Selasa, 8 Mac 2011

KES LIWAT ANWAR/ SELASA 8 MAC

Selain itu, tiada bukti yang menunjukkan bahawa barang-barang kes yang dipertikaikan iaitu tuala kecil Good Morning, sebatang berus gigi kecil warna putih dan botol plastik minuman jenama 'Cactus' diperoleh dengan cara yang salah.

Oleh yang demikian, adalah tidak wajar untuk mahkamah menggunakan budi bicara untuk mengetepikan barang-barang kes tersebut kerana tiada sebarang unsur yang salah digunakan oleh pihak berkuasa dalam memperolehi barang-barang bukti itu.

Perkara tersebut merupakan sebahagian daripada inti pati hujah balas selama hampir tiga jam oleh Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden di akhir bicara dalam perbicaraan (TWT) di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Prosiding TWT diadakan selepas Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah membenarkan permohonan pasukan pembelaan bahawa wujud pertikaian berhubung barang-barang itu yang dikemukakan dalam kes liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Kesemua barang tersebut dirampas dari lokap Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada 17 Julai 2008.

Anwar, 64, dibicarakan atas tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya yang berusia 26 tahun itu di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, No. 99 Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Terdahulu, Mohd. Yusof menyatakan, pihak pembelaan gagal membuktikan asas dakwaan mereka bahawa barang-barang tersebut diperolehi dengan cara yang tidak betul kerana sepanjang TWT, pembelaan gagal menunjukkan secara imbangan kebarangkalian bahawa tangkapan yang dibuat pada 16 Julai 2008 adalah salah.

Jelasnya, Anwar tidak pernah menafikan kewujudan waran tangkap walaupun tidak dapat mengingati apakah dokumen yang ditandatanganinya di IPK tersebut pada tarikh tangkapan.

Bagaimanapun, keterangan pegawai tangkapan, Supritendan Ahmad Taufik Abdullah Jumaat lalu menyatakan, waran tangkap telah dikemukakan kepada tertuduh pada tarikh tersebut di IPK dan Anwar telah menandatanganinya.

"Ahmad Taufik bukanlah seseorang yang mempunyai kepentingan dalam kes ini malah dia juga bukanlah seorang saksi dalam perbicaraan yang sebenar, sekiranya benar alasan tangkapan tidak diberikan, peguam-peguam Anwar dan beliau sendiri akan membuat bising dari mula tangkapan dan ia akan dapat dilihat dalam media,'' katanya.

Selain itu, Ahmad Taufik bukan sahaja mempunyai kuasa untuk menahan Anwar tanpa waran tetapi beliau mempunyai tanggungjawab untuk melakukan demikian.

Mohd. Yusof dalam hujahnya turut menyatakan, pengumpulan barang-barang kes itu dari lokap D9 tidak mempunyai kaitan dengan tangkapan tersebut malah Anwar tidak pernah ditipu, dipujuk atau diugut agar menggunakan tuala, berus gigi dan botol minuman itu.

Anwar juga mengetepikan haknya ke atas barang-barang kes itu apabila dia meninggalkan barang-barang itu di lokap terbabit.

Oleh yang demikian, adalah tidak wajar bagi mahkamah untuk mengetepikan barang-barang kes itu kerana tiada sebarang unsur penipuan, ugutan, pujukan atau janji digunakan dalam mendapatkan bukti tersebut.

Sekiranya mahkamah berpendapat bahawa penahanan itu salah, mahkamah masih tidak boleh mengetepikan barang-barang itu kerana ia sangat relevan dengan kes liwat yang sedang dibicarakan.

"Oleh itu, saya mohon agar permohonan barisan pembelaan ditolak dan pihak pendakwaan dibenarkan untuk memanggil semula Amidon Anan (bekas Ketua Bahagian CSI Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman) dan Nor Aidora Saedon (Ketua Unit DNA Paterniti, Jabatan Kimia Malaysia) untuk mengemukakan barang kes,'' katanya.

Karpal akan menjawab hujahan tersebut esok.