Rabu, 2 Mac 2011

Air Mineral, Kacang Kuda Warnai Kempen Pelihan Raya Kecil Dun Merlimau (BERNAMA)

Cuaca panas menghangatkan lagi kerancakan suasana berkempen parti-parti bertanding pada pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka kawasan Merlimau yang memasuki hari keempat hari Selasa.

Yang menjadi pilihan ketika ini tentunya botol air mineral untuk membasahkan tekak ketika berkempen dari rumah ke rumah di tengah cuaca terik.

"Air mineral ini mudah dibawa, dahaga kita kalau tidak bawa air, tambah pula terpaksa berjalan dari rumah ke rumah sekitar taman-taman di Merlimau ini, selepas ini nak masuk kampung pula," kata Rahimah Osman, 42, anggota jentera kempen Barisan Nasional (BN) bersama beberapa rakannya kepada Bernama.

Hujan sekejap yang agak lebat di kawasan Kampung Air Merbau petang tadi, menyejukkan sedikit bahang panas di kawasan itu.

Calon BN, Roslan Ahmad, 44, ditentang calon PAS Yuhaizad Abdullah, 38, pada pilihan raya kecil itu Ahad ini, yang diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan, 56, daripada BN pada 20 Jan lepas akibat serangan jantung.

Pada sebelah malam pula, situasi kempen lebih bertumpu kepada ceramah berkelompok yang sekaligus menukar suasana tenang di kawasan Merlimau kepada "pentas pidato" di seluruh pelusuk DUN Merlimau.

Daripada isu tempatan hingga antarabangsa dikupas dan dihidangkan untuk pendengaran penduduk Merlimau dan di sesetengah ceramah pendengarnya ramai datang dari luar DUN Merlimau semata-mata ingin mendengar ceramah tokoh tertentu.

Mewarnai suasana ceramah yang bermula jam 8 malam hingga 12 malam ialah peniaga gerai yang menjual bihun sup, kacang kuda rebus, kacang tanah rebus dan pakaian.

Jentera BN dilaporkan sudah menemui lebih 80 peratus daripada 10,679 pengundi berdaftar di DUN itu sehingga hari ini.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang juga pengarah pilihan raya BN DUN itu, berkata pertemuan dengan pengundi bagi mengetahui masalah yang dihadapi mereka untuk diselesaikan di samping menerangkan mengenai perjuangan parti itu dalam membela nasib masyarakat di kawasan tersebut.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka, Adly Zahari berkata jentera kempen parti itu sudah menemui hampir kesemua pengundi dan pertemuan itu diulang setiap hari.

"Kita ulang lagi (pertemuan), setiap hari kita berjumpa dengan antara 70 dan 80 peratus daripada jumlah pengundi, kerana ada isu baru yang perlu pengundi tahu," katanya sambil menjelaskan kempen dilakukan dari rumah ke rumah dan tempat awam.

Azly berkata pihaknya turut mengedarkan bahan penerangan seperti risalah kepada pengundi.

Bagi beberapa pengundi muda yang ditemui Bernama, inspirasi mereka terhadap calon wakil rakyat yang akan dipilih pada Ahad ini, adalah seorang wakil rakyat yang mudah didekati dan mengambil berat serta mampu menyediakan peluang kehidupan yang lebih baik untuk mereka pada masa depan.

Kira-kira 39 peratus pengundi di DUN Merlimau terdiri yang golongan muda yang berumur antara 21 hingga 40 tahun.

Mohamad Sah Jusman, 36, berkata sebagai generasi muda sudah tentu dia mahukan seorang wakil rakyat yang mampu membantu mewujudkan keadaan sosio-ekonomi yang lebih baik kepada penduduk.

"Kita mahu lebih banyak peluang pekerjaan diwujudkan untuk penduduk di DUN Merlimau. Penduduk Merlimau mesti diutamakan dalam mengisi kekosongan jawatan terutama di kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) Jasin apabila siap kelak," katanya yang tinggal di Kampung Merlimau Pasir.

Mohamad Sah, seorang peniaga berkata wakil rakyat tersebut mestilah membantu menyediakan kemudahan prasarana yang mencukupi kepada golongan belia.

S. Bala Murugan, 30, dari Taman Muhibbah, Merlimau berkata bagi masyarakat India, keutamaan wakil rakyat yang akan dipilih nanti mestilah seorang yang mampu memberi lebih tumpuan terhadap bidang pendidikan.

"Pendidikan adalah amat penting kerana dengan pendidikan lah dapat mengubah nasib kehidupan khususnya masyarakat India," katanya dan menurutnya wakil rakyat tersebut mestilah mampu membawa lebih banyak peluang pekerjaan dengan mewujudkan kawasan industri.

Katanya masyarakat India juga mahukan lebih banyak rumah kos rendah dibina memandangkan rumah di kebanyakan taman perumahan yang ada sekarang berharga lebih RM150,000 yang tidak mampu dimiliki mereka.

"Saya harap wakil rakyat yang akan dipilih Ahad ini, dapat membantu agar kerajaan menyediakan lebih banyak rumah kos rendah kepada masyarakat India yang masih mendiami rumah yang disediakan pihak ladang," katanya.

Beliau berkata walaupun rumah yang disediakan pihak ladang cukup daripada segi keperluan asas tetapi masyarakat ladang juga ingin menduduki rumah sendiri pada harga yang mampu mereka bayar.

-- BERNAMA