Rabu, 1 Disember 2010
Penangguhan Pemilihan Umno 2011
Pemilihan UMNO di peringkat cawangan, bahagian dan Majlis Tertinggi (MT) yang sepatutnya berlangsung tahun depan ditangguhkan selama 18 bulan.
Ketetapan itu dibuat oleh MT yang bermesyuarat malam ini dan diumumkan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata, penangguhan berkenaan bukannya perkara luar biasa kerana ia dibenarkan perlembagaan parti selain pernah dilakukan beberapa kali sebelum ini.
Najib turut menafikan penangguhan itu mempunyai kaitan dengan pilihan raya umum sebaliknya menjelaskan ia bagi membolehkan seluruh perhatian serta tenaga pemimpin dan ahli UMNO terarah kepada usaha pemantapan parti
“Kita tidak mahu tahun depan dan berikutnya dijadikan medan pergelutan politik yang boleh timbulkan perbalahan dalam parti walaupun kita percaya ia boleh dibendung dan tidak berlaku keadaan tertekan sebagaimana parti politik lain.
“Kita nak UMNO tumpu kepada pemantapan dan pemulihan parti berdasarkan model baru politik,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat MT UMNO di Menara Dato’ Onn, di sini malam ini.
Sementara itu, Najib turut mengumumkan UMNO akan mewajibkan semua Ketua Cawangan, Wanita, Pemuda dan Puteri peringkat cawangan menghadiri kursus khas bermula tahun depan.
Katanya, kursus berkenaan akan melibatkan lebih 50,000 pemimpin UMNO di peringkat akar umbi dan akan diadakan dalam masa beberapa bulan akan datang.
“Ini ekoran kenyataan saya sebelum ini bahawa kita akan terus melakukan perubahan berdasarkan model baru politik yang saya telah digariskan dengan tujuh prinsip.
“Ia adalah untuk menerangkan mengenai gagasan 1Malaysia dan bagaimana UMNO mendahulukan kepentingan serta kebajikan rakyat dan konsep pencapaian diutamakan dari sudut sistem penyampaian,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata mesyuarat MT turut mengambil maklum perkembangan semasa selain menerima laporan kejayaan UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas dan Parlimen Batu Sapi, baru-baru ini.
“Umum berpendapat perkembangan kini menjurus kepada keadaan yang lebih positif, ini mungkin disebabkan langkah-langkah yang diambil kerajaan menampakkan sedikit sebanyak kejayaan dan penambahan keyakinan rakyat.
“Ini diterjemahkan dalam keputusan pilihan raya kawasan tersebut dengan kemenangan dan majoriti yang bertambah, sehubungan itu proses memantapkan UMNO akan diteruskan dengan melakukan transformasi politik,” tegasnya.
Impaknya yang besar ialah satu perubahan semua peringkat akan berlaku secara mendadak. Bagi mereka yang rajin turun padang dan rajin berjumpa dengan pengundi akan selamat. Manakala yang kaki bangkang, malas bekerja dan malas bertemu rakyat , siap-siaplah untuk kosongkan pejabat apabila parlimen dibubarkan. Sudah tentu nama mereka tidak akan disenaraikan sebagai calon.
Pemilihan Umno 2007 pernah ditangguhkan oleh MT dengan alasan untuk menghadapi PRU 12. Bagaimanapun penangguhan tersebut telah memberi satu tsunami politik kepada BN dimana BN hilang 5 buah negeri kepada pembangkang.
Salah satu punca kekalahan ialah faktor calon yang tidak diterima diperingkat akar umbi terus dicalonkan kerana masih mempunyai jawatan dalam parti. Kedua calon disabotaj oleh mereka yang gugur dari senarai calon. Ketiga ialah ramai bidan terjun yang dinamakan sebagai calon dan mengambil hak atau ruang yang perlu diisikan oleh calon tempatan.
Ini dapat dilihat pada kerusi parlimen Taiping dan Parlimen Bukit Gantang Kedua-dua kerusi ini kalah kerana orang BN sendiri tidak menyokong calon yang dipilih. Begitu juga hal yang berlaku pada DUN Kamunting. Umno kehilangan undi yang banyak kerana orang Umno sendiri tidak turun padang dan tidak turun mengundi.
Harapan TM ialah penangguhan kali ini tidak menjadi seperti 2007 yang menyebabkan BN hilang 2/3 kerusi parlimen dalam PRU 12.
Proses pemilihan dan pentadbiran Umno semua peringkat hari ini adalah yang telah dibuat pada 2009 sebelum PRK Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Air. KPI dan NKRA yang dilaksanakan oleh Najib akan menjadi petunjuk kepada satu tranformasi politik tanah air yang lebih pragmatik dan progresif.