Jumaat, 1 April 2011

HATI-HATI : Wang Lesap Dari Akaun Bank

Laporan polis yang dibuat mengenai kes kehilangan wangnya dalam akaun bank
SEBAGAI Ketua Biro Aduan Khidmat Awam MCA Selangor, beliau bertanggungjawab menguruskan masalah dan aduan yang sering dilaporkan oleh rakyat. Pelbagai luahan si pengadu yang diperdengarkan tidak kurang diperdebatkan, pendek kata semuanya bertujuan untuk menyelesaikan isu yang berbangkit.

Bagaimanapun Datuk Theng Book juga seperti insan lain yang tidak terkecuali diduga dengan kejadian seperti kebanyakan laporan pengadu di Pusat Aduan dan Khidmat Awam MCA. Semuanya bermula apabila beliau menerima penyata kewangan akaun bank pada 21 Disember tahun lalu selepas mendapati terdapat transaksi melebihi had pengeluaran.

Rentetan daripada perkara itu, beliau telah membongkarkan misteri kehilangan wang dalam akaun simpanannya yang dianggarkan lebih RM50,000. Ikuti temuramah eksklusif Mingguan mStar berhubung kejadian malang itu.

Datuk Theng Book (kanan) ditemuramah oleh Mingguan mStar berhubung dakwaannya kehilangan wang lebih RM50,000 dalam akaun bank. Foto THE STAR oleh LIM CHENG KIAT

Mingguan mStar: Bagaimana semuanya bermula?

Saya ada satu akaun simpanan untuk tujuan pengeluaran wang di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah bank di Bandar Sunway, Petaling Jaya. Akaun ini digunakan sebagai wang poket sahaja.

Pada September lalu, saya mendepositkan wang sejumlah RM51,000 hasil daripada menjual sebuah kereta terpakai. Saya keluarkan wang secara purata RM1,500 pada setiap minggu namun turut memasukkan sejumlah wang beberapa kali.

Saya menyedarinya kehilangan wang lebih RM50,000 pada Disember tahun lalu apabila saya melihat baki simpanan hanya tinggal kira-kira RM1,000.

Apa yang difikirkan ketika itu?

Pada mulanya, saya ingat isteri saya (Datin Wong Thye Kwan) mengeluarkan wang tersebut untuk mengisukan cek. Saya bertanya kepada isteri, “Kenapa ambil semua wang itu?” Tetapi isteri saya tidak melakukannya. Jadi, siapa yang keluarkan?

Wang memang hilang atau Datuk keluarkannya?

Saya memang ada keluarkan wang sekali dalam seminggu. Persoalannya adalah kenapa pada hari yang sama saya mengeluarkan RM1,500, terdapat dua transaksi pengeluaran masing-masing RM1,500. Saya tak pernah keluarkan wang lebih dari sekali pada satu hari. Saya tidak tahu jarak waktu bila semua transaksi itu dilakukan.

Ada buat pemeriksaan di bank?

Had pengeluaran wang dalam akaun saya adalah RM3,000 sehari dan bank juga mengesahkannya. Saya juga tidak pernah menukarkan had pengeluaran wang itu. Tetapi bagaimana terdapat transaksi pengeluaran sehingga RM4,500 dalam sehari?

Bagaimana dengan transaksi ‘misteri’ itu?

Mana mungkin tidak. Begitu banyak transaksi yang bukan dilakukan oleh saya. Ingatkan ‘wang lesap’ itu hanya dilakukan pada hari yang sama saya mengeluarkan wang, tetapi tidak kerana ada yang ‘hilang’ pada hari-hari lain.

Laporan polis yang dibuat mengenai kes kehilangan wangnya dalam akaun bank.

Datuk Theng Book (kanan) ditemuramah oleh Mingguan mStar berhubung dakwaannya kehilangan wang lebih RM50,000 dalam akaun bank

Tindakan seterusnya?

Saya membuat laporan kepada pihak polis dan selepas itu melaporkannya kepada bank. Pihak bank kemudian memberitahu saya akan menyerahkan laporan itu kepada ibu pejabat dan saya memberikan masa kepada mereka untuk berbuat demikian.

Menunggu saja?

Saya mendapat tahu terdapat pelanggan lain bernama Jenny yang turut melaporkan kehilangan wang tetapi lebih banyak iaitu kira-kira RM100,000. Mengejutkan apabila penyata kewangannya juga mempunyai ‘nasib’ yang sama kerana lesap dalam beberapa transaksi selepas Jenny mengeluarkan wang.

Modus operandi adalah sama malah kami juga kehilangan wang di bank cawangan yang sama. Saya menyarankan Jenny untuk membuat laporan kepada pihak polis.

Datuk mengadakan sidang akhbar berhubung kejadian. Kenapa?

Tujuan saya cuma satu bagi memberi kesedaran kepada orang ramai supaya lebih berhati-hati apabila melakukan sebarang transaksi di bank. Kenyataan sebuah bank mengenai keselamatan berkaitan perbankan yang disiarkan dalam akhbar baru-baru ini memberi kesedaran kepada saya untuk memaklumkannya kepada umum.

Pandangan mengenai kejadian yang berlaku?

Saya tidak menyalahkan bank tetapi tidak menolak kemungkinan disebabkan ‘orang dalam’. Bagaimanapun, saya menyerahkan pihak polis dan bank untuk melakukan siasatan. Banyak cara yang menyebabkan perkara ini boleh berlaku. Saya hanya sebagai pelanggan, tidak tahu bagaimana sistem perbankan beroperasi.

Selain itu?

Tiada cara yang dapat dibuktikan oleh pelanggan bahawa mereka bukan melakukan transaksi ‘tambahan’ itu. Pelanggan mengeluarkan wang menerusi ATM maka bank boleh membuktikannya menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV). Difahamkan, rekod CCTV perlu disimpan sekurang-kurangnya selama enam bulan.

Saya juga mahu mendapatkan penjelasan bagaimana jumlah wang yang dikeluarkan boleh melebihi daripada had pengeluaran. Bukan sekali atau dua, tetapi banyak kali. Siasatan masih dijalankan dan maklum balas akan diberikan secepat mungkin.

Sudah lihat rakaman CCTV?

Saya dimaklumkan siasatan mendapati rakaman CCTV agak kabur maka sukar untuk meneliti sebarang aktiviti. Kini sedang menunggu rakaman untuk kali kedua.

Harapan Datuk?

Saya berharap agar Bank Negara Malaysia dapat mengambil perhatian tentang perkara ini supaya proses siasatan itu dapat disegerakan. Saya akan beri tempoh dalam sebulan lagi. Jika masih tiada perkembangan, saya tidak ada pilihan melainkan menfailkan kes ini untuk perhatian bank berkenaan.

Bagaimanapun, saya mahu bank tersebut diberikan peluang untuk memperjelaskan tentang perkara yang sebenar. Jika saya tidak gembira dengan keputusan siasatan, saya akan ambil tindakan undang-undang.
Nota kaki;
Untuk maklumat pembaca , kes  kehilangan wang seperti ini adalah normal. TM pernah menyiaran kisah seperti ini beberapa tahun lalu,
Malah TM pernah mengalami kehilangan sejumlah RM 1602 dari akaun Maybank yang berpusat di Taiping. Setelah laporan dibuat kepada Maybank , mereka telah mengesan bahawa beberapa pengeluaran telah dibuat dibeberapa lokasi dan dua kali pengeluaran di ATM bank lain dan dikenakan cas RM 2.
Kejadian ini berlaku sewaktu kad ATM menggunakan jalur magnetik berwarna hitam disebelah belakang kad, bukan jenis terkini.
Pihak Maybank mengarahkan supaya kes di laporkan kepada FMB. Malangnya FMB pula menyatakan peluaran dibuah secara sah. Memang lah sah, cuma komplen TM ialah siapa yang membuat pengeluaran tersebut. ini kerana TM tidak pernah memohon sebarang kad ATM untuk penggunaan pengeluaran.
Sampai sekarang pun TM masih aktif akaun dengan Maybank dan tidak memiliki kad ATM. Sebab utama jarang mengeluarkan wang , bila perlu terus ke kaunter sahaja.
So dengan jawapan muktamad daripada FMB bermakna RM 1602 hilang begitu sahaja dan  Maybank lepas tangan begitu sahaja.
Ini belum cerita kisah BSN lagi, tapi yang TM tahu seorang pegawai bank BSN dah duduk dalam.