Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, ketua-ketua kampung yang gagal menjalankan tanggungjawab sehingga dibenci seluruh penduduk kampung perlu berhenti secara sukarela.
Beliau berkata, adalah tidak wajar untuk mereka meneruskan tugas kerana hanya akan menjadi beban dan menjejaskan imej kerajaan negeri.
”Sekiranya ada ketua kampung tidak disukai sebahagian kecil penduduk kampung kerana masalah politik, itu perkara biasa tetapi jangan sampai dibenci oleh satu kampung.
”Jika itu berlaku, adalah tidak wajar bagi ketua kampung berkenaan meneruskan tugasnya lagi,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan watikah pelantikan kepada 818 ketua kampung di Perak bagi sesi 2011-2012 di sini hari ini.
Pelantikan selama dua tahun itu berkuat kuasa 1 Januari lalu dan berakhir pada 31 Disember 2012.
Menurut Zambry, rakyat juga tidak wajar membenci dan memberikan persepsi negatif terhadap institusi ketua kampung hanya kerana kegagalan sesetengah ketua kampung.
”Jika kata institusi itu gagal berfungsi, itu tidak benar. Mereka boleh kritik orang yang dilantik dan bukannya institusi ketua kampung,” ujarnya.
Pada masa sama, beliau turut meminta semua ketua kampung supaya membawa cop rasmi bersama mereka pada setiap masa.
Katanya, ini kerana mungkin rakyat memerlukannya semasa bertemu di kedai kopi, pasar malam, atau di masjid dan surau.
”Ketua kampung juga perlu mempunyai sentuhan rakyat, rajin, mesra dan nilai kasihan kepada rakyat,” tambahnya.
Terdahulu, dalam ucapannya, Zambry memberitahu, ketua kampung memainkan peranan yang sangat penting kerana mereka adalah pemimpin asas di peringkat akar umbi.-Utusan