Khamis, 13 Oktober 2011
Saga 1992 berwajah baru
LINANGAN air mata menggambarkan kegembiraan seorang lelaki apabila melihat Proton Saga model 1992 miliknya ‘anggun’ selepas diubah suai pasukan R3 daripada Bahagian Motorsports Proton.
Juruteknik, Fadly Hisham, 33, adalah peserta pertama program ‘My Proton Makeover’ selepas penganjur terpikat dengan pengalaman menariknya bersama kereta berusia 19 tahun itu.
Fadly berkata, Proton Saganya itu banyak memberi kenangan kepada keluarganya.
“Kenderaan ini sangat berharga buat saya. Dengan ubah suai ini ia akan memberi lembaran baru dan akan diabadikan selamanya,” katanya pada majlis penyerahan kenderaan di bawah program ‘My Proton Makeover’ di Subang Jaya, baru-baru ini.
Hadir sama, Pengarah Kumpulan Pemasaran dan Penjenamaan Proton, John Chacko dan Ketua Kejuruteraan Unit R3, Tengku Djan Ley Tengku Mahaleel.Secara keseluruhan, Proton Saga itu kelihatan seperti baru bersama rim 16 inci talaan R3, tempat duduk kulit, enjin dibaik pulih serta bahagian dalaman baru.
Selain itu, jentera itu tampak sporty apabila ditala pasukan R3 dengan bentuk luarannya diubah suai dengan bampar depan dan belakang baru.
Sementara itu, Tengku Djan, berkata kenderaan itu diubah suai mengikut piawaian R3 dengan reka bentuk kesederhanaan dan klasik serta gaya moden.
“Cabaran kami hadapi adalah kesukaran mencari komponennya yang kini berkurangan dalam pasaran sejak beberapa tahun ini.
“Bagaimanapun, kami gembira dengan roda 16 inci tandatangan R3 memberi rangsangan rekaannya,” katanya.
Program ‘My Proton Makeover’ masih mencari beberapa pemilik Proton yang bertuah tanpa mengira model.
Mereka yang berminat boleh melayari www.protonViP.com atau datang terus ke pusat jualan dan servis Proton sebelum 28 Disember 2011.