Selasa, 2 Ogos 2011

Perpaduan Islam KIMMA memalukan Pas


SETELAH terlibat berkempen dalam beberapa siri pilihan raya kecil, Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) semakin aktif membantu dan menyeru kepada perpaduan Islam di seluruh negara.

Segala apa yang dilakukan oleh Kimma yang menjadi ahli gabungan UMNO pada 27 Ogos tahun lalu, bukanlah kerana ingin mendapat tempat di dalam Kabinet. Sebaliknya, ia bermatlamat supaya semangat perpaduan diterima oleh semua umat Islam di Malaysia.

Kehadiran Kimma, yang dulunya hanya bergerak secara kecil-kecilan dan memberi fokus kepada pembangunan ekonomi golongan India Muslim, di pentas politik negara, berpunca kerana tidak tertahan dengan perpecahan yang berlaku di kalangan umat Islam.

Seruan perpaduan Islam yang dibawa Kimma ini nampaknya telah diterima pelbagai ras kecuali Pas yang semakin egois untuk menolaknya.

Ini berlaku kerana Pas menari mengikut rentak pakatan pembangkang yang matlamat perjuangan mereka adalah untuk menghancurkan negara ini.


Kepimpinan Pas yang kononnya didokong ribuan ulama menolak gagasan perpaduan berlandaskan Islam dan pembangunan negara secara konstruktif.

Sehubungan itu, Pas wajar belajar daripada Kimma yang telah membuktikan bahawa langkah menyemai semangat perpaduan di kalangan India Muslim telah membuatkan golongan itu terus membangun.

Peluang perniagaan serta pelbagai insentif yang terus diberikan secara berterusan kepada India Muslim membuktikan bahawa segala yang telah dilakukan oleh Kimma amat relevan dan perlu dicontohi.

Dalam pada itu, apa yang dilakukan oleh Pas adalah sebaliknya. Perpaduan di kalangan umat Melayu semakin payah dipulihkan kerana dijumudkan oleh perjuangan Pas yang hanya pandai bertakbir dalam misi menumbangkan kerajaan sedia ada.


Ini berbeza dengan keluhuran perjuangan Kimma yang menjadikan perpaduan sebagai tiang seri dan Islam sebagai tunjang untuk penyatuan.

Gejala perpecahan yang dibawa oleh Pas adalah amat besar kesannya kepada negara sehingga ada ahli parti itu yang sanggup menyertai 'pemberontakan' di atas nama demokrasi baru-baru ini serta menghalalkan revolusi bagi mendapatkan kuasa.

Amat malang sekali kerana terdapat umat Melayu yang jumud pemikiran mereka serta memiliki jiwa yang tidak tenang telah menyertai Pas semata-mata kerana ia memberikan mereka tiket mudah untuk menemui jalan 'kebenaran' menuju kemakmuran akhirat.


Prinsip ketaatan kepada pemimpin dan keharmonian hidup bernegara yang dianjur oleh Kimma telah ditukar Pas dengan dendam untuk mendapatkan kuasa.

Kita juga ingin tahu di manakah pemimpin Pas ketika pencerobohan zalim dilakukan ke atas penduduk Kampung Buah Pala di Pulau Pinang. Kenapakah laungan takbir tidak kedengaran semasa jentolak Lim Guan Eng rakus menerobos kampung ini?

Kita juga ingin tahu di manakah pemimpin Pas ketika premis perniagaan milik ahli-ahli Kimma diganggu oleh kerajaan negeri yang dipimpin pembangkang.


Sehubungan itu, Pas perlu lebih bersikap zuhud dan harus menyelusuri perjuangan Kimma yang lebih mulia daripada sudut pengamalan ajaran Islam dan membela masyarakat India Muslim.

Perjuangan Kimma mampu menggugat ketelusan Islam yang dilaungkan oleh Pas. Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor misalnya semakin tertekan dengan kehadiran Kimma dalam membela nasib umat India Muslim.

Ini terbukti apabila wujud tawaran rasuah yang tinggi dan janji untuk memberikan kerusi pilihan raya kepada Kimma yang dibuat oleh pimpinan Pas Selangor.

Bagaimanapun, tawaran itu langsung tidak menarik perhatian Kimma kerana ia hanyalah kekayaan dunia yang bersifat sementara. Angan-angan oleh kepimpinan Pas bagi melamar kongres ini hanya tinggal kenangan.


Wang ringgit dan kerusi sebenarnya bukan keutamaan sebaliknya yang penting adalah penentangan habis-habisan terhadap perjuangan palsu Pas.

Ahli-ahli kongres ini juga melihat Pas bukanlah wadah sebenar dalam memperjuangkan Islam dan jauh sekali membela rakyat marhaen kerana matlamat parti itu hanyalah untuk mendapat kuasa dan melunaskan dendam terhadap pemimpin UMNO.

Dengan ini, apa yang dapat disimpulkan bahawa pemimpin Pas sepatutnya merasa malu dengan perpaduan erat berlandaskan Islam yang ditunjukkan oleh Kimma.

Pas perlu berundur daripada pentas politik kerana parti itu hanya memalsukan nama Islam bagi mendapatkan sokongan penganut agama itu.

Kepimpinan Kimma yang sepatutnya dicontohi kerana mereka lebih patuh kepada ajaran Islam sebenar berbanding pemimpin Pas yang sentiasa bertakbir dengan matlamat untuk memecah-belahkan umat Islam.

Oleh: MUHAMAD RIDZUAN HASHIM


di petik dari Mulut Melayu