Rabu, 28 Mac 2012

Pemuda MCA Daerah Kinta Selar Tindakan Ganas Dong Zhong.mpg




Tindakan Persatuan Dong Zhong yang menganjurkan perhimpunan membantah kekurangan guru pendidikan Cina di Kajang hingga menimbulkan kekecohan baru-baru ini boleh diselesaikan melalui perbincangan secara baik dengan pihak kerajaan.

Ketua Pemuda MCA Ipoh Barat, Tony Khoo, berkata sebarang perhimpunan yang ingin dianjurkan seharusnya diadakan secara aman tanpa melibatkan kekerasan dan sebarang masalah yang timbul hendaklah diselesaikan secara perbincangan.

“Pemuda MCA Daerah Kinta akan menyokong dan berdiri teguh di belakang Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong yang baru-baru diserang ketika menghadiri perhimpunan Dong Zhong bagi menyuarakan bantahan terhadap kekurangan guru di sekolah kebangsaan jenis Cina.

“Walaupun Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah menafikan Ka Siong dikasari dalam perhimpunan itu, kita mahu perkara ini dilihat semula berdasarkan kepada Akta Keganasan.

“Selain itu, kita berharap masyarakat Cina dan persatuan Dong Zhong dapat memberi masa dan kepercayaan kepada Timbalan Menteri Pelajaran untuk menyelesaikan masalah berkenaan tanpa melibatkan sebarang kekecohan,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan bantahan aman di perkarangan ibu pejabat MCA Perak di Ipoh, pagi tadi.

Pemuda MCA Daerah Kinta juga kata Tony, membidas tindakan pembangkang terutamanya DAP yang terus mencetuskan kontroversi berkaitan pendidikan kaum Cina tetapi hakikatnya parti itu tidak memperjuangkan nasib dan kepentingan pendidikan kaum berkenaan.

Sebelum ini, Tun Hisan dilaporkan berkata berdasarkan laporan beberapa orang di tempat perhimpunan itu, Wee tidak langsung diserang dalam perhimpunan itu.

“Tidak, beliau tidak diserang,” beliau dipetik sebagai berkata kepada China Press sambil menambah polis tidak akan menyiasat kes itu sekiranya tiada laporan dibuat.

Tindakan itu dipercayai berlaku di luar jangkaan apabila Wee hadir dalam perhimpunan itu yang bertujuan membantah kekerangan guru pendidikan Cina di Kajang yang dianjurkan oleh kumpulan pendidikan Cina Dong Zhong sebelum mengundang kekecohan.

Wee pada sidang media selepas kejadian mendakwa lelaki pertengahan tahun yang memakai kemeja T cuba menumbuknya.