Isnin, 13 Ogos 2012

Retorik Pas yang gagal

PAS sememangnya menyedari bahawa mereka kini berada dalam keadaan tersepit, tindakan menggugurkan perjuangan menubuhkan negara Islam dan dilihat hanya menjadi pak turut dalam pakatan pembangkang mula memberi kesan kepada sokongan politik mereka.

Oleh itu mahu tidak mahu Pas perlu berusaha menyakinkan penyokong parti itu serta orang Melayu atas pagar bahawa perjuangan Islam masih menjadi teras utama parti tersebut.

Malahan pemimpin-pemimpin Pas juga terus berusaha untuk menyakinkan penyokong mereka bahawa parti itu akan melaksanakan hukum hudud jika pakatan pembangkang memerintah.

Mungkin atas dasar itu juga Ketua Dewan Pemuda Pas pusat, Nasrudin Hassan cuba menggambarkan bahawa DAP tidak ada masalah dalam soal hudud apabila menyatakan Pengerusi DAP, Karpal Singh berkata, ``masalah hudud kita boleh bincang semula...’’

Ternyata kenyataan Nasrudin mengundang perasaan tidak senang Karpal Singh yang secara tegas mempertikaikan kenyataan Ketua Dewan Pemuda Pas itu.

Malahan Karpal sekali lagi menegaskan bahawa pendirian beliau dalam soal hudud adalah jelas iaitu undang-undang berkenaan tidak boleh dilaksanakan di negara ini.

Seperti mana penulis pernah nyatakan berkali-kali dalam tulisan-tulisan sebelum ini, Pas sememangnya tidak boleh memarahi ketegasan Karpal dalam soal itu.

Sebaliknya, Pas perlu belajar daripada Karpal bagaimana untuk mempunyai pendirian yang tegas dan berprinsip dalam memperjuangkan sesuatu perkara.

Pendirian Karpal tidak pernah berubah dalam soal hudud dan inilah yang perlu difahami oleh Pas yang dilihat masih terhengeh-hengeh mahu menjadikan hukum hudud sebagai modal politik mereka.

Pas perlu sedar bahawa mereka tiada keberanian dan kemampuan untuk melawan sebarang bantahan daripada DAP, sebaliknya Pas perlu patuh dan akur sahaja.

Mungkin kenyataan ini agak memedihkan tetapi inilah realiti yang berlaku kepada Pas sejak mereka bergabung dalam pakatan pembangkang bersama DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Pas tidak boleh mengharapkan pemimpin-pemimpin Islam di dalam PKR membantu mereka memperjuangkan hudud kerana PKR hanya memburu kuasa politik.

Selain itu, PKR amat memahami antara DAP dan Pas siapa lebih berpengaruh dalam usaha mereka mencapai pengaruh politik dan sekali gus meraih kejayaan di dalam pilihan raya.

Tetapi seperti biasa Pas, masih belum mahu sedar bagaimana kedudukan parti itu yang boleh dianggap bagaikan `melukut di tepi gantang’ dalam pakatan pembangkang.

Pemimpin-pemimpin DAP dilihat jarang sekali menyanggah apa kata pemimpin PKR tetapi jika Pas bercakap soal hudud dan negara Islam maka mereka akan `diherdik’ oleh DAP.

Dalam soal ini, Pas tidak boleh marah DAP kerana pemimpin-pemimpin DAP sememangnya konsisten dalam perjuangan politik mereka.

Malahan sejak dulu lagi, Pas sengaja melupakan teguran pelbagai pihak yang mempertikaikan kehadiran parti itu dalam pakatan pembangkang.

Ini kerana orang Melayu amat memahami bahawa perjuangan Islam Pas tidak sesuai untuk diganding bersama dengan perjuangan PKR dan DAP.

Tetapi malangnya, pemimpin-pemimpin Pas terlalu teruja mahu ke Putrajaya dengan menumbangkan Barisan Nasional (BN) dan menjadi pengganti kepada UMNO.

Sebab itulah Pas sentiasa menolak sebarang usaha untuk mengadakan muzakarah dengan UMNO biar pun demi membincangkan kedudukan orang Melayu dan umat Islam.

Pas masih lagi sentiasa percaya bahawa PKR dan DAP akan mampu menjadi sahabat baik mereka dalam usaha untuk mencapai perjuangan Islam.

Namun begitu Pas, tidak boleh selama-lamanya mengelirukan umat Islam dengan arah tuju perjuangan mereka kerana semua orang tahu bahawa Pas bukanlah pejuang negara Islam.

Pas sudah berubah kepada perjuangan negara berkebajikan! Inilah faktanya!, oleh itu tidak perlu lagi bermain sandiwara dalam soal perjuangan Islam ini.

Kalau Pas benar-benar mahu memperjuangkan hudud dan negara Islam, mereka hanya mempunyai satu pilihan sahaja iaitu keluar daripada pakatan pembangkang.

Ia kerana selagi Pas berada dalam pakatan berkenaan mereka tidak boleh berbuat apa-apa, termasuklah hendak bercakap soal hudud.

Justeru kata-kata hendak melaksanakan hukum hudud, DAP sudah menerima perjuangan Islam Pas dan DAP sedia berbincang soal hukum berkenaan hanyalah omong kosong dan retorik politik pemimpin-pemimpin yang tidak pernah ada penghujungnya.

Oleh itu sempena bulan Ramadan yang mulia ini, adalah lebih baik jika pemimpin-pemimpin Pas bermuhasabah dan memohon petunjuk Allah mengenai perjuangan politik mereka.

Kita sudah bosan dengan telatah politik pemimpin-pemimpin Pas yang membuat kenyataan atau tindakan hanya berdasarkan kepada perhitungan politik semata-mata.

Sememangnya kita percaya, di dalam Pas sendiri masih ramai pemimpinnya yang mahu parti itu kembali kepada dasar perjuangan asal iaitu berusaha menegakkan perjuangan Islam.

Tetapi mereka tidak mampu bersuara lantang kerana cengkaman pengaruh kumpulan yang mahu terus bekerjasama dengan PKR dan DAP dikatakan begitu kukuh sekali lagi.

Bagaimanapun, tidak kiralah sekukuh mana pun pengaruh kumpulan berkenaan namun hakikatnya ia tidak akan membawa apa-apa keuntungan kepada politik Pas.

Ia kerana seperti mana kata bekas Naib Presiden Pas, Datuk Dr.Hasan Ali, parti itu dilihat hanya menjadi kuda tunggangan bagi DAP dan PKR mencapai cita-cita politik mereka.

Dalam memperkatakan hal ini, berikutan keterujaan Pas untuk memburu kuasa bersama kedua-dua parti tersebut tiada siapa pun di peringkat kepimpinan yang akan berani menjadi wira menegur keterlanjuran Pas itu.

Kelompok yang paling sesuai untuk memberi isyarat dan pengajaran kepada keghairahan kepimpinan Pas itu ialah penyokong-penyokong parti tersebut.

Jika benar golongan berkenaan sayangkan Pas dan tidak mahu parti yang begitu berjaya menarik perhatian umat Islam dengan perjuangan Islamnya terus terumbang-ambing, maka berilah isyarat yang jelas dalam pilihan raya umum nanti.

Penyokong-penyokong Pas perlu menyedarkan kepimpinan mereka bahawa apa yang sedang dilakukan tidak bertepatan dengan asas perjuangan parti itu dan ada kelompok tertentu di peringkat kepimpinan perlu ditolak demi masa depan Pas.

Persoalannya, beranikah penyokong-penyokong Pas berubah demikian? atau mereka pun sudah dibuai dengan janji-janji manis sekutu Pas bahawa pembangkang akan berjaya menawan Putrajaya dalam pilihan raya umum nanti.

Terserahlah kepada pemimpin dan penyokong Pas memikirkan perkara itu tetapi apa yang pasti dari semasa ke semasa Pas semakin dilihat sebuah parti yang tidak berupaya menjadi pesaing kepada UMNO apatah lagi mencapai impian `mat jenin’ untuk menggantikan parti tersebut orang Melayu tersebut.

Ia kerana perjalanan politik negara setakat ini jelas menunjukkan siapa sebenar menjadi tonggak dan siapa pula sekadar `pak turut’ dan kuda tunggangan!

Oleh Zulkiflee Bakar