PETALING JAYA: Guru yang bakal mengajar subjek pendidikan seks di sekolah pada tahun hadapan perlu dilatih bagi memastikan mereka bersedia menghadapi pelbagai persoalan daripada pelajar mengenai subjek itu.
Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa Guru Nasional (PIBGN) Prof Madya Datuk Mohamad Ali Hasan berkata, latihan semula itu perlu biarpun silibus telah ditetapkan bagi setiap peringkat pembelajaran.
"Persediaan para guru adalah penting kerana pelajar akan bertanya perkara-perkara yang diluar jangkaan dan latihan persediaan perlu supaya guru dapat memberi jawapan yang tepat dan tidak terkeluar daripada silibus ditetapkan," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, Ahad.
Mohamad Ali dalam pada itu berkata, PIBGN menyokong penuh pelaksanaan pembelajaran subjek itu yang bakal memulakan pembelajaran mulai tahun depan.
Katanya lagi, subjek yang diberi nama Pendidikan Sosial dan Pertumbuhan Kesihatan bagaimanapun perlu menggunakan bahan rujukan yang sesuai dengan setiap peringkat pelajar supaya maksud sebenar subjek itu diwujudkan bertetapan dengan objektif asal.
Beliau turut menyarankan pendekatan agama, budaya dan adab nilai timur diterapkan bagi memastikan pembelajaran itu lebih holistik.
"Tujuan kita mengajar subjek ini adalah supaya pelajar dapat menghargai diri mereka dan dapat menjaga diri mereka pada masa hadapan.
"Jadi jika diselitkan serba sedikit mengenai agama, budaya dan nilai ketimuran yang ada pasti lebih memberi kesan," ujarnya.
Terdahulu, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Wee Ka Siong berkata, mata pelajaran itu akan diajar selama 30 minit setiap minggu dalam kelas Pendidikan Jasmani di semua peringkat sekolah rendah dan menengah.
Sebelum ini, Wee berkata pendidikan seks akan di ajar hanya diperingkat sekolah menengah sebagai satu mata pelajaran kurikulum.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.