Cadangan kerajaan untuk menaikkan elaun Anggota Parlimen, yang ditarik balik kerajaan setelah empat pemimpin pembangkang membantahnya, menghangatkan suasana perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2012 di Dewan Rakyat kelmarin.
Datuk Baharom Mohamed (BN-Sekijang) menganggap Anggota Parlimen pembangkang sebagai hipokrit kerana memutabelitkan kenyataan berhubung elaun itu sedangkan sebelum ini mereka bersetuju ia dinaikkan.
“Pihak pembangkang, kenapa begitu hipokrit dalam hal ini. Soal naik atau tidak elaun Ahli Parlimen tidak penting tetapi jangan diputarbelitkan dan harus dilihat dan diberitahu kepada rakyat,” katanya.
Susulan itu, Anggota Parlimen Bebas Zulkifli Noordin (Kulim Bandar Baharu), bangun mencelah dan berkata tidak adil untuk menyatakan bahawa Anggota Parlimen pembangkang hipokrit kerana yang selalu memutarbelitkan fakta hanyalah Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurutnya soal kenaikan elaun itu sebelum ini diperjuangkan oleh Abdullah Sani Abdul Hamid (PKR-Kuala Langat) dan Salahuddin Ayub (PAS-Kubang Kerian) tetapi Anwar yang kemudiannya menyatakan pembangkang membantah.
Abdullah Sani kemudian bangun dan menegaskan bahawa kenaikan itu memang diperlukan Anggota Parlimen untuk menambah bilangan pegawai serta menyediakan pejabat untuk memudahkan mereka beroperasi.
Khalid Samad (PAS-Shah Alam) turut mencelah dan menyatakan bahawa masanya tidak sesuai kini untuk menaikkan kadar elaun Anggota Parlimen kerana mendakwa kerajaan BN kini berdepan bajet defisit.
Bagaimanapun, Baharom tetap menegaskan bahawa kerajaan mempunyai bajet untuk tujuan itu yang menyebabkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membentangkannya dalam Belanjawan 2012 selepas mendengar rintihan kedua-dua pihak terutamanya pihak pembangkang.
“Dah beri kelulusan untuk kaji (gaji dan elaun), itu bermakna ada peruntukan yang disediakan kerajaan seperti diumumkan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan,” katanya.
Ketika ini, Anggota Parlimen di negara ini memperoleh RM6,500 sebulan dan paling rendah berbanding Singapura (RM33,589), Indonesia (RM18,111) dan Thailand (RM11,534).
Bagaimanapan, satu ramalan yang boleh dibuat ialah, pihak pembangkang tahu bahawa dalam PRU 13 akan datang mereka akan kalah teruk oleh itu mereka tidak perlu sebarang kenaikan elaun tersebut.