Khamis, 30 Disember 2010

Sikap PKR musuhi pegawai kerajaan dikesali

 ‪
Badan Perhubungan UMNO negeri kesal dengan tindakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang memusuhi pegawai kerajaan dalam pentadbiran negeri ini.

Ketua Penerangannya, Abdul Shukor Idrus berkata, sikap berkenaan jelas ditunjukkan oleh parti pembangkang itu dalam pelantikan Datuk Mohammed Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) yang baru berkuat kuasa 1 Januari ini.

Katanya, keputusan pelantikan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) itu sebenarnya dibuat berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada termasuk mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sendiri.

"Ini yang kita kesal sebenarnya. Pimpinan PKR tidak habis-habis mempolitikkan isu pelantikan Mohammed Khusrin sebagai SUK dengan membuat tuduhan yang bukan-bukan termasuk mengaitkannya dengan UMNO.

"Mohammed Khusrin hanyalah seorang pegawai kerajaan yang telah dilantik sebagai SUK atas dasar kelayakan dan pengalamannya. Kenapa PKR begitu kuat menentang seolah-olah pegawai kerajaan ini seorang musuh," tegasnya kepada

Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad yang mempertikaikan pelantikan Mohammed Khusrin sebagai SUK bagi menggantikan Datuk Ramli Mahmud yang akan menamatkan perkhidmatannya 31 Disember ini.

Dalam kenyataan yang disiarkan dalam portal berita propembangkang,

Malaysiakini.com itu, Nik Nazmi turut mempertikaikan sikap Mohammed Khusrin yang seolah-olah cuba 'mensabotaj' kerajaan PKR Selangor selain melabelkan Pengarah JAIS itu sebagai perkakas politik.

Tidak cukup dengan itu, Nik Nazmi turut menuduh Mohammed Khusrin kononnya melobi program UMNO dijalankan di sebuah masjid di Taman Medan pada Ramadan lalu termasuk cuba menimbulkan kontroversi berhubung lawatan Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching ke Surau al-Huda, Kajang sebelum ini.

Dalam pada itu, Abdul Shukor tidak menolak kemungkinan tuduhan-tuduhan itu merupakan sikap sebenar PKR yang memusuhi pegawai kerajaan negeri terutamanya di kalangan yang tidak menepati agenda politik mereka.

Jelasnya, sepatutnya PKR yang mentadbir kerajaan Selangor hari ini perlu menghormati peranan serta sumbangan pegawai-pegawai kerajaan dalam menguruskan negeri ini, bukannya memusuhi mereka.

"Inilah sikap sebenar PKR. Saya yakin bukan hanya Mohammed Khusrin, bahkan ramai lagi pegawai kerajaan akan 'diserang' dengan pelbagai tuduhan, fitnah serta kutukan sekiranya mereka menjadi penghalang kepada pimpinan PKR daripada memuaskan nafsu politik masing-masing," ujarnya


Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.