Katanya, beliau melakukan tugasnya dengan adil walaupun Pegawai Penyiasat Deputi Superintendan Judy Blacious Pereira turut berada bersama di Pusat Krisis Sehenti (OSCC) atau dikenali sebagai Bilik Mawar HKL pada jam 9.30 malam, 28 Jun 2008.
Menjawab soalan balas peguam Anwar, S N Nair, Dr Siew yang bertanggungjawab melakukan ujian spesimen forensik berkata, apa yang penting baginya ketika melakukan pemeriksaan itu untuk menentukan sama ada terdapat kemasukan dalam dubur mangsa.
Menjawab soalan Nair mengapa beliau mengambil calitan spesimen dari tekak dan lidah Mohd Saiful, Dr Siew berkata, beliau berbuat demikian kerana Mohd Saiful memberitahunya yang beliau turut dipaksa melakukan seks oral oleh lelaki berprofil tinggi, selain diliwat.
Katanya, perkara itu diberitahu Mohd Saiful ketika beliau mengambil butiran berhubung kejadian itu daripada mangsa yang turut memaklumkan tidak dapat duduk selama dua hari kerana sakit akibat diliwat.
Pakar Rawatan Kecemasan HKL, Dr Khairul Nizam Hassan yang turut melakukan pemeriksaan terhadap mangsa berkata, Mohd Saiful nampak tenang ketika ditanya sama ada beliau faham berhubung dakwaan liwat yang dibuatnya.
"Mohd Saiful berkata, beliau memerlukan masa untuk memikirkan dan mendedahkan apa yang berlaku kepada dirinya dan bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan," katanya.
Nair sebelum itu mempersoalkan mengapa Dr Khairul Nizam berasakan normal bagi Mohd Saiful untuk berada dalam keadaan tenang sedangkan seseorang yang diliwat sudah pasti marah dengan apa yang berlaku terhadap dirinya.
Nair juga mempersoalkan sama adalah menjadi kebiasaan bagi mangsa penderaan seksual untuk mendapatkan rawatan di hospital sebelum membuat laporan polis.
Dr Khairul Nizam yang dipanggil semula bagi pemeriksaan balas berkata, sesetengah mangsa terus pergi ke balai polis untuk membuat laporan, tetapi ada juga yang mendapatkan rawatan di OSCC kerana pihaknya juga akan memberi kemudahan kepada mangsa membuat laporan. Perbicaraan di depan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah bersambung esok.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.