Ketua Bahagian UMNO Selayang, Shukur Idrus mendedahkan bahawa kerajaan negeri Selangor yang diterajui oleh PKR hari ini sedang rancak menjual aset-aset milik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor yang bernilai ratusan juta ringgit.
Beliau ternyata merasa hairan dan pelik, di mana hati perut mereka selama ni, langsung tidak tersentuh jiwa dan perasaan untuk membela nasib bangsa dan warisan generasi Melayu dan Bumiputera?
"Saya ingin bertanya kepada Menteri Besar Selangor, beginikah sikap seorang pemimpin Melayu yang kita harapkan akan menjaga kepentingan aset orang-orang Melayu dan Bumiputera? Inilah manusia yang bercakap bagai lidah bercabang dan mengaburi fikiran rakyat demi kepuasan nafsu politik yang songsang.
"Sudahlah segala harta-harta yang ada tidak ditambah, dan tidak diuruskan dengan amanah, malah sanggup pula dijual atas nama kepentingan rakyat," tegas beliau ketika membentangkan perbahasan di Dewan Merdeka PWTC hari ini.
Berdasarkan maklumat yang diperolehinya,kerajaan negeri Selangor mempunyai perancangan untuk menjual beberapa buah bangunan yang menjadi aset PKNS yang dianggarkan bernilai RM 132 juta.
"Antara aset-aset PKNS yang bakal dan ada antaranya telah pun tergadai ialah Kompleks PKNS Shah Alam, Wisma Yakin, Kompleks PKNS Bangi, Menara PKNS Petaling Jaya, SACC Mall Shah Alam termasuk maklumat yang diperolehi baru-baru ini, ada cadangan untuk menjual syarikat Worldwide milik PKNS dengan harga ratusan juta ringgit.
"Malah pada bulan September 2011, PKNS telahpun menandatangani perjanjian dengan Amanah Raya Berhad untuk menyerahkan Hak menggabungkan, sebenarnya menjual tiga aset PKNS iaitu Kompleks PKNS, Shah Alam City Centre dan Menara PKNS Petaling Jaya yang bernilai RM270 juta ke dalam Amanah Raya Real Estate Investmest Trust Fund ( ARREIT )," jelas beliau.
Melalui perjanjian itu menurut Shukur, PKNS akan hilang kuasa dalam pengurusan dan penentuan dasar bagi aset-aset tersebut. Namun apabila isu penjualan tiga aset itu mendapat tentangan daripada UMNO, dan juga rakyat, perjanjian tersebut akhirnya terpaksa digugurkan kerana tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa pusat.
"Kerakusan Kerajaan Pakatan Pembangkang Selangor tidak terhenti di situ saja. Sebuah lagi bangunan milik PKNS iaitu Yayasan Selangor turut dalam proses untuk dijual iaitu di Asrama Toh Puan Norashikin dan Asrama Tun Dr Ismail di Kampung Pandan, Kuala Lumpur yang selama ini menempatkan anak-anak Selangor yang dibawah tajaan Yayasan Selangor.
"Pelajar-pelajar yang terlibat, tidak akan lagi disediakan tempat tinggal selepas ini kerana pihak pengurusan Yayasan Selangor akan merobohkan kedua-dua asrama tersebut bagi membangunkan satu projek komersil yang kononnya atas tujuan penjanaan ekonomi. Jadi jika bangunan itu dirobohkan, dimanakah bangunan baru yang mereka akan bina sebagai galang gantinya dan kerajaan Selangor masih lagi berdiam diri tentang perkara ini," tegasnya.
Jelas beliau, tindakan kerajaan Selangor ini memperlihatkan Pakatan Pembangkang di negeri Selangor, langsung tidak memikirkan dan menintik beratkan soal pendidikan anak bangsa.
"Sepatutnya bangunan yang sudah sedia ada ditambah lagi supaya lebih ramai lagi anak-anak kita berpeluang untuk menuntut ilmu dan ditempatkan di asrama di bawah tajaan Yayasan Selangor milik PKNS.
"Dulu semasa Kerajaan Negeri Selangor dibawah pemerintahan BN, kita telah membina puluhan dewan serbaguna, asrama-asrama untuk anak-anak pelajar, untuk kemudahan rakyat mengadakan persidangan, mesyuarat, kursus, seminar dan sebagainya.
"Jelas situasi ini amat berbeza dengan kerajaan Pakatan Pembangkang yang mentadbir Selangor hari ini, yang lebih gemar menjual aset-aset kerajaan negeri untuk kepentingan politik dan duit poket mereka tanpa memikirkan langsung tentang rakyat di negeri ini," akhiri beliau. -MediaUMNO