Selasa, 14 Disember 2010

WIKILEAK MENJADI TIKET ANWAR UNTUK TANGGUH KES

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini cuba mengurangkan impak pendedahan kabel diplomatik WikiLeaks ke atas kes liwatnya selepas laman web itu mendakwa beliau mengadakan hubungan seks dengan seorang pembantu kanan lelakinya.

Beliau menyifatkan ia sebagai perangkap yang disediakan musuhnya.

Peguam Anwar, Sankara Nair memberitahu AFP yang dia akan memfailkan aduan kepada mahkamah yang membicarakan kes liwat Anwar berhubung artikel dalam media tempatan yang mungkin mempengaruhi perbicaraan kes itu yang masih berjalan.

Kebanyakan akhbar menyiarkan dakwaan WikiLeaks itu di muka depan masing-masing dengan akhbar harian berpengaruh, Utusan Malaysia menggunakan tajuk: "Agensi perisikan Singapura sahkan aktiviti liwat berdasarkan bukti risikan klinikal'.

"Jelas ia merupakan satu kes subjudis, ia adalah khabar angin dan anggapan, laporan perisikan tidak berdasarkan fakta tetapi khabar angin dan saya pernah berkhidmat dalam perkhidmatan keselamatan sebelum ini jadi saya tahu laporan seperti ini tidak boleh dipercayai.

"Hakim perlu memanggil akhbar-akhbar ini dan meminta mereka menerangkan sebab ia ditulis dan menunjukkan bukti. Jika mereka gagal berbuat demikian mereka akan didakwa kerana menghina mahkamah," kata Nair lagi.

Tambahnya, jika laporan ini tidak berniat jahat maka ia adalah laporan yang langsung tidak beretika dan kliennya dinasihatkan agar memfailkan saman terhadap akhbar terlibat.

Kabel diplomatik bertarikh 28 November yang dibocorkan kepada kumpulan media Fairfax di Australia itu semalam melaporkan tentang penilaian perisikan Australia dan Singapura terhadap kes liwat Anwar.

"Pihak Australia menyatakan yang perisikan Singapura dan (bekas Perdana Menteri) Lee Kuan Yew memberitahu Pejabat Penilaian Kebangsaan (ONA) bahawa Anwar 'memang melakukan perkara yang didakwa ke atas beliau sekarang'.

"ONA menilai dan rakan sejawatan mereka di Singapura bersetuju yang 'ia adalah satu perangkap dan dia (Anwar) mungkin tahu mengenainya tetapi tetap masuk ke dalamnya'," kata kabel itu lagi. - AFP