Rabu, 3 November 2010

Inisiatif Baru Kembalikan Tanah NCR


Oleh Amrizan Madian

SRI AMAN, 1 Nov (Bernama) -- Kerajaan melaksanakan dua langkah di bawah inisiatif baru tanah hak adat Bumiputera (NCR) untuk menjamin hak pemilik tanah di samping membangunkan tanah itu dengan cara lebih menguntungkan.

Superintenden Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Sri Aman, Majuan Jeraie, ketika ditemui Bernama berkata inisiatif baru itu wujud hasil perbincangan makmal Bumiputera Sabah-Sarawak di bawah Program Tranformasi Kerajaan yang diadakan di Kuching dan Kota Kinabalu pada bulan Februari dan Mac tahun ini.

"Inisiatif baru ini telah dibentangkan kepada kerajaan negeri dan persekutuan dan dipersetujui untuk diguna pakai dan ia merupakan usaha sama di antara kedua-dua kerajaan," katanya.

Beliau berkata dengan peruntukan sebanyak RM20 juta daripada kerajaan pusat seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 22 Julai di Miri, program inisiatif baru yang bermula tahun ini akan diteruskan di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Menurutnya inisiatif baru itu bertujuan menjamin pemilikan tanah NCR dan membawa kesejahteraan ekonomi kepada pemilik tanah melalui pembangunan tanah dengan cara lebih sistematik.

LANGKAH

Langkah pertama yang perlu dibuat sebelum tanah itu diserahkan secara mutlak kepada pemilik Bumiputera di Sarawak ialah penyukatan perimeter untuk mengasingkan tanah NCR yang sahih daripada tanah kerajaan.

"Biasanya tanah NCR mempunyai beberapa tanda yang membuktikan kawasan terbabit telah pun diteroka oleh kaum Bumiputera seperti untuk menanam pokok buah, pembinaan kubur, rumah panjang ataupun kampung tradisional," katanya.

Katanya tanah NCR itu kemudian akan diwartakan sebagai rizab gunasama Bumiputera di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri untuk memastikan penuntut tanah NCR mempunyai jaminan sekuriti ke atas tanah yang telah diwarta.

Langkah kedua katanya ialah penyukatan lot-lot individu, dan pemilik tanah NCR perlu menentukan di mana wujud sempadan tanah mereka dalam kawasan yang diwartakan sebagai rizab gunasama Bumiputera.

Menurutnya ia untuk membolehkan pihak Jabatan Tanah dan Survei melakukan kajian secara terperinci dan seterusnya mengeluarkan surat hak milik tanah secara individu mengikut Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri.

Beliau berkata inisiatif baru NCR itu ialah hasil permintaan dan permohonan pemilik tanah NCR hasil maklum balas daripada Seminar Perihal Tanah 2009.

DISUKAT

Katanya sebanyak 27 kawasan NCR di seluruh Sarawak akan disukat bermula tahun ini dan kerja penyukatan ini akan diteruskan dalam tempoh RMK-10.

"Ahli dalam komuniti yang terlibat dalam penyukatan perimeter kawasan, perlu mencapai kata sepakat sebelum penyukatan sempadan tanah bermula, dan penyukatan tersebut juga dijalankan serentak di kesemua bahagian di Sarawak."

Sejak 11 Feb lalu, kira-kira 29,316,822 hektar tanah di seluruh bahagian di Sarawak telah pun digazet di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri melibatkan 2,557 lot.

Daripada jumlah itu, Bahagian Sri Aman mencatatkan kawasan yang paling luas iaitu 11,094.285 hektar dengan 479 lot yang digazet di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri.

Kaunselor Crispin Limin, 70 tahun, berkata pihaknya menyambut baik langkah kerajaan khasnya Jabatan Tanah dan Survei meneruskan usaha untuk mengembalikan tanah NCR kepada Bumiputera Sarawak.

Menurut beliau, tanah NCR telah lama wujud dan diteroka oleh masyarakat Bumiputera di negeri ini dan sememangnya mereka berhak untuk mendapat tanah itu dengan adanya surat hak milik yang sah.

"Saya mahu tanah yang telah saya teroka sejak 50 tahun lalu kembali dengan surat hak milik yang sah, bukan untuk saya, tapi generasi akan datang," katanya.

TUAI RUMAH

Tuai Rumah Philip Renggie Ungking, 82, berkata tanah NCR perlu diberi kepada Bumiputera setelah sekian lama mereka mengusahakan tanah itu dengan pelbagai aktiviti pertanian.

"Kami bercucuk tanam di tanah ini (NCR) sejak sekian lama, ada tanam pokok buah, padi dan getah memang telah lama kami menunggu tanah ini untuk disukat dan dikembalikan kepada kami secara mutlak, terima kasih kerajaan kerana ada inisiatif untuk mengembalikan tanah kami," katanya.

Tuai Rumah Roy Edward Enttalai, 66, berkata sejak tahun 1971 seluas 11.52 hektar tanah beliau di kawasan Selindung Ulu Sri Aman telah pun digazet di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri.

Katanya kawasan itu yang meliputi lapan buah rumah panjang, telah pun diteroka sejak 1960 dan majoriti penduduk adalah golongan pekebun kecil dan pesawah selain terbabit dalam penanaman getah.

"Saya sebagai wakil penduduk memang berasa gembira dengan adanya usaha kerajaan melaksanakan inisiatif baru tanah NCR kerana kami yakin ia pastinya akan memberi lebih banyak manfaat kepada penduduk di sini jika mereka turut diberi surat hak milik individu," katanya.