Sabtu, 1 Januari 2011

Cikgu Rahim sanggup mati pertahankan Karpal

KUALA LUMPUR 31 Dis. - Sebelum ini Pengerusi DAP Karpal Singh pernah memberi amaran 'langkah mayatnya dahulu' jika Pas mahu menubuhkan negara Islam di Malaysia.

Kini seorang wakil rakyat Pas turut memberi amaran 'langkah mayat saya dahulu' jika ada pihak yang ingin 'mengusik' Pengerusi DAP itu.

Datuk Wan Abd. Rahim Wan Abdullah yang juga bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan berkata, pengorbanan itu dibuat atas dasar kesetiaan dan semangat setia kawan Pas terhadap pakatan pembangkang yang turut dianggotai oleh DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Kenyataan Ahli Parlimen Kota Bharu itu dipercayai bertujuan mempertahankan Karpal yang 'diserang' pelbagai pihak, berhubung pendiriannya membela Datuk Seri Anwar Ibrahim sedangkan, Pengerusi DAP itulah yang mendedahkan kegiatan salah laku seks ketua pembangkang tersebut pada tahun 1997 di Dewan Rakyat.

"Inilah YB (Yang Berhormat) Karpal Singh...Anda selalu berkata 'langkah mayat saya dulu', anda satu-satunya tetapi sekarang saya beritahu anda, atas kesetiaan dan setia kawan pakatan, saya cabar sesiapa sahaja yang nak ambil (usik) Karpal... langkah mayat saya.

"Sesiapa sahaja, jika ada sesiapa yang cuba ambil (usik) anda, saya bagi amaran kepada mereka....Ini, Cikgu Rahim... Langkah mayat saya dulu," katanya seperti dipetik daripada laman sosial YouTube sambil diberi tepukan gemuruh oleh pemimpin pembangkang.

Pada masa sama, video ucapan Wan Abd. Rahim selama hampir seminit itu kini, turut disiarkan oleh beberapa blog antaranya http://ruangbicarafaisal.blogspot. com dan http: //minaq-jinggo.fotopages. com.

Utusan Malaysia difahamkan Wan Abd. Rahim berkata demikian semasa berucap di konvensyen pakatan pembangkang di Dewan Millenium Kepala Batas pada 19 Disember lalu, yang mana, majlis tersebut turut dihadiri Karpal dan beberapa pemimpin pembangkang lain.

Karpal merupakan pemimpin DAP yang paling lantang menentang sebarang usaha Pas untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Islam yang berteras hukum hudud dengan mengatakan Pas perlu 'melangkah mayatnya terlebih dahulu' jika mahu menyaksikan cita-cita itu tercapai.

Malah, nada Karpal tidak pernah kendur walaupun Pas telah bergabung dengan DAP dan PKR di bawah pakatan pembangkang. Beliau berterusan mempertahankan pendirian tegas tersebut kerana bagi Pengerusi DAP itu, Malaysia lebih sesuai dengan sistem sekular.

Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.