucapan penangguhan

Alhamdulillah, berkat wawasan kepimpinan UMNO selama ini, Malaysia bukan sahaja telah mengukir sejarah sebagai negara yang berjaya mengekalkan keharmonian kaum, kestabilan politik dan keamanan negara, tetapi juga telah berada dalam kelompok teratas dalam kalangan negara berpendapatan sederhana tinggi. Hari ini, di bawah kepimpinan YAB Presiden selaku Perdana Menteri, Malaysia sedang tekun meletakkan asas-asas yang kukuh untuk melangkah ke era baru kemajuan ekonomi, iaitu untuk muncul sebagai negara maju yang berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Berdasarkan pencapaian inilah rakyat telah memberikan mandat kepada UMNO dan Barisan Nasional untuk memerintah. Dengan mandat ini juga, UMNO telah berjaya meneruskan agenda perjuangan politik inklusif yang menjadi kunci kepada kestabilan, kemanan dan kemakmuran negara.

Memperkukuhkan Perpaduan

Saudara dan saudari,

24. Cabaran yang dihadapi oleh UMNO seterusnya ialah bagaimana untuk mengekalkan kejayaan dan memperkukuhkan perpaduan. Kunci kepada kejayaan UMNO selama ini ialah kebijaksanaannya dalam mengurus hubungan kaum dan mengekalkan kestabilan politik. Namun hakikatnya, kita tidak pernah sunyi daripada berhadapan dengan isu-isu yang menyentuh sensitiviti kaum. Walaupun secara umumnya hubungan kaum di Malaysia berada di tahap yang baik, namun masih kedengaran suara-suara yang mempersoalkan hak-hak keistimewaan Melayu dan Bumiputera, serta hak-hak yang sah bagi kaum-kaum lain. Sekiranya tidak diurus dengan baik, keadaan ini akan menimbulkan persepsi dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum bahawa kedudukan dan hak mereka yang dijamin oleh Perlembagaan semakin terhakis.

25. Debat perkauman dalam masyarakat juga semakin merumitkan keadaan. Perdebatan tentang isu perkauman tanpa batasan boleh menimbulkan provokasi yang membakar sentimen perkauman. Kita tentu sekali tidak mahu percikan api kemarahan akhirnya menjadi letusan yang memusnahkan segala nikmat keamanan, kemakmuran dan perpaduan yang telah kita bina. Sanggupkah kita menggadaikan segala nikmat yang kita kecapi semata-mata kerana amarah perkauman? Hakikatnya, tiada siapa yang beruntung sekiranya perbalahan bermaharajalela. Kalah jadi abu, menang jadi arang.

26. Justeru, perasaan curiga antara kaum mesti dibendung segera. Debat perkauman mesti dihentikan, bukan esok atau lusa, tetapi sekarang. Jangan ada mana-mana kumpulan yang mempersoalkan hak keistimewaan Melayu dan Bumiputera, serta hak-hak yang sah bagi kaum-kaum lain, seperti yang termaktub dalam Perlembagaan. Hormatilah dan terimalah keluhuran Perlembagaan yang telah meletakkan asas-asas bagi negara kita. Saya yakin dan percaya, bahawa rasa curiga antara kaum akan dapat diatasi sekiranya semua kaum mendapat jaminan bahawa hak-hak mereka yang telah termaktub dalam Perlembagaan akan dipertahan dan dihormati dalam apa jua keadaan sekalipun.

27. Kepada orang Melayu dan Bumiputera, saya menegaskan bahawa UMNO sebagai parti teras Melayu, akan terus mempertahankan hak-hak keistimewaan Melayu dan Bumiputera, kedudukan agama Islam, kemuliaan institusi Raja-Raja Melayu, kedudukan Bahasa Melayu dan memastikan orang Melayu dan Bumiputera mendapat pembelaan sosial dan ekonomi yang seadil-adilnya.

28. Kepada kaum-kaum lain, UMNO sebagai parti teras kenegaraan tetap mengormati hak kaum-kaum lain sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan. Sebagai sebuah parti politik Melayu yang inklusif, dan berdasarkan rekod perjuangan UMNO selama ini, UMNO akan terus memastikan bahawa, di bawah teraju UMNO, tidak ada satu kaum pun yang akan ketinggalan dalam menikmati rahmat pembangunan dan kemajuan negara.

29. Saya sedar, ada pihak yang menjanjikan bulan dan bintang kepada kaum-kaum di negara ini. Mereka hanya berjanji. Sedangkan UMNO telah mengotakan janji. Kita telah buktikan selama ini bahawa di bawah teraju UMNO, semua kaum mendapat jaminan hak yang adil. Di banyak negara bekas tanah jajahan, bangsa majoriti mendominasi kaum minoriti dengan memaksa mereka mengasimilasi, di mana mereka tidak dibenarkan mengamalkan bahasa, budaya dan agama mereka. Sebaliknya, di Malaysia, melalui UMNO, para pengasas negara kita telah memilih dasar yang inklusif, yang menerima dan memberi layanan yang adil kepada semua kaum. Inilah bukti keadilan dan keterangkuman UMNO.

Gagasan 1Malaysia

30. Selaras dengan pendirian inilah, kita menjunjung Gagasan 1Malaysia yang dicetuskan oleh YAB Presiden sebagai satu gagasan perpaduan yang memberi jaminan hak kepada semua wargenagara berlandaskan prinsip-prinsip Perlembagaan dan Rukunegara. Gagasan ini akan mencetuskan kekuatan kita sebagai sebuah masyarakat majmuk yang bersatu padu. Dalam konteks ini, Gagasan 1Malaysia tidak menolak fitrah kepelbagaian identiti dan budaya kaum yang ada di negara kita, malah menegaskan kepentingan untuk menerima kepelbagaian sebagai sumber kekuatan. Gagasan 1Malaysia yang berlandaskan Perlembagaan dan prinsip penerimaan ini tidak membawa maksud penghakisan identiti atau hak mana-mana kaum, tetapi merupakan satu penegasan terhadap pengukuhan rasa kebersamaan dalam kalangan masyarakat majmuk dengan menerima kepelbagaian sebagai satu fitrah yang murni. Saya yakin dan percaya, gagasan berpandangan jauh YAB Presiden ini akan menangkap imaginasi rakyat pelbagai kaum dan membawa kita ke hadapan sebagai sebuah negara majmuk yang maju dan bersatu padu.

31. Kita juga sedar bahawa perpaduan Melayu adalah prasyarat kestabilan politik Malaysia. Perpaduan Melayu tidak boleh dilihat secara terpisah daripada perpaduan nasional. Perpaduan Melayu itu sendiri merupakan teras perpaduan nasional. Untuk itu, UMNO akan terus menerajui perjuangan untuk menyatupadukan bangsa Melayu dan umat Islam. UMNO akan berganding bahu dengan mana-mana pertubuhan bukan kerajaan Melayu dan Islam untuk memperkukuhkan perpaduan, menyemarakkan syi'ar Islam dan memastikan kestabilan politik terus terjamin.

Melangkah Ke Hadapan Dengan Keyakinan

32. Melangkah ke hadapan, orang Melayu juga perlu mengatasi segala kelemahan yang ada. Manakala UMNO tetap membela hak dan keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera, generasi Melayu dan Bumiputera hari ini dan masa hadapan tidak lagi boleh bergantung semata-mata kepada jaminan politik dan perundangan untuk maju. Ini kerana landskap politik dan ekonomi dunia sudah berubah. Ledakan maklumat dan teknologi komunikasi telah meruntuhkan sempadan politik dan ekonomi, dan menjadikan dunia semakin global. Dalam dunia yang semakin kompetitif hari ini, kesejahteraan ekonomi, sosial dan politik bangsa Melayu amat bergantung kepada kemampuan diri untuk bersaing dalam dunia tanpa sempadan. Transformasi ekonomi yang lebih terbuka bukanlah satu proses yang boleh diundur. Mahu tidak mahu, bangsa Melayu perlu lebih dinamis dan bersedia untuk melakukan anjakan minda yang signifikan. Bangsa Melayu mesti bermujahadah untuk meningkatkan kemampuan diri.

33. Dalam menghadapi realiti ekonomi berasaskan pengetahuan, yang dipacu oleh kekuatan modal insan, pembinaan modal insan Melayu yang berilmu dan berkemahiran tinggi adalah satu tuntutan. Gerakan kesedaran pendidikan di kalangan orang Melayu dan Bumiputera mesti diperhebatkan. Hanya dengan pendidikan orang Melayu dapat mengasah minda dan menggarap kemahiran untuk bersaing dalam dunia yang semakin mencabar hari ini. Pembudayaan ilmu akan menjadi kunci kepada kejayaan orang Melayu hari ini dan masa depan.

34. Tindakan afirmatif akan diteruskan dalam pelaksanaan Model Baru Ekonomi dan Program Transformasi Ekonomi untuk memastikan orang Melayu dan Bumiputera mempunyai tempat dalam proses transformasi negara ke arah menjadi negara berpendapatan tinggi. UMNO tidak akan berpaling daripada landasan perjuangannya untuk memajukan ekonomi Melayu dan Bumiputera. UMNO tidak akan ragu dan apologetik untuk memperjuangkan pengagihan ekonomi yang adil untuk orang Melayu dan Bumiputera. Namun saya tegaskan bahawa dimensi baru dasar tindakan afirmatif yang dilaksanakan adalah berteraskan kepada keperluan dan kelayakan. Hanya mereka yang benar-benar layak dan memerlukan sahaja akan dibantu. Begitu juga, peluang-peluang ekonomi akan terbuka luas buat mereka yang gigih berusaha. Sebaliknya, tidak ada ruang buat pengamal rent-seeking yang haloba untuk mengaut laba yang sementara.

35. Kita juga sedar bahawa perubahan landskap politik telah meletakkan nilai dan etika politik di suatu tempat yang amat disanjung tinggi oleh rakyat. Rakyat amat berharap agar pemimpin dapat mengamalkan nilai-nilai politik luhur seperti kejujuran, keihlasan, kebertanggungjawaban dan kesungguhan dalam melaksanakan amanah kepemimpinan. Bahkan, masa depan sesuatu organisasi politik akan ditentukan oleh sejauhmana nilai-nilai yang baik ini dapat diamalkan oleh para pemimpin dan ahli-ahlinya. Justeru, selaras dengan tekad kita untuk melakukan perubahan dan pembaharuan, dan untuk melangkah ke hadapan dengan penuh keyakinan, marilah kita pupuk dan suburkan nilai-nilai luhur ini dalam perjuangan politik kita, dan marilah kita lahirkan pemimpin-pemimpin yang berketerampilan, beretika dan berakhlak mulia. Saya pasti, jika setiap lapisan pemimpin dan ahli UMNO menjunjung nilai-nilai murni ini, UMNO akan dipandang mulia dan disanjung tinggi oleh rakyat. Ayuhlah:

Kita junjung amanah kepemimpinan

Kita selusuri haluan perjuangan

Kita tekad melakukan perubahan

Kita bawa sinar harapan

Peranan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri

Saudara dan saudari,

37. Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO adalah sayap-sayap parti yang sentiasa setia kepada perjuangan parti, sentiasa bersedia untuk berkhidmat kepada parti. Saudara dan saudari tidak pernah jemu menjulang panji-panji parti di setiap medan perjuangan. Dalam setiap pilihanraya, dalam setiap program parti, saudara dan saudari sentiasa menjadi jentera penggerak utama. Pemuda dengan Jelajah One Malaysianya; Wanita dengan Jalinan Rakyatnya; Puteri dengan Voguenya; kesemua program ini telah digerakkan di atas kudrat dan iltizam saudara dan saudari. Untuk itu, tidak sempurna ucapan saya jika saya tidak mengucapkan syabas dan tahniah di atas kejituan semangat dan daya juang saudara saudari sekalian.

37. Saya juga percaya, dengan jumlah melebihi 2 juta orang, atau dua pertiga daripada ahli UMNO, Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri adalah sumber kekuatan parti yang mesti diakui. Dengan jumlah sebesar ini, saudari dan saudari adalah masa depan parti yang menjadi harapan rakyat. Justeru, di samping melaksanakan tugas-tugas tradisi dan rutin dalam parti, saudara-saudari mesti lebih agresif dalam mengisi harapan rakyat yang lebih besar. Ini termasuklah harapan rakyat dalam bidang ekonomi, pendidikan, agama, kebudayaan, kesukanan, khidmat sosial, pembangunan keluarga, pemeliharaan alam sekitar dan hubungan kaum. Memang benar, selama ini saudara saudari telah melaksanakan sedikit sebanyak aktiviti dan bakti dalam bidang-bidang tersebut. Begitu juga, memang benar, ini adalah tanggungjawab kerajaan yang sedang pun dilaksanakan. Tetapi rakyat hari ini mahukan sentuhan parti dalam bidang-bidang tersebut. Inilah yang menyebabkan kita harus meningkatkan penglibatan sebagai pemimpin akar umbi dalam bidang-bidang ini.

Kad Skor

38. Untuk memastikan sentuhan parti dalam bidang-bidang ini dapat dirasai oleh masyarakat, maka ia perlu dilaksanakan dengan lebih tersusun dan sistematik. Lebih daripada itu, ia perlu dinilai untuk memastikan impaknya yang sebenar. Oleh yang demikian saya mencadangkan satu sistem Kad Skor diperkenalkan untuk menilai prestasi setiap lapisan kepemimpinan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri. Kad Skor ini akan menilai keterlibatan dan prestasi saudara saudari dalam bidang-bidang utama yang saya sebutkan tadi.

39. Dengan adanya Kad Skor ini, setiap pemimpin akan dapat dinilai prestasi masing-masing untuk tempoh dua tahun yang akan datang. Mereka yang menunjukkan prestasi tinggi akan diberikan pengiktirafan dan penghargaan yang sewajarnya. Anggaplah inisiatif ini sebagai salah satu daripada usaha ikhlas kita untuk meningkatkan imej parti dan memperkukuhkan keyakinan rakyat terhadap parti.

40. Saya yakin sekiranya sistem ini dilaksanakan sepenuhnya, kita akan menyaksikan satu lonjakan baru dalam tahap keaktifan dan keberkesanan gerakerja saudara saudari. Saya yakin apabila ini berlaku, bukan sahaja sayap-sayap yang akan mengalami lonjakan, malah keseluruhan parti akan menerima kesan yang positif. Dan saya yakin saudara saudari mampu melaksanakannya!

41. Sesungguhnya, sayap-sayap parti mesti memainkan peranan yang lebih aktif dalam mendokong perjuangan parti. Lebih-lebih lagi, dalam suasana politik yang semakin mencabar hari ini, peranan sayap-sayap parti menjadi lebih penting lagi. Isu-isu dan segala tanggapan negatif yang dilemparkan terhadap UMNO perlu segera ditangkis. Malah, sayap-sayap parti mesti sentiasa berperanan secara lebih agresif untuk memperkukuhkan UMNO, dan membentuk pandangan positif rakyat terhadap UMNO. Saudara saudari bukan sekadar berada di barisan pertahanan, tetapi di barisan hadapan perjuangan parti.

42. Tugas kita besar dan cabarannya pun banyak. Pastinya, tugas besar ini boleh dilaksanakan dengan mudah dan berkesan jika kita semua bersatu hati dan berpadu tenaga dalam wadah yang utuh.

Kalau ke bukit sama mendaki

Kalau ke laut sama berenang

Kalau kita bersatu hati

Kerja yang berat menjadi senang

43. Justeru, saya menyeru kepada saudara saudari supaya merapatkan saf dan memperkukuhkan sayap-sayap parti. Jangan ada walau sekelumit perasaan amarah sesama kita. Jangan ada walau sedikit perasaan iri yang membinasakan. Jangan ada walau setitik perasaan dendam yang memusnahkan.

44. Yakinlah, bahawa saudara saudari berada pada landasan perjuangan yang benar. Yakinlah bahawa orang Melayu dan Bumiputera menaruh harapan yang tinggi kepada saudara saudari sebagai pelopor perjuangan UMNO. Yakinlah dengan sumpah setia kita bahawa UMNO tidak akan berganjak daripada landasan perjuangan membela agama, bangsa dan negara. InsyaAllah, jika kita terus istiqamah berada pada landasan perjuangan ini, kita akan sentiasa diberikan kekuatan oleh Allah s.w.t. untuk terus menjulang misi perjuangan suci UMNO.

45. Marilah kita memperkukuhkan kesatuan hati, memperteguhkan kesatuan minda, memperkuatkan kesatuan amal dan membulatkan kesatuan matlamat dalam wadah perjuangan suci UMNO. Marilah kita memberikan sokongan padu kepada YAB Presiden untuk menjayakan pembaharuan di dalam parti dan kerajaan. Marilah kita berikan keyakinan, kepercayaan dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada YAB Presiden untuk memperkukuhkan parti dan mengangkat martabat perjuangan UMNO.

46. Saya menyeru saudara dan saudari:

Bangkitlah pertahankan parti!

Bangkitlah menjulang idealisme kita yang murni!

Bangkitlah memerangi segala fitnah dan pembohongan keji yang dilemparkan kepada parti!

47. Maralah ke barisan hadapan perjuangan! Julanglah panji-panji parti dengan penuh kemegahan dan keazaman! Jangan takut, jangan gentar. Allah bersama kita. La takhaf wa la tahzan, innaLlaha ma'ana.

48. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim saya merasmikan Persidangan Serentak Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2010.

Wabillahi al-taufiq wal hidayah wassalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatu
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.