56. Jika dinilai dari kayu ukur global, Malaysia hari ini tercatat antara negara dagangan terbesar di dunia dengan nilai eksport dan import lebih RM 1 trilion. Hari ini kita diiktiraf Institute for Management Development atau IMD dan The World Economic Forum atau WEF dalam barisan 20 negara paling berdaya saing di dunia.
57. Hari ini juga kita diiktiraf Bank Dunia sebagai negara ke-12 paling mudah untuk berurusniaga, sementara Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atau UNDP pula menilai status Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai "High Human Development Index".
58. Kendatipun begitu, Kerajaan pimpinan UMNO tidak hanya berpeluk tubuh dan berpuas hati dengan kejayaan sedia ada. Kita mahukan setiap anak Malaysia terus mampu mengoptimakan potensi, kita mahukan setiap anak Malaysia dapat merealisasikan impian, agar hari ini lebih baik dari semalam dan hari esok, sarat dengan kemungkinan.
59. Untuk itu, Dasar Transformasi Nasional telah digubal dan dilaksanakan semenjak saya dan rakan-rakan mengambilalih kepimpinan parti dan kerajaan lebih tiga tahun yang lalu. Melalui dasar ini, kita telah memeta transformasi kerajaan, ekonomi dan politik secara rapi bagi mempastikan Wawasan 2020 akan tercapai.
60. Hasil pelaksanaan Program Transformasi Kerajaan, Program Transformasi Ekonomi, dan Model Ekonomi Baru misalnya, pendapatan per kapita GNI negara meningkat 30 peratus di antara tahun 2009 hingga 2011 iaitu daripada US$6,700 kepada US$9,700.
61. Kemuncaknya nanti saudara dan saudari, ialah bagi mencapai pendapatan per kapita sebanyak US$15,000. Hakikatnya, jika kita menggunakan kayu ukur mutakhir Bank Dunia bagi mengklasifikasi sebuah negara sebagai berpendapatan tinggi, iaitu US$12,476 dolar, maka ia jelas menunjukkan, walaupun tempohnya masih tinggal tujuh tahun lagi, kita, Malaysia, sudahpun berada pada landasan yang betul, untuk lebih awal mencapai taraf tersebut.
Saudara dan saudari yang dikasihi sekalian,
62. Kita maklum bahawa, pihak pembangkang dalam usahanya untuk menawan hati rakyat telah mengeluarkan Buku Jingga sebagai manifesto kenapa mereka perlu dipilih menjadi kerajaan menggantikan Barisan Nasional dengan tema "Ubah Sekarang" "Selamatkan Malaysia".
63. Dalam dokumen ini terkandung sejumlah 59 janji yang dikatakan akan dilaksanakan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat. 10 daripadanya, kononnya, akan ditunai dalam tempoh 100 hari pertama pentadbiran mereka.
64. Sebaliknya, semua itu hanya nampak muluk-muluk. Padahal, cerita yang betul tentang kesan buruk jika janji-janji tidak munasabah itu dilaksanakan, tidak pula disampaikan kepada pengetahuan rakyat.
65. Jika disenarai, mereka mendakwa kononnya mampu menjamin pendapatan purata bulanan setiap isi rumah Malaysia pada kadar RM4,000, menghapuskan tol dan hutang PTPTN, memberikan elaun khas kepada guru sebanyak RM500 sebulan dan menaikkan royalti petroleum sehingga 20 peratus kepada negeri-negeri. Mana mungkin semua itu diperbuat kerana natijahnya akan memusnahkan ekonomi negara, antaranya;
66. Pada tahun pertama seandai dilaksanakan, defisit bajet Kerajaan pusat akan melonjak kepada hampir 30 peratus. Kedua, menjelang tahun 2015 kadar nisbah hutang negara kepada KDNK akan melambung kepada 140 peratus.
67. Dalam tahun ketiga, kita akan mencapai tahap keparahan dan hilang kedaulatan negara seperti negara Greece. Waktu itu pengurusan iktisad negara tidak lagi berada dalam tangan Kerajaan yang dipilih rakyat, tetapi beralih ke tangan institusi antarabangsa. Adakah itu yang kita inginkan?
Saudara dan saudari sekalian,
68. Inilah... inilah tahap kualiti dan hal ketidak mampuan perancangan ekonomi parti lawan. Namun, ia tidak langsung mengejutkan kita, kerana, semasa krisis kewangan Asia melanda Malaysia pada tahun 1997-1998, terbukti, Menteri Kewangan, saya ulang, Menteri Kewangan ketika itulah orangnya, yang kini, menjadi Ketua Pembangkang, bukanlah pengurus ekonomi yang cekap.
69. Beliaulah yang menggunapakai dasar maya Tabung Kewangan Antarabangsa atau IMF bagi menangani krisis ekonomi ketika itu. Semua orang mengetahui IMF masa tersebut diketuai oleh sahabat karibnya. Tindakan beliau memotong perbelanjaan pembangunan serta menaikkan kadar faedah di saat-saat keyakinan pasaran menurun dan memerlukan suntikan oleh Kerajaan telah menyebabkan kesengsaraan kepada rakyat terbanyak khususnya masyarakat perniagaan.
70. Orang ini memang selayaknya digelar sebagai sesumpah politik. Bila bercakap di Amerika Syarikat dan kepada bangsa lain, berbeza nadanya, bila bersyarah kepada orang Melayu dan orang Islam, lain pula ceritanya. Semasa bersama kita dalam UMNO, caranya sekian, sekarang jadi Ketua Umum Pembangkang, segala pendirian dan fe'elnya berubah pula.
71. Kalau ikut pepatah dulu, orang menyebut, dia ini lidahnya bercabang. Jelasnya, tiada orang boleh meneka watak sebenar beliau yang secara terang-terang mendukung usaha menjamin keselamatan Israel, pada kala dunia sedang mengutuk Rejim Tel Aviv yang kejam itu kerana membantai dan mengganyang umat Islam di Gaza. Akan tetapi, apabila kerajaan membentang usul mengecam Israel di Parlimen...dah.. dia menyokong pula.Hairan...hairan.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.