Selasa, 2 Ogos 2011

Timbalan Muhyiddin hairan Dawama ‘tak buat duit’ sedangkan jualan terjamin

Sumber: Perak Today
Dato Wee Ka Siong
Putrajaya menegaskan Dawama, syarikat konsesi mencetak dan mengedar buku dan majalah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) harus bertanggungjawab ke atas segala masalah dihadapi syarikat itu termasuk isu kewangan sehingga terpaksa mengarahkan pekerjanya bercuti tanpa gaji.

Malah Putrajaya terkejut syarikat itu tidak “membuat duit” sedangkan jualan buku teks sekolah di seluruh negara menerusi Kementerian Pelajaran terjamin.

Ekoran masalah kewangan dialaminya syarikat itu gagal mencetak buku dan mengarahkan kesemua pekerja bercuti tanpa gaji mulai semalam.

Sehubungan itu, Kementerian Pelajaran juga menegaskan kerajaan ada membayar sejumlah wang kepada Dawama, dipercayai berjuta-juta ringgit dan tiada sebarang bayaran tertunggak buat masa sekarang.

“Dawama harus bertanggungjawab (atas apa yang berlaku sekarang),” kata Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong (gambar) menerusi akaun Twitter beliau hari ini, mengulas isu krisis DBP-Dawama sekarang.

Pengurusan terus dihubungi oleh The Malaysian Insider sehingga pagi tadi tetapi tidak memperoleh respons mengenai perkembangan mutakir.

Wee berkata meskipun kerajaan berbuat demikian tetapi Dawama berhadapan dengan masalah kewangan.

“Dawama mencetak buku teks dan Kementerian Pelajaran bayar, jualan terjamin tetapi masih tidak dapat membuat duit (untung). Siapa yang harus dipersalahkan?” kata beliau menjawab soalan beberapa pemegang akaun Twitter pagi ini.

Pagi ini, The Malaysian Insider membawa laporan memetik Gerakan Darurat Bahasa (GDB) yang menggesa agar kerajaan membatalkan penswastaan kerja-kerja mencetak dan memasarkan bahan terbitan DBP dan mengembalikan fungsi asal agensi Kementerian Pelajaran itu.

GDB berkata langkah kerajaan menswastakan urusan mencetak, mengedar dan memasarkan terbukti gagal, dan sudah tiba masanya aktiviti itu terletak di bahawa DBP sendiri selaku sebuah badan berkanun kerajaan.

Ia mahu fungsi asal DBP dikembalikan kepada kedudukan sebelum September 2002.

“Sebagaimana menjadi kebimbangan kami selama ini, dasar menswastakan tiga fungsi ini (mencetak, mengedar dan memasrkan buku) nampaknya gagal. Dan, sebagaimana kami telah minta sebelum ini, kami berharap kerajaan akan kembali menyerahkan kerja-kerja mencetak dan memasarkan buku dan majalah kepada DBP sendiri.

“Kami mencadangkan agar sebagai sebuah badan berkanun, DBP diberikan peranan itu… sebagaimana kita dapat lihat di badan-badan berkanun yang lain seperti Felda,” kata Setiausaha Penyelaras GDB Hasni Abas kepada The Malaysian Insider.

Bagaimanapun Wee menambah Kementerian Pelajaran akan mengadakan pertemuan dengan pekerja-pekerja Dawama jika perlu.

Dalam satu kenyataan kepada media semalam, pekerja-pekerja Dawama mahu Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran campur tangan menyelesaikan kemelut yang menyebabkan hampir 400 orang telah diarah mengambil cuti tanpa gaji.

Presiden Kesatuan Pekerja-pekerja Dawama Sdn Bhd Zainal Awit berkata, tindakan pengurusan syarikat itu amat keterlaluan kerana menyebabkan kesemua kakitangan kehilangan mata pencarian.

Dawama dilaporkan berhadapan dengan masalah kewangan rumit.

Tegas Zainal, pihaknya juga mahu agar DBP menamatkan konsesi dengan Dawama dalam kadar segera.

Jelas beliau, tindakan itu akan membolehkan kesemua kakitangan kembali bekerjasa seperti biasa.

“Kalau kita lihat di dalam surat cuti tanpa gaji, alasan yang diberi bahawa Dawama sudah tidak mampu untuk membiayai operasi harian termasuk bayaran gaji kepada kakitangan dan kita terkejut dengan alasan yang tidak munasabah ini.

“Ini kerana sejak mendapat konsesi, Dawama memperoleh tender kerajaan yang pendapatannya dianggarkan puluhan juta ringgit, jadi kami berharap pihak berwajib menyiasat perkara ini dan kami juga mahu supaya konsesi ini ditamatkan dengan segera supaya DBP boleh mengambil alih operasi,” katanya.

Dawama diberi tanggungjawab mencetak dan memasarkan bahan bacaan terbitan DBP menerusi kontrak yang ditandatangani pada 1 September 2002 dan sejak itu berlaku kemerosotan yang agak ketara daripada segi cetakan dan jualan.

Tempoh kontrak dengan syarikat konsesi itu adalah selama 12 tahun dan akan tamat pada 2014.

Wee juga berkata tindakan undang-undang akan diambil ke atas Dawama jika syarikat itu gagal membekalkan buku teks kepada sekolah sebelum sesi persekolahan 2012/13 bermula.

“Saya tidak kisah. Tindakan undang-undang akan diambil jika syarikat atau pemiliknya gagal membekalkan buku! Itu sebab kami enggan membayar sebarang wang pendahuluan kepada Dawama sebagaimana diminta,” kata Wee lagi.

NOTA KAKI;


JAWAPANNYA MUDAH SAJA, TERLALU BANYAK UNSUR RASUAH ........SATU KEMUNGKINAN , NAK SAHKAN......SPRM PERLU MASUK DAN SIASAT DAHULU...