Khamis, 13 Oktober 2011

Jais akan mendapatkan perintah waran tangkap ke atas Bob Lokman


SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) akan mendapatkan perintah waran tangkap daripada mahkamah terhadap penulis lirik, pelakon dan pengacara terkenal, Bob Lokman seandainya masih berdegil enggan hadir memberi keterangan.
Pengarah Jais, Marzuki Hussin berkata, selebriti yang nama sebenarnya Muhammad Hakim Lokman, 47, itu juga melakukan kesalahan lain jika enggan mematuhi perintah hadir terhadapnya.

“Sepatutnya pagi tadi (semalam), dia hadir ke Ibu Pejabat Jais, tetapi dia gagal berbuat demikian.

“Dia (Bob Lokman) berdegil datang, Jais akan memohon waran tangkap,” katanya ketika dihubungi mengulas kes Bob Lokman mengadakan ceramah tanpa tauliah di Masjid Sungai Lui, Hulu Langat, Isnin lalu.

Bob Lokman ditahan mengikut Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Islam (Negeri Selangor) 2003 iaitu ceramah tanpa tauliah.

Seksyen 119, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 menyebut: “Mana-mana orang yang mengajar agama Islam atau perkara mengenai agama Islam tanpa tauliah diberikan mengikut Seksyen 118 adalah melakukan kesalahan dan boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.” Disebabkan enggan hadir memberi keterangan dengan sengaja pula, selebriti itu melakukan kesalahan mengikut Seksyen 12B Enakmen Jenayah Syariah Selangor.



Jika disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 12B Enakmen Jenayah Syariah Selangor itu, boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.

Sementara itu, Bob Lokman ketika dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai ketidakhadirannya ke pejabat Jais.


Malah, pengacara itu seterusnya mengeluarkan perkataan kesat kepada wartawan. Laporan muka depan Harian Metro, semalam menyiarkan bahawa Jais mengesahkan membuat tangkapan terhadap selebriti yang juga pelakon dan penulis lirik, Bob Lokman kerana mengadakan ceramah tanpa tauliah di Masjid Sungai Lui, Hulu Langat, pada Isnin lalu.

Marzuki dipetik berkata, Bob Lokman tidak memiliki tauliah dan tidak pernah memohon daripada Jais untuk memberikan ceramah. Laporan semalam turut memetik sumber Jais, selebriti itu bersama dua lagi iaitu Pengarah Pilihan Raya Pemuda Pas dan nazir masjid berkenaan ditahan Jais ketika berucap selepas solat Maghrib di hadapan 70 jemaah. Katanya, mereka dibawa ke balai polis berhampiran untuk diambil keterangan sebelum dilepaskan atas jaminan polis. Bagaimanapun, katanya, Bob Lokman dan dua lagi rakannya gagal hadir di Ibu Pejabat Jais di sini, walaupun diminta berbuat demikian.