Jumaat, 30 November 2012

31-54 ucapan Najib

Saudara dan saudari sekalian,
35. Bersuluhkan jamung pejuangan mulia yang cerah menyala, kita mesti cekal bekerja keras, kita mesti terus tabah meyakinkan rakyat bahawa, kitalah pilihan kepimpinan yang utama, bahawa kitalah yang mampu membawa masa depan yang lebih baik kepada mereka dan anak-anak cucu mereka.
36. Apa yang dapat saya katakan, berikhlaslah dalam memberi khidmat kepada rakyat. Berpeganglah kepada kata-kata para ulama dan pujangga, bahawa yang baik akan akhirnya tertampak, yang buruk itu, hujungnya kelak, pasti terpandang jua.
Saudara dan saudari,
37. Pada kesempatan ini, renungkanlah sirah perjuangan Nabi Muhammad S.A.W sebagai iktibar parti. Kita telah membaca bagaimana dalam Perang Badar, tentera Islam yang serba kekurangan telah berjaya menewaskan musuh yang jauh lebih besar bilangan serta lebih lengkap peralatannya.
38. Manakala peristiwa Uhud, walaupun kekuatan tentera Islam dan musuh lebih setara, tentera Islam mengalami kekalahan. Diriwayatkan, ketewasan semasa Uhud berpunca daripada kelemahan rantaian kawalan dan pemerintahan pasukan serta kelalaian mentaati arahan oleh para pemanah berbanding ketika pertempuran Badar.
39. Di sini, pengajaran yang dapat kita ambil daripada sepotong rentetan sirah tersebut ialah, tentang pentingnya disiplin organisasi dalam sesebuah parti politik. Implikasi apabila tiada kepatuhan dalam perjuangan berjemaah, kita akan menempa kegagalan, kita akan kecundang, kita akan tumpas dan tewas.
Saudara dan saudari,
40. Hal disiplin berorganisasi ini perlu dimengertikan baik-baik. Ia merupakan faktor tonggak yang akan menentukan kejayaan atau kegagalan sesebuah pertubuhan untuk mencapai matlamat yang diingini. Dalam bidang ketenteraan, ia mampu menentukan kemenangan atau kekalahan di medan perang.
41. Dalam sebuah pertubuhan siasah pula, yang wujud dalam sistem demokrasi berparlimen, disiplin berorganisasi menentukan sama ada parti politik itu berpeluang menang atau kalah dalam pilihanraya. Inti patinya, disiplin berorganisasi bermaksud meletakkan kepentingan organisasi secara di atas..., di atas kepentingan individu.
42. Lalu, mengambil sempena Ayat 83, Surah An-Nisa', kedisiplinan berjemaah menuntut kita berlapang dada dan bersedia menerima keputusan yang dibuat oleh kepimpinan parti, dan, jika tidak dipersetujui, hendaklah menggunakan saluran organisasi yang sewajarnya bagi menyampaikan pendapat tersebut.

43. Termustahak, jika keputusan muktamad telah dibuat, terimalah dengan hati terbuka dan laksanakanlah dengan sebaik mungkin. Benarlah seperti dimadahkan pemimpin-pemimpin besar dahulu kala, satu petua yang memang kecil, namun sangat sulit hendak diamalkan, itulah dia taat dan patuh kepada arahan.
KEBERTERUSAN TRANSFORMATIF
YBhg. Tan Sri Pengerusi Tetap, Saudara dan saudari,
44. Pada sisi lain, pendapat dan teori politik konvensional yang mengatakan bahawa perubahan dan pembaharuan akan hanya berjaya jika kita menukar kerajaan tidak boleh diterima pakai di Malaysia.
45. Semenjak lebih 50 tahun yang lalu, Parti Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional secara tali menali, menerajui negara tercinta ini dengan membawa perubahan dan pembaharuan bukan pada kadar berdikit malah dengan lonjakan berganda dengan konsep atau prinsip Keberterusan Transformatif.
46. Kita telah menyaksikan bagaimana Malaysia telah berubah dari sebuah negara yang terjajah kepada sebuah negara merdeka, daripada sebuah negara berstatus negara pertanian berpendapatan rendah kepada sebuah negara perindustrian moden berpendapatan sederhana tinggi.
47. Oleh itu, dengan Keberterusan Transformatif, rakyat boleh melihat sekalipun kepimpinan ini datang dari parti yang sama, namun perubahan dan pembaharuan berlaku secara dinamik, berterusan, tertib dan teratur.
48. Ertinya, parti pemerintah sentiasa memikirkan kaedah atau rekayasa terkini bagi memenuhi keperluan dan kehendak semasa. Kita terus-terusan membuat pembaikan dan perubahan idea, dasar, program yang tuntas lagi menyeluruh. Pokoknya, kita pada tiap ketika mendepani kelok zaman dengan membuat perubahan yang tepat pada masanya.
Saudara dan saudari,
49. Kita ada mendengar pendapat yang mengatakan, apa salahnya memberi peluang kepada pembangkang untuk menang bagi dinilai kemampuan dan keupayaan mereka mengurus negara dan rakyat.
50. Namun, ini adalah satu risiko yang amat tinggi kerana masa depan negara, keluarga dan anak-anak kita terlalu berharga untuk dijadikan bahan uji kaji. Tanpa penilaian yang betul, teliti dan kritikal, menukar kerajaan ibarat mengamanahkan tikus membaiki labu atau mempercayai serigala menjaga biri-biri.

Saudara dan saudari,
51. Sememangnya menjadi aspirasi setiap parti politik untuk memperoleh mandat dari rakyat bagi membolehkannya membentuk kerajaan dan pemimpinnya menjadi Perdana Menteri. Ke arah itu pelbagai janji dan komitmen ditawarkan.

52. Bagi parti yang sedang menerajui Kerajaan, penilaian dilakukan oleh rakyat berdasarkan dua kayu ukur. Pertama, adakah janji-janji lepas, telah ditunai dan dilunaskan? Manakala kayu ukur kedua, adakah janji-janji baru yang dibuat akan lebih membawa manfaat.
53. Manakala, bagi parti yang tidak pernah membentuk Kerajaan, mereka perlu dinilai berasaskan janji yang sedang dibuat. Jika pada peringkat janji lagi sudah tidak boleh dipegang dan dipercayai, maka, lebih selamat untuk para pengundi agar menjauhi parti tersebut.
Saudara dan saudari,
54. Berhubung hal demikian, Malaysia hari ini merupakan contoh sebuah negara membangun yang amat berjaya sama ada diukur dari segi keampuhan institusi negara mahupun kemajuan sosioekonomi.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.