UCAPAN YAB TAN SRI DATO' HAJI MUHYIDDIN HAJI MOHD YASSIN
TIMBALAN PRESIDEN UMNO
DI MAJLIS PERASMIAN SERENTAK PERSIDANGAN PERWAKILAN WANITA, PEMUDA DAN PUTERI UMNO 2011
19 OKTOBER 2010; PUKUL 8.00 MALAM;
DEWAN MERDEKA,
PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA, KUALA LUMPUR
Assalamu'alaikum wa rahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera dan salam 1Malaysia.
YB Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Ketua Pergerakan Wanita
YB Sdr. Khairy Jamaluddin, Ketua Pergerakan Pemuda
YB Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, Ketua Pergerakan Puteri
YB Naib-Naib Presiden UMNO
YB Setiausaha Agung UMNO
Ahli-ahli Majlis Tertinggi
Barisan Exco Wanita, Pemuda dan Puteri
Saudara-saudari sidang perwakilan dan para pemerhati sekalian
1. Marilah kita dahului dengan sembah tahmid kesyukuran ke hadrat Allah s.w.t. atas nikmat kurniaan-Nya bagi membolehkan kita bersama-sama untuk menyempurnakan Majlis Perasmian Serentak Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) bagi tahun 2010 pada malam ini.
2. Inilah kemuncak pertemuan para perwakilan daripada tiga sayap penting parti UMNO dari seluruh pelusuk tanah air bagi menzahirkan suara akar umbi, yang mahu melihat bangsa dimartabatkan, Islam didaulatkan, negara dipertahankan dan perjuangan parti berkelangsungan. Inilah perhimpunan yang mewakili suara rakyat – suara keramat. Inilah perhimpunan yang mempasakkan muafakat perjuangan.
Pisang sesikat sayur sebelanga
Tanda muafakat makan bersama
Gunung yang tinggi sama didaki
Lurah yang dalam sama dituruni
Hati gajah sama dilapah
Hati kuman sama dicicah
Alang-alang menyeluk pekasam
Biar sampai ke pangkal lengan
3. Setahun yang lalu saya berdiri di sini di hadapan saudara dan saudari membicarakan tentang kepentingan wahdah atau kesatuan dalam usaha kita untuk menggalas tuntutan perubahan. Kita mulakan langkah perubahan dengan wahdatul fikr (kesatuan minda) untuk memahami aspirasi orang Melayu dan rakyat seluruhnya, dalam suasana landskap politik yang sedang berubah; kita perkukuhkan wahdatul qalb (kesatuan hati) untuk bersama-sama menghayati nilai politik luhur yang disanjung oleh rakyat; kita perteguhkan wahdatul amal (kesatuan tindakan) untuk melaksanakan gerakerja mendekati rakyat secara kolektif; dan kita bulatkan wahdatul hadaf (kesatuan matlamat) untuk menjayakan hijrah jiwa dan sikap bagi melahirkan para pejuang UMNO yang kukuh iman dan taqwanya, utuh nilai moral dan etikanya.
4. Alhamdulillah, hari ini UMNO telah mula berubah. Telah wujud kesedaran baru dalam minda kepimpinan dan ahli-ahli parti, baik dari segi psikologi dan gerakerja. Telah berlaku perubahan dalam gaya kepimpinan, pindaan terhadap perlembagaan parti, transformasi dalam kerajaan yang diterajui, pendekatan baru pengurusan ekonomi pertiwi dan kesedaran baru tentang hubungan kaum melalui Barisan Nasional.
5. Dalam nafas semangat kesatuan dan perubahan ini juga, marilah kita menjengah kembali bagi menghayati matlamat asal perjuangan UMNO seperti yang termaktub dalam perlembagaan parti. Fasal 3 Perlembagaan UMNO menegaskan bahawa "UMNO adalah sebuah parti politik yang berjuang mendukung cita-cita Kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah dan martabat bangsa, agama dan negara". Ini termasuklah (i) mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara; (ii) mendukung dan mempertahankan Perlembagaan Negara, Perlembagaan Negeri-Negeri dan Raja Berperlembagaan; (iii) menegak, mempertahan dan mengembangkan Islam, agama rasmi negara serta menghormati prinsip kebebasan beragama; (iv) mempertahankan kedaulatan rakyat dan keadilan sosial demi mengamalkan sistem Pemerintahan Demokrasi Berparlimen serta memajukan ekonomi rakyat Melayu dan Bumiputera khasnya dan rakyat Malaysia amnya; (v) menjamin kedudukan Bahasa Kebangsaan (Bahasa Melayu) sebagai bahasa rasmi yang tunggal dan Kebudayaan Kebangsaan yang berteraskan Kebudayaan Melayu; dan (vi) mewujudkan kerjasama antara kaum bagi melahirkan satu bangsa Malaysia yang kuat dan bersatu berasaskan kepada hak-hak asasi manusia dan hak-hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera.
6. Merenung kembali asas penubuhan parti ini, akan membolehkan kita membuat penegasan semula, dan mengingatkan ahli-ahli dan seluruh warga, khususnya generasi muda, bahawa UMNO adalah sebuah wadah politik yang mempunyai prinsip perjuangan dan idealisme yang murni, namun tetap pragmatik dalam pendekatannya. Meskipun UMNO sebuah parti yang besar dan bertunjang kepada kebangsaan Melayu-Islam, namun sifat keadilan, akomodatif dan inklusif Melayu itu, tidak pernah mengkhianati atau menzalimi kaum atau agama lain yang bernaung di bawah politik Melayu.
7. Ini berbeza dengan sikap parti-parti pembangkang. Mereka tidak mempunyai landasan perjuangan. Sebab itulah, setiap kali mendengar dentuman guruh politik di langit, maka tiap kali itulah juga mereka bergegas membuang air di tempayan, merubah citra dan pendekatan, sehingga melupakan matlamat asal parti masing-masing. Mereka caca marba, seperti sesumpah yang kerap bertukar warna, sanggup menjadi penglipur lara, yang mendongengkan cerita. Matlamatnya mudah, semata-mata untuk mendapatkan laba politik yang sementara sifatnya, hingga sanggup menggadai maruah negara, menjadi pengkhianat di pentas antarabangsa, dan mencerca sesama bangsa. Kepada mereka kita ingatkan pesanan Pak Hamka:
Berapa pula penjual negeri
Mengharap emas perak bertimba
Untuk keuntungan diri sendiri
Biarlah bangsa menjadi hamba
8. Ada di kalangan mereka yang segan silu untuk berbicara mengenai matlamat parti mereka. Takut kalau-kalau hilang sokongan rakan dan penyokong yang baru. Malah mereka sanggup berdolak dalih. Kepada penyokong setia berkata lain, kepada rakan baru berkata lain. Walaupun berbeza pandangan dan prinsip dalam banyak perkara, mereka sanggup berdiam diri dan mengalah saja. Malah mereka memberikan pelbagai alasan untuk membela rakan-rakan bersekedudukan. Dulu musuh ketat, dituduh kafir dan keparat, kini jadi sahabat, dipeluk rapat-rapat. Berlumba-lumba mereka membongkar korpus-korpus perbendaharan politik Islam bagi menghalalkan tahalluf siasiy– persefahaman politik sementara bagi mencapai matlamat sebenar; menggunakan kaedah sirr – merahsiakan niat sebenar dan matlamat perjuangan; serta prinsip maslahah siasah – melakukan sesuatu demi kepentingan politik. Ada pula yang sanggup berpegang kepada konsep taqiyyah – berpura-pura bagi menyembunyikan matlamat utama yang hendak dicapai. Tindakan mereka ini tidak ubah seperti pepat di luar runcing di dalam.
9. Mengapakah perkara ini boleh terjadi? Apakah rakan-rakan baru mereka sudah berubah prinsip? Apakah rakan-rakan baru ini sudah mula menyokong matlamat parti mereka? Apakah rakan-rakan baru ini benar-benar ikhlas untuk bersahabat? Jawapannya kita semua tahu – tidak sama sekali. Jauh panggang dari api. Rakan-rakan baru ini masih memusuhi matlamat yang mereka dokong dahulu; masih tegar menolak syariat Islam; masih kuat memusuhi negara Islam; masih alergik dengan perkataan dakwah Islam; masih tebal faham sekularisme; masih sarat dengan cauvinisme yang mewujudkan kebencian sesama umat. Tetapi mengapakah mereka sanggup bersekongkol dengan rakan-rakan baru ini? Jawapannya mudah. Kuasa. Bagi mereka kuasa politik adalah segala-galanya.
10. Permainan politik ini tidak akan membawa apa-apa keuntungan. Kuasa yang diperolehi cuma sedikit sahaja. Malah mereka tidak boleh berbuat apa-apa pun untuk melaksanakan agenda parti, kerana kelangsungan kuasa mereka bergantung kepada sokongan orang lain. Lama-kelamaan penyokong sendiri sedar bahawa parti yang mereka sokong, pemimpin yang mereka dokong, tidak boleh melaksanakan cita-cita mereka. Parti itu menjadi lemah kerana penyokong tidak lagi bersama mereka. Untuk mempertahankan kuasa yang sedikit, mereka semakin bergantung kepada sokongan parti lain. Tiada lagi roh perjuangan. Yang ada cuma sekelumit kuasa yang kehilangan makna. Pokoknya, parti ini menjadi hamba kepada kuasa.
11. UMNO tidak begitu. UMNO tetap istiqamah dengan sumpah perjuangan. UMNO tidak pernah tergelincir daripada landasannya. Benar, perubahan politik membawa pembaharuan dalam pendekatan; tetapi ianya sama sekali tidak mencabut roh perjuangan dari jasad dan sanubari UMNO. Roh perjuangan tetap mekar dalam sanubari UMNO; dan terpancar dalam setiap tindakan dan pendirian parti. Bagi UMNO, kuasa hanyalah alat untuk mencapai matlamat perjuangan parti yang murni.
12. Kuasa tidak bermakna jika jiwa perjuangan tercabut dari jasad dan sanubari parti. Apabila UMNO menegaskan tentang kepentingan mempertahankan kuasa politik, ianya tidak lain dan tidak bukan semata-mata untuk menegakkan perjuangan parti. Yakinlah, bahawa UMNO tidak akan berganjak daripada landasan perjuangannya yang asal, yang difahami oleh keluarga besar Barisan Nasional. Kita tidak mahu menjadi parti yang lemah semata-mata kerana terpaksa tunduk kepada kehendak orang lain. Bagi UMNO, mempertahankan perjuangan membela agama, bangsa dan negara adalah prinsip awlawiyat (keutamaan) yang paling besar. Pokoknya, UMNO tidak pernah dan tidak akan menjadi hamba kepada kuasa.
UMNO Cerita Kejayaan
Saudara dan Saudari,
13. Sepanjang usianya, UMNO tidak pernah diam sebagai parti politik yang statik dan jumud. UMNO telah melalui proses perkembangan dan kematangan sebagai sebuah wadah politik yang sentiasa relevan dengan semangat zaman dan citra rakyat. Sebagai parti yang menerajui pemerintahan, UMNO telah berjaya membawa Malaysia melalui pelbagai fasa pembangunan sosio-ekonomi yang telah memberi manfaat besar kepada rakyat. Sejarah 53 tahun UMNO menerajui negara sarat dengan bukti-bukti kejayaan. Dari segi pembangunan ekonomi, Malaysia telah bangkit daripada sebuah negara bekas jajahan yang berteraskan ekonomi pertanian untuk berdiri megah sebagai negara perindustrian yang berkembang pesat. Kini, kita telah bersedia untuk mengorak langkah menuju ke ambang negara maju. Bukankah ini satu kejayaan?
14. Berkat kegigihan dan wawasan jauh kepimpinan UMNO, Malaysia juga telah berjaya mengatasi masalah kemiskinan tegar dan mewujudkan golongan kelas menengah yang besar. Anak-anak desa yang dahulunya dibelenggu kemiskinan, kini menetap di kota-kota besar dengan pendapatan yang lumayan. Anak-anak mereka hari ini tidak lagi dibelenggu kemiskinan malah mendapat peluang pendidikan dan ekonomi yang jauh lebih baik berbanding apa yang mereka terima dahulu. Bukankah ini satu kejayaan? UMNO juga telah berjaya mengekalkan kestabilan politik dan keharmonian kaum di Malaysia. Di beberapa buah negara majmuk yang lain, konflik kaum mudah meletus dan biasanya berakhir dengan pertumpahan darah. Namun, Alhamdulillah, berkat kebijaksanaan pimpinan UMNO dan parti-parti komponen Barisan Nasional dalam mengurus perbezaan, kita telah menerima perbezaan ras, budaya dan agama sebagai sumber kekuatan, bukan kelemahan. Bukankah ini juga satu kejayaan?
15. Pencapaian ini bukanlah ibarat "yang pipis datang melayang, yang bulat datang bergolek". Ianya adalah hasil kesediaan UMNO untuk menerima taklif kepimpinan negara sebagai satu pertanggungjawaban yang besar. Dalam sebuah negara pelbagai kaum, tanggungjawab UMNO yang paling utama ialah untuk memastikan formula politik yang diamalkan dapat menjamin kestabilan, keamanan dan perpaduan yang berkekalan.
Politik Melayu Inklusif
16. Atas dasar ini, UMNO sejak dari awal lagi telah memilih landasan perjuangan sebagai parti nasionalis Melayu yang inklusif. UMNO menerima hakikat kepelbagaian ras sebagai sesuatu yang fitrah dan sahih. UMNO mengakui bahawa dalam sebuah negara majmuk, kerukunan hidup hanya boleh dicapai sekiranya semua kaum mendapat jaminan hak yang sah dan berpeluang mengecap nikmat kemakmuran secara adil. Justeru itu, UMNO berjuang membela nasib bangsa Melayu dan memartabatkan agama Islam tanpa mengabaikan hak dan kepentingan kaum-kaum lain. Melalui Jawatankuasa Perhubungan Kaum (Community Liaison Committe) yang ditubuhkan sebelum merdeka, para pemimpin UMNO terdahulu, bersama dengan pemimpin MCA dan MIC, telah berunding untuk menentukan hak dan kedudukan kaum-kaum di negara ini selepas merdeka. Mereka berbincang secara jujur dan telus dengan satu tujuan iaitu untuk mencapai kesepakatan dalam membina sebuah negara majmuk yang merdeka dan bersatu padu.
17. Hasil daripada kesepakatan inilah maka terbentuk terma-terma kemerdekaan yang menjamin kedudukan istimewa orang Melayu dan hak-hak yang sah bagi kaum-kaum lain. Terma-terma ini, yang dirujuk oleh Allahyarham Profesor Tan Sri Ahmad Ibrahim sebagai "kontrak sosial dan perjanjian keamanan" antara kaum, adalah hasil kesepakatan dan jiwa besar pemimpin-pemimpin terdahulu untuk membentuk formula politik kerjasama kaum yang inklusif. Hak dan kepentingan kaum diperjuangkan dalam kerangka kefahaman bahawa semua kaum akan mendapat jaminan hak dan layanan yang adil dalam sebuah negara yang merdeka.
18. Dalam konteks ini, politik berasaskan kaum yang diamalkan oleh UMNO bukanlah satu bentuk politik perkauman atau politik rasis. Politik rasis bermaksud kita hanya mengutamakan kepentingan kaum sendiri dan menzalimi kaum-kaum lain. Parti yang mendakwa tidak berasaskan kaum boleh jadi amat rasis jika ianya zalim kepada kaum lain. Hakikatnya, sepanjang sejarah perjuangan UMNO, parti keramat orang Melayu ini tidak pernah menjadi parti yang rasis. UMNO sentiasa istiqamah dalam memperjuangkan hak Melayu sepertimana yang telah termaktub dalam Perlembagaan dan pada masa yang sama menghormati hak dan kepentingan kaum-kaum lain. UMNO tidak pernah membolot kekuasaan politik dan nikmat ekonomi untuk kaum Melayu sahaja. Pemimpin-pemimpin UMNO sedar bahawa berkongsi kuasa politik dan nikmat ekonomi dengan kaum-kaum lain adalah jalan terbaik untuk mewujudkan kemakmuran dan keamanan dalam sebuah negara majmuk.
19. Ini berbeza sekali dengan andaian pelbagai pihak luar dan dalam negara sejurus selepas merdeka, yang telah meramalkan kehancuran negara kita akibat kepelbagaian kaum, agama dan taraf ekonomi. Berkat kepemimpinan UMNO yang dinamik dan toleran, ramalan buruk ini tidak menjadi kenyataan. Sebaliknya, negara-negara jiran yang tidak semajmuk kita telah mengalami dan masih mengalami ketegangan kaum dan agama yang membawa kepada pertumpahan darah. Salah satu punca kejayaan kita ialah kita menyedari bahawa kesejahteraan ekonomi memainkan peranan penting untuk menjamin keamanan. Inilah yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin besar UMNO apabila mereka mengilhamkan Dasar Ekonomi Baru bagi memecahkan belenggu ekonomi penjajah. DEB berupa dasar pembangunan ekonomi yang menggabungkan penciptaan kekayaan dan pembahagian yang adil.
20. Berteraskan falsafah dan nilai politik Melayu yang inklusif ini, UMNO telah mencipta kejayaan besar dengan membawa negara kita keluar daripada belenggu ekonomi kolonial yang mencengkam masyarakat pribumi, kepada ekonomi nasional yang mementingkan pembangunan yang mapan dan pengagihan yang adil untuk semua kaum. Sejak dari awal lagi, pemimpin UMNO mengakui bahawa kejayaan Malaysia sebagai sebuah negara majmuk amat bergantung kepada kewujudan satu model pembangunan ekonomi yang inklusif di mana semua kaum dapat menikmati limpahan rahmat kemakmuran secara adil. Malah, pemenang Anugerah Nobel, Joseph Stiglitz dalam bukunya "Making Globalization Work" telah mengiktiraf bahawa kejayaan Malaysia mengekalkan keharmonian kaum selama ini adalah hasil kewujudan model pembangunan ekonomi yang komprehensif di mana semua kaum mendapat jaminan hak ekonomi yang adil.
21. Lantaran itu, kita tidak perlu apologetik apabila memperjuangkan hak dan kepentingan Melayu dan Bumiputera. Sejarah menjadi saksi bahawa apabila UMNO memimpin, bukan sahaja orang Melayu yang mendapat nikmat, malah semua kaum beroleh manfaat. Kita juga tidak perlu apologetik untuk mempertahankan identiti bangsa Melayu, bangga menjadi seorang Melayu, menjunjung adab dan tatasusila Melayu, mempertahankan warisan budaya Melayu, selagi mana kita berlaku adil kepada semua. Firman Allah s.w.t dalam surah Al-Hujrat, Ayat 13:
يَـٰٓأَيُّہَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَـٰكُم مِّن ذَكَرٍ۬ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَـٰكُمۡ شُعُوبً۬ا وَقَبَآٮِٕلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ إِنَّ أَڪۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَٮٰكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ۬
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.