Rabu, 3 November 2010

Pembangkang tidak mampu bawa pembangunan

DR. AHMAD Zahid Hamidi bersalaman dengan penduduk sejurus tamat lawatan beliau ke Kampung Bokara di Batu Sapi, Sandakan, malam semalam.


SANDAKAN 2 Nov. - Pengundi di Batu Sapi perlu sedar calon pembangkang tidak mampu membawa pembangunan kepada penduduk kerana mereka tidak disokong kerajaan seperti mana calon Barisan Nasional (BN).

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, justeru dengan mengundi calon BN, Datin Linda Tsen Thau Lin bermakna penduduk memilih calon kerajaan baik di Pusat atau negeri yang pastinya dapat membantu menyelesaikan masalah penduduk.

"Buat apa kita nak pilih Datuk Yong Teck Lee (calon Parti Maju Sabah (SAPP) yang sudah diberi peluang jadi Ketua Menteri. Apa dia boleh buat di sini? Cukuplah.

"Begitu juga Parti Keadilan Rakyat (PKR), calonnya (Ansari Abdullah) baru kempen, tapi sudah dua kali jatuh ke laut. Sedangkan kalau pilih calon BN, insya-Allah pembangunan akan datang," katanya.

Beliau berucap pada majlis perjumpaan bersama jentera UMNO di Kampung Bukora di Batu Sapi dekat sini malam tadi.

Hadir sama Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Nasir Tun Sakaran dan Ketua UMNO Bahagian Sandakan, Tan Sri Ampong Puyon.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, rakyat Sabah perlu menolak slogan 'Sabah untuk Sabah' yang dibawa SAPP kerana ia tidak akan membawa negeri ini ke hadapan.

Katanya, Perjanjian 20 Perkara yang sudah dimuktamadkan melalui pungutan suara sewaktu pembentukan Malaysia tidak perlu diungkit lagi kerana isu itu telah lama selesai.

"Layanan kita sama, jika Semenanjung kita sayang, rakyat Sabah juga kita sayang. Tidak ada perbezaan. Kita mahu bawa pembangunan kepada semua. Jadi, tiada 'Sabah untuk Sabah', tapi Sabah untuk Malaysia, Malaysia untuk Sabah.

"Dan, bukan semua boleh bawa pembangunan, kita lihat kerajaan BN sahaja mempunyai rekod ini. Pembangkang tidak tahu bawa pembangunan," ujarnya.