Khamis, 5 Mei 2011

600 guru bahasa Inggeris yang bersara diambil

Usaha KPM memang bagus tetapi jangan jadi seperti dahulu. Masa mula-mula PPSMI diperkenalkan , usaha yang sama dibuat.

Pada awal pengambilannya ialah khusus untuk guru bahasa Inggeris, tetapi telah jadi lain. Guru-guru yang tak berkaitan dengan BI pun diambil. malah ada pegawai di PPD dan JPN pun melamar jawatan guru kontrak tersebut akhirnya melepak dalam bilik pengetua dan menjadi pengarah kepada pengetua.

Pengambilan kali ini biarlah tercapai matlamatnya dan jangan lah pisang berbuah dua kali.

Kementerian Pelajaran menyasarkan untuk mengambil semula seramai 600 guru bahasa Inggeris yang telah bersara bagi mengajar subjek berkenaan di sekolah-sekolah menjelang 2013.

Timbalan Menterinya, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, setakat ini seramai 168 pesara guru bahasa Inggeris telah menerima tawaran tersebut dan akan ditempatkan di sekolah yang berdekatan tempat tinggal mereka.

Katanya, usaha tersebut adalah bagi menjayakan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) setelah kerajaan memansuhkan Program Pengajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

''Ini termasuk melatih 10,000 guru bahasa Inggeris pada tahun ini dan 12,000 guru lagi dilatih semula dan mengambil 375 guru penutur jati dalam bahasa Inggeris untuk ditempatkan di sekolah-sekolah.

''Jadi tidak timbul lagi soal sama ada kerajaan akan berpatah balik dan menghidupkan semula PPSMI. Apa yang kita lakukan ialah pemansuhan secara berperingkat sehingga 2015," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan program Rapat 1Malaysia: Transformasi Pendidikan di sini hari ini.

Lebih 1,000 warga pendidik hadir pada seminar sehari anjuran bersama Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Institut Perkembangan Minda (Inmind), Gagasan Pendidikan Melayu Selangor dan Jabatan Pelajaran Selangor.

Hadir sama Ketua Pengarah Jasa, Datuk Fuad Hassan dan Pengerusi Ahli Majlis Pengarah Inmind, Datuk Salomon Selamat.

Mohd. Puad berkata, kementerian juga sudah bersiap sedia untuk mencetak buku teks kedua-dua subjek tersebut dalam bahasa Malaysia untuk kegunaan murid-murid di sekolah.

''Buat masa ini, kita memberi kelonggaran kepada pihak sekolah untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Inggeris atau dwibahasa termasuk bagi menjawab soalan peperiksaan," katanya.

Mengenai transformasi pendidikan, beliau berkata, warga pendidik perlu berani dan mengamalkan sikap autokratik yang positif jika mereka serius untuk meningkatkan mutu pendidikan di negara ini.

''Sikap autokratik yang positif bermakna satu keputusan yang tegas perlu dibuat selepas beberapa perbincangan diadakan bersama beberapa pihak yang terlibat," katanya.